PKM Komited Laksanakan Program Jom Shopping Untuk Rakyat

11 04 2012

Kuala Selangor, 11 April    :    Seramai 100 orang warga emas hari ini sekali lagi diraikan melalui  program Jom Shopping yang diadakan di Econsave Alam Jaya, Puncak Alam oleh Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sungai Burong.

Seorang peserta, Supatmi Sanimun, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor yang telah memilihnya sebagai salah seorang peserta untuk menyertai program Jom Shopping pada kali ini.

Ini adalah kali pertama saya dipilih untuk menyertai program seperti ini. Dengan adanya program ini, dapatlah membantu rakyat yang kurang berkemampuan  untuk menampung perbelanjaan seharian. Usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) patut diteruskan dan diberikan sokongan oleh seluruh lapisan masyarakat, katanya lagi.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Sungai Burong, Ustaz Mohamad Judi Sarjo, berkata, Pihak PKM sentiasa komited untuk melaksanakan program Jom Shopping sebagaimana yang diarahkan oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor. Rata-rata warga emas yang terpilih menyertai program ini memang gembira dengan langkah yang diambil oleh pihak Kerajaan Negeri, tambahan pula program seumpama ini belum pernah dilakukan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Setiap kali program Jom Shopping diadakan, kami akan memastikan penerima yang disenaraikan akan menyertai program tersebut. Manakala mereka yang tidak dapat menyertai program tersebut disebabkan masalah kesihatan dan sebagainya, Pihak PKM akan menghantar sendiri ke rumah-rumah barangan keperluan harian dan dibeli menggunakan baucer penama pada hari berikutnya, katanya lagi yang juga Yang Dipertua (YDP) PAS Tanjong Karang

Antara yang menyertai program Jom Shopping pada kali ini  ialah Ahli-ahli Majlis, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohd Faizal Mohd Barja dan Haji Misran Serman.

Advertisements




11 04 2012