Sumbangan SMUE RM1,000.00 untuk Kaum Tionghua

27 01 2012

Batu 9, 27 Jan    :    Sekali lagi wakil Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sungai Burong, turun padang untuk memberikan sumbangan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) kepada waris kaum tionghua yang telah meninggal dunia pada 25 Januari lalu yang terletak di Taman Raden Jaya iaitu di belakang Pejabat PKM DUN Sungai Burong.

Lim Chai, 76, meninggal dunia setelah menderita penyakit stroke lama beberapa tahun dirumahnya rabu lalu, sebelum dikebumikan hari ini di Meru, Klang.

Sumbangan sebanyak RM1,000.00 tersebut telah diserahkan kepada anaknya, Lim Kean Hue, oleh Ketua Penerangan PAS Kawasan, Ustaz Haji Mat Hasbollah Sudin, yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan DUN Sungai Burong.

Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Ahli majlis, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohd Faizal Mohd Barja, AJK PAS Kawasan, Abd Malek Abdul Majid, Pengerusi Dewan Himpunan Kelab Penyokong PAS (DHPP) Tanjong Karang, Au Yong.





Wakil PKM DUN Sungai Burong Serah Sumbangan SMUE Fasa 1 Kepada Waris

25 01 2012

Tanjong Karang, 25 Jan    :    Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Negeri (DUN) Sungai Burong hari ini telah turun menemui waris yang telah meninggal dunia dan telah mendaftar dibawa skim Mesra Usia Emas (SMUE) bagi menyerahkan bayaran fasa pertama sebanyak RM1,000.00.

PKM DUN Sungai Burong diwakili oleh Ketua Penerangan PAS Kawasan, Ustaz Haji Mat Hasbollah Sudin, dan diiringi oleh Ahli Majlis, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Mohd Faizal Mohd Barja dan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan, Abd Malek Abdul Majid.

Seramai empat waris telah ditemui hari ini untuk menyerahkan sumbangan tersebut iaitu Suzaini Sulaiman, anak kepada Allahyarham Sulaiman Md Yusof yang telah meninggal dunia pada 29 November tahun lalu di kedainya, di pekan Tanjong Karang.

Beliau mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Negeri Selangor yang telah memberikan sumbangan tersebut.

Waris kedua yang ditemui ialah Mohamad Jefri Ismail, di rumahnya, Tali Air 2 Ban 4 Sungai Burong. Beliau merupakan anak kepada Allahyarham Ismail Ijon yang telah meninggal dunia pada 19 Disember 2011.

Seterusnya, Mohd Azrie Dollah, yang tinggal di Lorong 1 Parit 1 Sungai Sireh, yang kehilangan bapanya, Dollah Samad pada 28 November 2011.

Dan yang terakhir ialah Siti Rohani Ghani, yang kematian suaminya, Mohd Nor @Kosro Mohd Fadil pada 11 Oktober 2011. Beliau yang menetap Batu 2 Jalan Seri Raja, Kunci Air Buang Tanjong Karang ditemui oleh wakil PKM dirumah adiknya yang terletak di Taman Desa Mawar Sungai Yu.

Turut sama dalam lawatan tersebut ialah Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang terlibat iaitu, Ustaz Khairon Dahlan, Haji Abd Basid Abbas dan Haji Juhari Satiran.





Majlis Mengangkat Sumpah YB Dr Ahmad Yunus Hairi Sebagai EXCO Kerajaan Selangor

18 01 2012




Dr Ahmad Yunus Dilantik Sebagai EXCO Kerajaan Negeri Selangor Yang Baru

18 01 2012

Shah Alam, 18 Jan    : Ahli Dewan Negeri (ADUN) Sijangkang, Dr Ahmad Yunos Hairi, 47, hari ini telah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor yang baru menggantikan Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali, yang digugurkan pada 10 Januari yang lalu setelah dipecat sebagai Ahli PAS pada 8 Januari dibawah Fasal 82(9) Perlembagaan PAS.

Dr Ahmad Yunos, yang juga Yang Dipertua PAS (YDP) Kuala Langat dipilih sebagai ADUN Sijangkang setelah menewaskan calon Barisan Nasional (Bn) Dato’ Abdul Fatah Iskandar adalam Pilihan Raya Umum ke-12 tahun 2008 yang lalu dengan majoriti 2,081.

Beliau mengangkat sumpah dihadapan Sultan Sharafudin Idris Shah, di Bilik Singgahsana, Istana Bukit Kayangan, Shah Alam. Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim dan Ahli-ahli EXCO Kerajaan Negeri Selangor serta Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dr Abd Rani Osman, yang juga ADUN Meru.

Dr Ahmad Yunus, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Perubatan dan Pembedahan dari Univeristi Malaya sebelum ini telah berpengalaman sebagai seorang Doktor di beberapa buah hospital Kerajaan seperti Hospital Umum Sarawak, Hospital Lundu Sarawak, Hospital Sabak Bernam, Hospital Pulau Pinang, sebelum membuka klinik sendiri di Sijangkang.

Beliau juga turut terlibat dengan pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) dan diamanahkan sebagai Pengerusi Yayasan Amal Malaysia (YAM) Cawangan Selangor.

Sebagai EXCO Kerajaan Negeri Selangor yang baru, beliau telah diamanahkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan Negeri Selangor.





Sokongan Kaum Cina Penting Untuk Mempertahankan Kerajaan PR Negeri Selangor

15 01 2012

Tanjong Karang, 15 Jan    :    Sempena dengan ketibaan Tahun Baru Cina yang akan di sambut tidak lama lagi, pihak Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Negeri (DUN) Sungai Burong sekali lagi mengadakan majlis penyampaian sumbangan kepada masyarakat cina yang diadakan di Dewan Dato’ Hormat Tanjong Karang.

Seramai lebih 200 orang warga emas dan kurang berkemampuan telah menerima sumbangan berbentuk  hamper yang berisi barangan keperluan harian untuk digunakan semasa sambutan Tahun Baru Cina. Penyampaian tersebut telah dilakukan oleh Pegawai Penyelaras DUN Sungai Burong, Drs Mohd Rashdi Deraman.

Di dalam ucapannya, Mohd Rashdi, mengucapkan terima kasih diatas sokongan yang telah diberikan oleh masyarakat cina kepada Kerajaan Negeri Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat (PR) sejak tahun 2008 yang lalu.

Beliau juga mengharapkan supaya masyarakat cina terus memberikan sokongan yang berterusan kepada PR terutamanya dalam Pilihanraya Umum (PRU) akan datang. Walaupun bilangan pengundi Cina tidak ramai di DUN Sungai Burong, tetapi sokongan dari semua kaum amat perlu dalam mempertahankan kerajaan Negeri Selangor dalam PRU akan datang.

Hadir salam dalam program tersebut ialah Yang Dipertua (YDP) PAS Tanjong Karang, Ustaz Mohamad Judi Sarjo, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan DUN (JPD) Sungai Burong, Ahli Majlis, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Nor Az Azlan Ahmad, yang juga Setiausaha PAS Tanjong Karang.





Tolak Politik Fitnah dan Lucah

13 01 2012

Kuala Selangor, 13 Jan    :    Ahli-ahli Majlis, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) hari ini telah membuat kenyataan media bagi mengecam tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang mengedarkan VCD Lucah untuk memfitnah Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim melalui pos kepada Ahli-ahli Majlis MDKS dan diterima pada 12 Januari semalam.

Kenyataan akhbar tersebut diketuai oleh Ketua Whip PKR, Zainal Abidin Abdul Samad, di hadapan Dewan Siantan MDKS. Hadir sama ialah Ketua Whip PAS dan DAP, Nor Az Azlan Ahmad dan Low Tan serta Setiausaha Sekretariat Ahli Majlis MDKS, Mohd Faizal Mohd Barja.

Kami berpendapat penyebaran VCD lucah ini akan lebih meyakinkan rakyat bahawa masih ada pihak tertentu yang masih mengamalkan politik kotor dan fitnah dalam berpolitik berbanding dengan pihak Pakatan Rakyat yang jelas menawarkan dasar2 seperti Buku Jingga danD okumen Negara Berkebajikan dalam memenangi hati rakyat, kata beliau yang juga Timbalan Ketua PKR Cabang Tanjong Karang.

Menurutnya lagi, Usaha ini juga dibuat sejurus selepas keputusan Mahkamah membebaskan DSAI dalam kesl iwat 2  dan jelas ini menunjukkan ada konspirasi oleh pihak tertentu dalam usaha menjatuhkan karier politik ketua pembangkang tersebut terutama dalam menghadapi PRU13.

“Kami Ahli Majlis MDKS mengutuk keras amalan pihak2 tertentu ini yang masih menggunakan amalan politik kotor dan fitnah ini, walaupun rakyat kebanyakannya telah sedar dan muak dengan isu2 yang dibawa.”

“Telah sampai masanya untuk rakyat menolak golongan ini yang  tidak berani berlawan dengan dasar dan hujah yang didokong, dan mengambil jalan politik kotor dan fitnah dalam berpolitik”, ujarnya lagi.

Kami  juga menggesa pihak PDRM mengambil tindakan tegas keatas laporan polis yang telah dibuat sebelum ini dalam mencari dalang dan pihak yang bertanggungjawab dalam penyebaran VCD lucah fitnah ini dan menyekat penyebaran VCD lucah ini terus berleluasa kepada orang awam.





100 Orang Warga Emas DUN Sungai Burong Sertai Program Jom Shopping

11 01 2012

Alam Jaya, 11 Jan    :    Program Jom Shopping untuk peringkat DUN Sungai Burong sekali lagi diadakan pada hari ini bertempat di Econsave Alam Jaya, Puncak Alam. Seramai 100 orang warga emas berusia 60 tahun keatas yang telah mendaftar melalui Skim Mesra Usia Emas (SMUE) telah menyertai program pada kali ini.

Daripada jumlah itu seramai 65 orang warga emas adalah terdiri daripada kaum cina manakala selebihnya adalah berbangsa Melayu. Program Jom Shopping pada kali ini diadakan adalah untuk meraikan kaum cina sempena dengan sambutan Tahun Baru Cina yang akan tiba tidak lama lagi, kata Pengerusi Pusat Khidmat DUN Sungai Burong, Ustaz Mohamad Judi Sarjo.

Beliau yang juga Yang Dipertua (YDP) PAS Tanjong Karang, berkata, sejak program Jom Shopping diadakan awal Oktober tahun lalu, seramai lebih 440 orang warga emas telah terpilih untuk menyertai program ini daripada 2,000 orang lebih warga emas yang telah mendaftar SMUE sejak tahun 2008.

Sebelum ini program jom shopping pernah diadakan di Tesco Kuala Selangor, Giant Klang Sentral, Econsave Kapar sebanyak dua kali sebelum ke Econsave Alam Jaya pada hari ini. Sambutan daripada warga emas untuk menyertai program ini sangat menggalakkan, bahkan ramai yang sudah bertanya bilakah giliran mereka akan tiba untuk dipanggil menyertai program ini, katanya lagi.

Ini menunjukkan, katanya, program yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri Selangor ini sangat diterima oleh orang ramai. Tidak pernah Kerajaan Negeri Selangor dibawah pemerintahan Bn selama lebih 50 tahun terfikir untuk mengadakan program seumpama ini untuk rakyat.

Ini membuktikan Kerajaan negeri Selangor dibawah pemerintahan PR sangat prihatin dengan masalah rakyat, dengan slogan “Hasil Negeri Untuk Rakyat” sebagaimana yang diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim, Kerajaan Negeri Selangor membuktikan bahawa segala hasil keuntungan yang diperolehi oleh kerajaan dikembalikan semula kepada rakyat untuk dinikmati bersama, katanya lagi.

Hadir sama dalam program tersebut ialah, Ahli-ahli Majlis, Majlis Daerah Kuala Selangor, Mohd Faizal Mohd Barja, Haji Misran Serman, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan kampong (JKKK) Kunci Air Buang, Mohd Jamshari Kassim dan Pengerusi Dewan Himpunan Kelab Penyokong PAS (DHPP) Tanjong Karang, Au Yong serta kakitangan PKM DUN Sungai Burong.





Hasan Ali Digugurkan Sebagai EXCO Kerajaan Negeri Selangor

10 01 2012

Shah Alam, 10 Jan    :     Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim, hari ini telah mengugurkan Dato’ Dr Haji Hasan Mohamed Ali, sebagai Ahli Majlis Meysuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor berkutkuasa serta merta setelah mendapat perkenan daripada Sultan Selangor.

Beliau yang sebelum ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor sebelum ini telah dilucutkan keahlian daripada PAS ahad lalu oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, mengikut Fasal 82 (9) Perlembagaan PAS.

Justeru itu, jawatan beliau, yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Gombak Setia, akan diisi oleh ADUN PAS Yang lain dalam masa yang terdekat.





PAS pecat Hasan Ali berkuat kuasa serta merta

8 01 2012




Kenduri Kesyukuran Ketua Penerangan Dan Ketua Muslimat PAS Berjalan Sederhana Tetapi Meriah.

1 01 2012

Tanjong Karang, 1 Jan    :    Kenduri kesyukuran Ketua Penerangan PAS Kawasan Tanjong Karang, Ustaz Haji Mat Hasbollah Sudin, 41, dan pasangannya, Ustazah Hajjah Jamiyah Yussuf, 43, yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS  (DMP) Kawasan Tanjong Karang, berlangsung dalam keadaan sederhana tetapi meriah di kediaman ibu pengantin perempuan, di Tali Ayer 3 Tanah Lesen Sungai Burong.

Ustaz Mat Hasbollah, yang juga bekas Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan dari tahun 2003 – 2011 telah dinikahkan dalam majlis yang sederhana di rumah tersebut pada 22 Disember 2011 yang lalu.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran pimpinan DMP Negeri Selangor antaranya ialah Timbalan Ketua DMP Negeri, Noraini Hussein, yang juga Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Ahli Jawatankuasa (AJK) DMP Negeri, Norlaili Aslah serta pimpinan dan bekas pimpinan PAS Kawasan Tanjong Karang.

Ini adalah perkahwinan kedua bagi mereka, Ustaz Mat Hasbollah, telah mendirikan rumahtangga dengan isteri pertamanya, Ustazah Norhafizah Mohd Taha dan telah dikurniakan seramai empat orang cahayamata.

Manakala Ustazah Jamiyah pernah mendirikan rumahtangga dengan aktivis PAS, Allahyarham Ustaz Haji Pasiran Ahmad, tetapi telah meninggal dunia pada tahun 2007 setelah terjatuh dirumahnya semasa hendak membaiki bumbung rumah yang bocor di Sungai Kajang.

Bagi pihak PAS Kawasan Tanjong Karang, Ustaz Mohamad Judi Sarjo, selaku Yang Dipertua (YDP), mengucapkan selamat pengantin baru kepada mereka, semoga berkekalan sehingga akhirat serta terus istiqamah dalam perjuangan.