Tokoh : Tuan Haji Kamaruddin Morni, P.J.K

25 05 2010

Memegang jawatan sebagai Pengerusi Tetap PAS Kawasan Tanjong Karang selama 32 tahun, adalah merupakan satu tempoh yang cukup panjang dan jarang-jarang diperolehi oleh kebanyakan aktivis parti khususnya PAS. Selain pernah menjadi calon mewakili PAS dalam Pilihanraya Umum tahun 1978.

Tuan Haji Kamaruddin Morni, merupakan seorang aktivis veteran PAS yang cukup berpengalaman dan tidak asing lagi bagi ahli-ahli PAS Kawasan Tanjong Karang. Mari sama-sama kita ikuti sejarah dan pengalaman beliau sepanjang terlibat dengan PAS.

Latar Belakang

Beliau dilahirkan pada 7hb Oktober 1934 dan merupakan anak ke-3 daripada  empat orang adik beradik kepada pasangan Morni Bin Marto dan Situn BInti Marto. Bapanya bekerja sendiri sebagai petani manakala ibunya pula adalah merupakan seorang suri rumah sepenuh masa.

Pendidikan

Mendapat pendidikan awal di  Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Karang pada tahun 1941, sebelum berpindah kebeberapa buah sekolah sehingga darjah enam. Pada tahun 1942 beliau belajar di Sekolah Jepun Sungai Sireh, kemudian Sekolah Rakyat (SR) Surau Batu 12 (1944), SR Batu 12 (1946),  SK Sungai Burong (1950) dan SK Batu 7 Tanjong Karang (1950-1951).

Kerjaya

Memulakan kerjaya sebagai guru pelatih di SK Sungai Burong selama setahun mulai tahun 1951 – 1952, kemudian beliau terlah berhijrah ke Kuala Lumpur dan bekerja di Pejabat Pos Besar pada tahun 1952 – 1954. Selepas itu beliau sekali lagi bertukar kerja sebagai Penjaga Stor di Kem Tentera Melayu Diraja pada tahun 1954 sehingga tahun 1956.

Beliau kemudian pulang semula ke kampong halaman di Tanjong Karang setelah puas merantau mencari pengalaman di Bandar Kuala Lumpur pada tahun 1967. Pada tahun tersebut beliau telah membuka syarikat beliau sendiri iaitu Zafnas Enterprise, yang mengendalikan urusan tanah, pendaftaran syarikat dan sebagainya sehingga sekarang.

Keluarga

Mendirikan rumahtangga dengan Hajjah Rohani Abd Manan, 67 pada tahun 1957, seorang suri rumah tangga sepenuh masa. Hasil perkongsian hidup selama 53 tahun dengan isteri tercinta, beliau kini telah dikurniakan seramai 4 orang cahayamata, 2 lelaki dan 2 perempuan. Selain telah dikurniakan dengan seramai 9 orang cucu

Anak pertamanya merupakan seorang guru, manakala anak kedua pula bekerja di SOCSO, Anak ketiga sebagai pegawai di Perbadanan Nasional Berhad (PNB), Manakala yang bongsu masih menuntut di Universiti Industry Selangor (UNISEL).

Terlibat Dengan Politik

Mula terlibat dalam politik sebagai penyokong biasa Umno sekitar tahun 1953 ketika berusia 19 tahun. Kemudian paa tahun 1956 beliau telah menubuhkan Umno Cawangan Batu 12 Sungai Burong. Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagaian Kuala Selangor dari tahun 1962 sehingga tahun 1964.

Beliau kemudian, keluar daripada Umno dan telah menyertai PAS pada tahun 1978 kerana hilang kepercayaan kepada Umno. Menurutnya, punca beliau meninggalkan Umno dan Menyertai PAS ialah kerana ucapan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Harun Idris, semasa melancarkan pasukan Pemuda Tahan Lasak (PTL) di Genting Sempah, Pahang, yang diletakkan dibawah pergerakan itu, telah meminta mereka melakukan apa sahaja terhadap parti lawan (PAS) untuk mencapai kemenangan dalam Pilihanraya.

Menurutnya lagi, beliau sejak awal lagi telah berhasrat untuk meninggalkan Umno dan menyertai PAS, tetapi hasrat beliau tersebut terpaksa ditangguhkan kerana pada waktu itu, iaitu selepas Pilihanraya Umum tahun 1969 PAS telah bergabung dengan Perikatan dan menubuhkan Barisan Nasional (Bn). Walaubagaimanapun sebaik sahaja PAS ditendang keluar oleh Bn, beliau telah menyertai PAS secara rasmi pada tahun 1978.

Setelah menyertai PAS, beliau telah diamanahkan oleh parti sebagai Calon PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong pada taun 1978 menentang calon Bn, Dato’ Kamaruzaman atau lebih dikenali dengan panggilan “Dato’ K”.

Di dalam PAS Pula, beliau telah dipilih sebagai Pengerusi Tetap PAS Kawasan Tanjong Karang mulai tahun 1978. Dan beliau telah diamanahkan jawatan tersebut sehingga sekarang, ini bermakna beliau telah diamanahkan jawatan tersebut selama 32 tahun oleh ahli-ahli PAS Kawasan Tanjong Karang.

Dalam usia 76 tahun beliau masih lagi aktif di dalam PAS, selain memegang amanah sebagai Pengerusi Tetap PAS Tanjong Karang beliau juga adalah merupakan Ketua PAS Cawangan Batu 12 Sungai Burong sejak awal penubuhannya sekitar tahun 1982.

Masa Depan PAS di Tanjong Karang

Sebagai orang yang berpengalaman dalam PAS selama 32 tahun, beliau yakin masa depan PAS khususnya di Tanjong Karang amat ceramah pada masa akan datang, selain mendapat sokongan daripada pengundi Melayu masyarakat Cina turut memberi sokongan kepada PAS.

Disamping itu, rekod perkhidmatan kakitangan kerajaan selepas Kerajaan Negeri Selangor ditadbir oleh Pakatan Rakyat (PR) sejak Mac 2008 sangat efectif, sebagai contoh, menurutnya, dalam urusan pertukaran syarat tanah di dahulu semasa di zaman Bn ia memakan masa selama 3 bulan atau lebih, tetapi sekarang di bawah PR urusan tersebut dapat diuruskan dalam masa hanya 3 minggu.

Penghargaan

Bagi menghargai segala jasa dan pengorbanan yang telah diberikan kepada parti dan masyarakat, beliau telah dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) sempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (D.Y.M.M) Sultan Sharafuddin Idris Shah pada tahun 2011.

Selain itu,  PAS Kawasan Tanjong Karang, juga telah menganugerahkan beliau sebagai “Tokoh Jasamu Dikenang 2010” semasa Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Tanjong Karang pada 8 Mei 2010 di Dewan Orang Ramai Sungai Terap.


Tindakan

Information

One response

13 01 2013
aminzulkifli

Al-fatihah untuk beliau. Baru sahaja meninggalkan kita semua pada 9 Januari 2013 yang lalu. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin. Diharapkan perjuangannya diteruskan sehingga ke akhirnya. In shaa Allah.

Tinggalkan komen