PKM hargai jasa kakitangan awam sempena aidilfitri

29 09 2008

Tanjong Karang 29 Sept.               : Bagi menghargai jasa dan pengorbanan kakitangan kerajaan terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong telah memberikan buah tangan berbentuk hamper kepada kakitangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) zon Tanjong Karang.

 

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pengarah Jawatankuasa Pengurusan DUN (JPD) Sungai Burong, Mohd Rashdi Deraman kepada Pegawai LZS, Azman. Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Pengerusi Persatuan Jawankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK) Hamidon Salim dan Pegawai JPD, Mohd Faizal Mohd Barja.

 

Sebelum daripada itu, PKM Sungai Burong turut memberikan hamper tersebut kepada Pasukan Bomba dan Penyelamat dan Balai Polis Tanjong Karang. Sumbangan tersebut turut disampaikan oleh Pengarah JPD, Mohd Rashdi Deraman.





Menteri Besar Selangor membuat lawatan ke rumah mangsa ribut

21 09 2008

Tanjong Karang, 20 Sept :               Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Khalid Ibrahim telah meluangkan masa melawat 3 buah rumah mangsa ribut di sekitar DUN Sungai Burong. Lawatan pertama di Kampong Sungai Kajang diikuti di Kampong Tali Air 3 Pantai Rasa Sayang dan Kampong Sungai Tengi Kanan.

 

Dalam lawatan tersebut Tan Sri Khalid turut memberikan kepada mereka. Beliau turut berbincang dengan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Haji Mohd Misri Haji Idris, untuk mengambil langkah mengatasi masalah tersebut pada masa-masa yang akan datang.

 

Kejadian ribut yang berlaku pada pagi jumaat yang lalu mengakibatkan lebih 30 buah rumah di beberapa kampong dalam DUN Sungai Burong telah mengalami kerosakan dibahagian bumbung kerana diterbangkan angin.

 

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah ketua penolong Pegawai Daerah, Idzhar Rashidi, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan DUN (JPD) Sungai Burong, Mohd Rashdi Deraman, Pegawai PKM, Mohd Faizal Mohd Barja, Pengarah Briged Kebajikan DUN Sungai Burong, Ustaz Mohd Judi Sarjo, Ketua Unit Hal Ehwal Wanita, Briged Kebajikan DUN Sungai Burong, Norshidah Samad dan Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK) yang terlibat.

 





PKM beri sumbangan kepada Anak Yatim

21 09 2008

Batu 12, 19 Sept  :               Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Burong sekali lagi telah memberikan sumbangan sempena dengan ketibaan Hari Raya yang akan menjelang beberapa hari lagi. Kali ini sumbangan telah diberikan kepada Anak Yatim di sekitar DUN Sungai Burong. Seramai lebih 250 orang anak yatim telah menerima sumbangan duit raya untuk menggembirakan mereka.

 

Pengerusi Jawatankuatan Pengurusan DUN Sungai Burong, Mohd Rashdi Deraman, berkata, ini merupakan sumbangan daripada Kerajaan Negeri Selangor yang baru kerana prihatin dengan masalah yang sedang ditanggung oleh rakyat, terutama dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi sekarang.

 

Dengan sedikit sumbangan yang diberikan kepada anak-anak yatim ini diharapkan dapat meringankan beban ibu mereka menjelang hari yang mulia, yang bakal menjelang dalam beberapa hari lagi, katanya.

 

Sumbangan telah disampaikan oleh Pengerusi JPD, Mohd Rashdi Deraman dan Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Haji Mohd Saad Ibrahim. Turut hadir ialah Pengarah Briged Kebajikan DUN Sungai Burong, Ustaz Mohd Judi Sarjo, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan, Haji Rosman Saiman, Ustazah Maryuni Said, Ketua Hal Ehwal Wanita Briged Kebajikan DUN Sungai Burong, Norsidah Samat dan Pengerusi-pengerusi JKKK seluruh DUN Sungai Burong.

 

Majlis berbuka puasa bersama dengan anak-anak yatim turut diadakan di Masjid berkenaan diikuti dengan solat maghrib berjamaah.

 





Rumah di dilanda ribut

21 09 2008

Tanjong Karang , 19 Sept :               Beberapa buah rumah di DUN Sungai Burong telah diterbangkan angin semasa hujan lebat pagi jumaat lalu. Sebuah rumah di  Kampong Sungai Tengi Kiri, Batu 9, milik Siti Insiah Haji Tahir, telah diterbangkan angin di bahagian dapur dan dihadapan rumahnya semasa hujan lebat jam 8.30 pagi.

 

Menurut Siti Insiah, Kejadian tersebut berlaku dengan pantas, sewaktu kejadian saya anak serta cucu saya berada di dapur, dengan tiba-tiba bumbung di bahagian dapur dan dihadapan rumah saya diterbangkan angin.

 

Pada awalnya saya amat terkejut, tetapi segera menghubungi Pegwai PKM, Mohd Faizal dan Pengerusi JKKK, Roslan Basri, untuk memaklumkan kejadian tersebut, katanya.

 

Seorang lagi mangsa, Kasmin Joko, dari Tali Air 2 Pantai Rasa Sayang, turut mengalami kejadian yang sama, sebahagian bumbung dibahagian dapur rumahnya turut diterbangkan oleh angin.

 

Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sungai Burong diketuai oleh Pengerusinya, Mohd Rashdi Deraman telah melawat ke rumah tersebut dan telah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK) terbabit membaiki rumah tersebut dengan segera.

 

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Pengarah Briged Kebajikan DUN Sungai Burong, Ustaz Mohd Judi Sarjo, Pegawai PKM, Mohd Faizal Mohd Barja dan Pengerusi Persatuan JKKK DUN Sungai Burong, Hamidon Salim.

 

Dianggarkan sebanyak 30 lebih buah rumah terlibat dalam kejadian ribut tersebut di beberapa buah kampong seperti Sungai Kajang, Sawah Sempadan serta beberapa kampong lain. Kejadian rebut ini merupakan kali kedua berlaku dalam masa yang terdekat.





Gejala sosial dikalangan Islam sangat membimbangkan.

18 09 2008

Parit 2 Ban 4       :               Penceramah bebas, Ustaz Ridwan Mohd Noor, bimbang dengan gejala sosial yang semakin meningkat dikalangan anak remaja terutamanya orang Melayu sejak akhir-akhir ini. Anak-anak Melayu yang beragama Islam sangat ramai yang terlibat dengan gejala sosial seperti Mat Rempit, Minah rempit dan sebagainya. Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Forum Perdana Ehwal Islam Sempena Nuzul Quran yang bertajuk Nuzul Quran Membina Masyarakat Bertaqwa di Masjid Block Y One Parit 2 Ban 4 Sungai Burong.

 

Apa yang lebih membimbangkan, menurutnya, anak-anak orang Islam semakin ramai terlibat dengan gejala murtad tanpa mengira latar belakang keluarga. Ini berlaku adalah kerana kurangnya kesedaran Agama yang diterapkan kepada anak-anak orang Islam oleh pihak pemerintah.

 

Gejala sosial kini bukan sahaja berlaku di kawasan-kawasan Bandar seperti Kuala Lumpur, tetapi telah banyak berlaku di kawasan luar Bandar seperti kampong-kampong dan felda-felda. Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, pernah memaklumkan dikawasan felda sekarang anak-anak remaja ramai yang mengambil gambar aksi seks dikalangan remaja melalui telefon bimbit, kemudian dikongsi diantara satu sama lain. Gejala ini melibatkan anak-anak remaja yang masih bersekolah, katanya.

 

Jika gejala sosial seperti ini tidak ditangani dengan segera, masa depan anak-anak remaja pada masa akan datang akan lebih teruk lagi. Seluruh masyarakat khususnya orang Islam harus mengambil berat masalah ini, katanya lagi yang kini sedang melanjutkan pengajian diperingkat Kedoktoran Falsafah (PhD) di salah sebuah Universiti tempatan.

 

Seorang lagi ahli panel, Ustaz Ramli Sidom, Penyelaras Masjid Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), berkata, untuk membina masyarakat bertaqwa harus dimulakan dengan institusi masjid. Hidupkan peranan masjid dengan majlis-majlis ilmu seperti tazkirah, usrah dan sebagainya.

 

Peranan al-quran sebagai panduan dan cara hidup kepada Umat Islam mesti direalisasikan oleh masyarakat. Ayat-ayat Al quran bukan hanya semata-mata dijadikan perhiasan di dalam rumah, tetapi harus dihayati di dalam jiwa umat Islam, katanya lagi.

 

Forum Perdana tersebut telah dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuala Selangor, Lembaga Zakat Selangor, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Masjid Block Y One.

 

Program yang julung-julung kalinya diadakan ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan DUN Sungai Burong, Mohd Rashdi Deraman. Forum telah dipengerusikan oleh Perunding Motivasi, Ustaz Shahrul Zaman Lukman.

 

Seramai lebih 300 ahli-ahli qariah masjid tersebut dan qariah berdekatan telah hadir bagi menjayakan program tersebut. Turut hadir ialah Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK) DUN Sungai Burong.





JPD hulur sumbangan segera baiki rumah terlibat dalam kebakaran

13 09 2008

Kunci Air Buang                                :               Sebuah rumah milik, Sardi Abd Rahman, 46, telah terbakar kira-kira jam 10.00 pagi di Block B Sawah Sempadan, Kunci Air Buang, Tanjong Karang dipercayai berpunca daripada sebuah plug elektrik di salah sebuah bilik dirumah berkenaan. Semasa kejadian beliau tiada dirumah kerana keluar bekerja.

 

Menurut isterinya, Shariah Jamsarli, 45, semasa kebakaran berlaku saya sedang bekerja mengambil upah di sawah berhadapan rumahnya, tiba-tiba anaknya memanggilnya, pada mulanya saya menyangka anaknya terjatuh, rupa-rupanya rumahnya telah terbakar.

 

Pihak Bomba dan Penyelamat sempat memadamkan api daripada terus marak apabila mendapat panggilan daripada penduduk setempat. Kerugian dianggarkan sebanyak RM4,000.00

 

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan DUN (JPD) Sungai Burong, Mohd Rashdi Deraman, telah melawat kerumah berkenaan sebaik sahaja dimaklumkan oleh Ketua Kampong tersebut, Md Tekor. Pihak JPD juga telah menghulurkan bantuan segera untuk membaiki rumah tersebut bagi memudahkan keluarga tersebut yang dikurniakan seramai 7 orang anak kesemuanya lelaki, terutama di dalam bulan Ramdhan ini dan bagi menyambut Hari Raya yang bakal menjelma tidak lama lagi.

 

Pihak JPD juga telah mengulurkan sumbangan sebanyak RM300 dan turut menyumbang berangan berasaskan bahan makanan bagi meringankan penderitaan yang mereka sedang alami.

 

Turut hadir didalam lawatan tersebut ialah Penghulu Mukin Tanjong Karang, Abd. Hakim Abdullah Mokhri, Pegawai JPD, Mohd Faizal Mohd Barja dan Ketua-Ketua Kmapong berhampiran.

 





Ketua Kampong dan AJK JKKK diraikan oleh PKM Sungai Burong

13 09 2008

Tanjong Karang                 :               Ketua-ketua Kampong yang baru lantik oleh kerajaan negeri perlu mengambil berat terhadap segala masalah yang dialami oleh rakyat diperingkat bawahan. Rakyat telah memberi kepercayaan kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk memerintah di dalam Pilihanraya Umum yang lalu, kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap PR ini mesti dibalas dengan kebaikan, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Haji Khalid Samad, ketika berucap di Motivasi Kepimpinan Ketua-Ketua Kampong Peringkat Parlmen Tanjong Karang yang diadakan di Dewan Dato’ Hormat.

 

Jawatan Ketua Kampong dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampong (JKKK) adalah merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang besar dan bukan merupakan harta “rampasan perang”  yang menjadi rebutan, katanya yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

 

Ketua-ketua Kampong juga berperanan sebagai mata dan telingan kepada Kerajaan Negeri Selangor. Segala perkembangan semasa yang berlaku terutamanya di Negeri Selangor perlu dihebahkan kepada rakyat  dengan segera, supaya rakyat mengetahui segala perkembangan yang berlaku dari masa ke semasa.

 

Seramai 33 orang Ketua Kampong dan Ahli-ahli JKKK seluruh Parlimen Tanjong Karang telah diraikan di dalam majlis berbuka puasa dan Motivasi Kepimpinan yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Burong.

 

Selepas berbuka puasa dan sembahyang maghrib yang dimamkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Tanjong Karang, Ustaz Mat Hasbullah bin Sudin, Tazkirah ringkas telah disampaikan oleh Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan, Ustaz Musa Mohamad. Diikuti selepas itu sembahyang isya’ dan tarawih yang diimamkan oleh Ustaz Musa Mohamad.

 

Di dalam majlis tersebut juga, orang-ramai telah diperkenalkan dengan Ketua-Ketua Kampong yang baru oleh Pengerusi JPD, Mohd Rashdi Deraman. Seramai lebih 400 orang telah menghadiri program tersebut.

 

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Ustaz Dr Osman Sabran, Naib YDP, Dr Mohd Yusof Abd Wahab, Setiausaha PAS Kawasan, Haji Mohd Saad Ibrahim dan AJK PAS Kawasan serta AJK Dewan Pemuda & Muslimat PAS Kawasan.





Ibu Tunggal dan Fakir miskin terus dapat bantuan dari kerajaan

12 09 2008

Tanjong Karang                 : Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan DUN (JPD) Sungai Burong, Mohd Rashdi Deraman, telah membuat lawatan ke rumah balu aktivis PAS Kawasan Tanjong Karang, Allahyarham Haji Baharuddin Kasim, yang meninggal dunia akibat stroke pada bulan lapan yang lalu.

Zaiton Abd Samad, yang kini tinggal bersama 4 orang anaknya, manakala 2 lagi tinggal di asrama, melahirkan rasa terharu dengan kunjungan yang dilakukan oleh pihak JPD Sungai Burong. Beliau juga kini terpaksa menjaga seorang anak sulungnya yang mengalami tekanan perasaan selepas kematian mengejut bapanya.

Menurutnya, anaknya itu memang sangat rapat dengan arwah bapanya dan sering menemani bapanya pergi ke kebun bagi mengutip kelapa sawit milik bapanya. Dengan pemergian mengejut bapanya sedikit sebanyak menganggu fikiranya.

Pihak JPD telah memberikan sumbangan berbentuk barang keperluan harian dan sedikit kewangan bagi membantu meringankan beban yang sedang ditanggung oleh beliau.

Sebelum itu, pihak JPD telah memberikan sumbangan berbentuk barang keperluan harian kepada Ibu Tunggal dan Fakir Miskin yang tinggal di Sungai Kajang. Seramai 13 orang telah menerima sumbangan tersebut yang disampaikan oleh Pengarah JPD.

Turut serta di dalam lawatan tersebut ialah pegawai JPD, Mohd Faizal Mohd Barja, Ketua Unit Hal Ehwal Wanita JPD, Norshidah Samat, AJK Urusan Ulama’ PAS Kawasan, Ustaz Mohd Tohid Sanimon, Ketua Muslimat PAS Cawangan Sungai Kajang, Hajjah Maznah Abd Kadir dan AJK Nisa’ Kawasan.





Pengarah JPD Adakan Lawatan Sempena Bulan Ramadhan

11 09 2008

Tanjong Karang                 : Sempena dengan bulan Ramadhan yang mulia ini, Jawatankuasa Pengurusan DUN (JPD) Sungai Burong diketuai oleh Pengerusinya, Mohd Rashdi Deraman telah membuat lawatan ke beberapa Masjid dan Surau yang terletak di dalam DUN Sungai Burong.

Menurut Pengerusi JPD, Lawatan tersebut adalah bertujuan untuk mengeratkan hubungan diantara JPD dengan masyarakat. Tujuan lawatan ini juga adalah untuk memperkenalkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK) yang baru dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini.

Pihak JPD turut memberikan sumbangan kewangan kepada Masjid dan Surau sempena dengan bulan Ramadhan ini. Lawatan tersebut yang bermula pada awal Ramadhan dijangka akan berakhir sehingga 27 Ramadhan ini.

Lawatan tersebut dimulakan dengan program berbuka puasa bersama-sama ahli qariah setempat diikuti dengan solat maghrib berjamaah. Selepas solat maghrib pengarah JPD memberikan tazkirah kepada ahli-ahli qariah.





JPD Sungai Burong Lawat Keluarga Miskin

4 09 2008

Sungai Kajang    :               Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan DUN (JPD) Sungai Burong, Mohd Rashdi Deraman, telah membuat lawatan ke rumah orang miskin di sekitar Sungai Kajang.

Bagi Rohani Yusof, Keadaan rumahnya yang terlalu uzur terutama dibahagian atap dapur amat perlu diganti dengan segera. Suminya yang hanya bekerja sebagai nelayan tidak mampu untuk menggantikan bumbung yang telah rosak tambahan pula dalam keadaan laut yang sedang bergelora sekarang menyebabkan suaminya tidak dapat turun ke laut.

Beliau pula hanya berniaga secara kecil-kecilan untuk menampung pendapatan sekeluarga. Setiap hari beliau akan berniaga Nasi lemak di hadapan rumahnya, pada bulan ramadhan pula beliau  menerima tempahan membuat kuih untuk dijual di Bazar Ramadhan.

Memandangkan keadaan bumbung rumah yang sangat uzur, pihak JPD telah bersetuju untuk menggantikan bumbung rumah tersebut serta-merta.

Sebuah lagi keluaraga yang dikunjungi oleh pihak JPD ialah, Fatimah Abd Aziz, Beliau terpaksa menjaga seorang anak istimewa. Suaminya yang juga seorang nelayan tidak mampu untuk menyara hidup mereka hanya bergantung dengan pendapatan sebagai seorang nelayan.

Kami sangat memerlukan sumbangan terutama untuk perbelanjaan membeli lampin pakai buang untuk anak istimewa yang menelan belanja agak tinggi. Sekarang ini kami hanya bergantung kepada bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor setiap bulan tetapi tidak mencukupi, kata Fatimah.

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Pegawai JPD, Mohd Faizal Mohd Barja dan Pegerusi Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampong (JKKK) Sungai Kajang, Ustaz Khairon.