PAS Tanjong Karang hargai tokoh yang telah banyak berjasa kepada parti

26 03 2010

Sungai Terap 26 Mac : Bagi menghargai jasa dan pengorbanan yang telah diberikan oleh tokoh-tokoh veteran, PAS Kawasan Tanjong Karang telah menganugerahkan mereka sebagai “Tokoh Maulidur Rasul 1431H kepada Mantan Yang Dipertua (YDP) PAS Tanjong Karang, Ustaz Musa Mohamad dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS (DMP) Kawasan Tanjong Karang, Ustazah Hajjah Siti Sabariah Binti Hashim sempena dengan Ceramah Maulidur Rasul yang diadakan di Dewan Sungai Terap oleh Naib Presiden PAS, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ustaz Musa Mohamad, dilahirkan pada 16 Mac 1942 di Batu Pahat, Johor, tetapi dibesarkan di Sekinchan, Selangor mendapat pendidikan tertinggi sehingga Rabi’ Thanawi di Sekolah Agama Menengah Batu 38 Sabak Bernam.

Memulakan kerjaya sebagai seorang guru di Sekolah Rendah Agama (SRA) Parit 7 Sungai leman, beliau kemudiannya berpindah kebebera buah sekolah di sekitar Tanjong Karang sebelum bersara sebagai Guru Besar di SRA Parit 4 Sekinchan pada tahun 1997.

Mula begiat aktif dengan PAS pada tahun 1963 di Cawangan Sungai Leman sebelum berpindah ke Cawangan Sungai Tengi Kiri. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua PAS Cawangan Sungai Tengi Kiri pada tahun 1986 sehingga tahun 2009. Diperingkat kawasan beliau telah diberi peranan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Tanjong Karang, Bendahari PAS Tanjong Karang, Naib YDP PAS Tanjong Karang dan Ketua Urusan Ulama’ PAS Tanjong Karang sebelum dilantik sebagai YDP PAS Tanjong Karang pada tahun 2005 sehingga tahun 2009.

Manakala tokoh yang kedua, Ustazah Siti Sabariah Hashim pula Dilahirkan pada tahun 1937, di Kampong Kanchong Darat, Banting, Selangor. Mendapat pendidikan tertinggi sehingga Rabi’ Thanawi di Sekolah Arab Mamba’ul Ulum Kampong Dato’ Manan, Tanjong Karang.

Memulakan kerjaya sebagai seorang guru di SRA Jeram sebelum berpindah di beberapa sekolah. Beliau bersara sebagai seorang guru di Sekolah Agama Menengah Seri Desa pada tahun 1992.

Mula bergiat aktif dengan PAS selepas dilantik sebagai Ketua Jawatankuasa Muslimat PAS Cawangan (JMC) Sungai Tengi Kanan sehingga tahun 1998. Manakala pada tahun 1999 selepas tertubuhnya Cawangan Raden Puteh beliau telah dilantik sebagai Ketua JMC Raden Puteh.

Manakala diperingkat Kawasan pula pernah dilantik sebagai AJK DMP Kawasan Tanjong Karang sebelum dilantik sebagai Naib Ketua DMP Kawasan pada tahun 2001. Selepas Ketua DMP Kawasan Tanjong Karang, Ustazah Hajjah Shamsiah Salleh meninggal dunia akibat kanser, beliau telah dilantik sebagai Pemangku Ketua DMP Tanjong Karang sehingga tahun 2003. Kini, sungguhpun usianya telah mencecah 72 tahun beliau masih memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua DMP Tanjong Karang.

Dalam program tersebut PAS Tanjong Karang turut menganugerahkan kepada Pelajar Cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun 2009, Ayu Faridah Nor Azman, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Harun yang berjaya memperolehi 5A dalam STPM baru-baru ini.





Sambut Maulidur Rasul dengan keinsafan bukan perarakan – Dato’ Tuan Ibrahim

26 03 2010

Sungai Terap, 26 Mac : Maulidur Rasul (dalam bahasa Arab bermaksud kelahiran Rasul) adalah hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad.  Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya, kata Naib Presiden PAS, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man sewaktu berucap dalam ceramah sempena Sambutan Maulidur Rasul 1431H yang diadakan di Dewan Sungai Terap, Tanjong Karang.

Namun Apalah ertinya sambutan ulangtahun Nabi besar kita atau Maulidur Rasul SAW kalau hanya kita menyambut dan mengenang nya sekadar peringatan zahirnya sahaja. Apalah ertinya keinsafan kita dalam menghayati sejarah perjuangan Nabi yang begitu panjang tanpa kita kaitkan dengan diri kita, peranan kita, tanggungjawab kita dan jihad kita untuk mempertahankan kesucian Islam yang telah dibawa oleh baginda SAW, katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang.

Sebagai Umat Islam,  sudah pasti perkara yang paling asas bagi kita bagaimana untuk kita meyakinkan diri kita bahawa keimanan dan kepercayaan kita kepada Junjungan besar nabi saw itu adalah suatu kebenaran yang mutlak, katanya lagi.

“Kita lihat berapa ramai umat Islam bila mana ada elemen pengkhianatan kepada Nabi, mereka berasa ianya suatu perkara kecil dan merasa ianya adalah perkara sampingan. Dan berapa ramai yang tidak memberi apa-apa respon dalam mempertahankan Islam dan perjuangan baginda dan yang paling teruk lagi apabila mereka mengiakan segala usaha memburuk-buruk baginda.”

Turut hadir dalam program tersebut ialah Yang Dipertua (YDP) PAS Tanjong Karang, Drs Mohd Rashdi Deraman, Setiausaha PKR Cabang Tanjong Karang, Haji Yahya Mat Shaari dan pimpinan PAS Kawasan Tanjong Karang.

Dalam majlis tersebut juga PAS Tanjong Karang telah menganugerahkan Tokoh Maulidur Rasul 1431H iaitu Mantan YDP PAS Tanjong Karang, Ustaz Haji Musa Mohamad, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Tanjong Karang, Ustazah Hajjah Siti Sabariah Hashim dan Pelajar Cemerlang STPM tahun 2009 Ayu Faridah Nor Azman.





Rakyat Selangor Memilih Pakatan Rakyat Kerana Inginkan Perubahan

26 03 2010

Berjuntai Bestari, 25 Mac : Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Dr Hajjah Siti Mariah Mahmud, yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, di dalam Pilihanraya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008 yang lalu rakyat di negeri Selangor telah mengundi dan memenangkan PAS, DAP dan PKR bagi menuntut perubahan setelah lebih 50 tahun dikuasai oleh Umno dan Barisan Nasional (BN). Hasil daripada kemenangan tersebut ketiga-tiga parti telah bergabung bagi membentuk sebuah kerajaan campuran yang kemudiannya dikenali dengan nama Pakatan Rakyat (PR).

Di dalam pilihanraya tersebut, 5 buah negeri telah jatuh ke tangan PR, di Kelantan dan Kedah PAS telah memenangi kerusi lebih berbanding rakan-rakan dalam PR dan PAS telah diberi peranan untuk mengetuai pentadbiran tersebut. Manakala di Pulau Pinang DAP pula mengetuai kerajaan Pulau Pinang kerana DAP mempunyai kerusi lebih begitu juga di Selangor, PKR mempunyai kerusi lebih berbanding PAS dan DAP, jadi PKR telah mengetuai pentadbiran di Negeri Selangor.

Belainan di Perak, DAP mempunyai banyak kerusi yang dimenangi diikuti oleh PKR dan PAS. Tetapi PAS telah diberi tanggungjawab dan amanah untuk mengetuai pentadbiran di negeri Perak. Ini adalah merupakan satu sejarah yang tidak pernah berlaku sebelum ini, katanya.

Oleh sebab itu Umno/ Bn sering memomok-momokkan bahawa PAS dan PKR sering mengikut telunjuk DAP. Tetapi hakikat sebenarnya tidak seperti yang dimainkan oleh pihak media dan Umno. Mereka memain-mainkan isu ini bagi membangkitkan kemarahan orang-orang Melayu terhadap PAS dan PKR, katanya lagi.

Menyentuh mengenai isu lompat parti beliau menegaskan PR tidak pernah menawarkan sebarang bentuk bayaran kepada mana-mana Ahli Parlimen daripada Bn untuk menyokong PR seperti yang di war-warkan. Isu tersebut sengaja ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Dato Seri Zahrain Mohd Hashim di Parlimen.

Bahkan tindakan Zahrain mendedahkan 8 orang Ahli Parlimen daripada Bn yang didakwa akan melompat parti telah mendapat kecaman daripada Ahli Parlimen Bn sendiri. Tindakan tersebut telah menyebabkan ahli-ahli Parlimen Bn tersebut telah dicurigai oleh pemimpin mereka sendiri.

Jika berlaku pun perubahan seperti yang dirancang pada 16 September tahun lalu PR akan membuat perubahan mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan bukan sebagaimana yang dilakukan oleh Bn dalam rampasan kuasa di Negeri Perak yang jelas tidak mengikut peraturan dan Perlembagaan katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu berceramah di Dewan Orang Ramai Kampong Bestari Jaya. Turut berucap ialah Yang Dipertua PAS Tanjong Karang, Drs Mohd Rashdi Deraman, Haji Yahya Mat Shaari, Setiausaha Cabang PKR Tanjong Karang yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR Pusat.

Ceramh yang julung-julung kalinya diadakan di tempat tersebut telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai.





Ahli Parlimen Hulu Selangor Meninggal Dunia.

26 03 2010

Hulu Langat, 25 Mac : Ahli Parlimen Hulu Selangor, Dato’ Dr Zainal Abidin Ahmad, 71, daripada Parti KeADILan Rakyat (PKR) telah meninggal dunia akibat penyakit barah otak jam 9.27 malam di kediamannya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras, Kajang.

Allahyarham telah meninggalkan seorang isteri, Datin Siti Zaharah Mohd Zain dan Empat orang anak.

Sebelum menyertai PKR Allahyarham pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO) dari tahun 1990 sehingga 1999 sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Selangor dari tahun 1999 sehingga tahun 2004, sebelum digugurkan sebagai calon dalam pilihanraya umum ke-11 tahun 2004.

Allahyarham telah meninggalkan Umno dan menyertai PKR pada tahun 2005 dan pernah dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Selangor dan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) parti tersebut.

Manakala dalam Pilihanraya Umum ke-12 pada 8 Mac 2008 yang lalu beliau telah bertanding di Parlimen Hulu Selangor menentang calon daripada Barisan Nasional (BN) Dato’ G. Palanivel, yang juga Timbalan Presiden MIC.

Di dalam pilihanraya tersebut Allahyarham telah memperolehi, 23,177 berbanding Palanivel yang meraih 22,979. Beliau memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 198. Semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Al-Fatihah





Program PTRS telah bermula

17 03 2010

Tanjong Karang, 17 Mac : Pusat Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang dianjurkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Negeri Selangor melalaui Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Dr Hajjah Halimah Ali, telah bermula pada tahun ini, di Sekolah Agama Menengah Tanjong Karang (SAMTK) pada 14hb Mac 2010 yang lalu.

Kelas Tuisyen yang dijalankan pada setiap hari ahad bermula pada jam 8.00 pagi sehingga 1.30 tengahari,  untuk pelajar-pelajar yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.  Kelas tuisyen secara percuma tersebut telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari kalangan pelajar-pelajar terpilih di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong.

Program tersebut yang telah dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor bermula pada tahun lepas adalah sebahagian daripada program Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor (MES). Seramai  8 orang  guru yang terlatih dan berpengalaman telah dipilih untuk mengajar di kelas tersebut.

Pendaftaran pelajar-pelajar masih lagi terbuka untuk tahun ini. Kepada yang berminat bolehlah menghubungi Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampong (JKKK) yang berdekatan atau pihak Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sungai Burong.