Tokoh : Ustaz Kassim Bin Kayat

30 03 2011

Beliau merupakan seorang tokoh pimpinan yang lemah lembut tetapi tegas dalam membuat sesuatu keputusan. Beliau juga banyak memberikan sumbangan terhadap PAS sepanjang terlibat secara aktif baik dari segi kewangan, pemikiran dan tenaga.

Tokoh yang dimaksudkan pada bulan ini ialah Bekas Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Kawasan Tanjong Karang, Ustaz Haji Kassim Bin Kayat, 70, yang kini masih lagi aktif dengan PAS diperingkat Cawangan sebagai Ketua PAS Cawangan Batu 10 Bagan Tengkorak.

Latar Belakang

Beliau dilahirkan di Kampong Pasir Panjang, Sabak Bernam pada 10 Januari 1941, merupakan anak ke dua daripada lapan orang adik beradik. Bapanya, Kayat Bin Salim bekerja sebagai petani manakala ibunya, Sariah Abdan pula adalah seorang suri rumahtangga sepenuh masa.

Pendidikan

Ustaz Kassim, mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Pasir Panjang pada tahun 1949 kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Agama Pasir Panjang pada tahun 1954 sebelum bersekolah di Sekolah Agama Menengah Sungai Nibong pada tahun 1960 sehingga mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selepas itu beliau terus menambah ilmu pengetahuannya dalam pelajaran dan bersekolah di Sekolah Arab Mamba’ul Ulum, Dato’ Manan Tanjong Karang sehingga mendapat Ibtida’ie.

Keluarga

Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Sukinah Surip, seorang pembantu hospital di Tanjong Karang pada tahun 1967 dan telah dikurniakan seramai empat orang anak, tiga lelaki dan seorang perempuan.

Kesemua anaknya telah bekerja dan telah mendirikan rumah tangga. Beliau telah dikurniakan seramai dua belas orang cucu. Manakala, isterinya telah meninggal dunia pada tahun ini.

Kerjaya

Sebaik sahaja menamatkan pengajian di Mambaul Ulum, Dato’ Manan, beliau telah memulakan kerjaya sebagai seorang guru pada tahun 1962 di Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Leman dan di beberapa buah sekolah yang lain sehingga bersara pada tahun 1996 di SRA Kampong Seri Tiram Jaya.

Bergiat Aktif Dalam PAS

Beliau mula menyertai PAS pada tahun  1963 di Cawangan Tali Air 7 Sungai Leman, Sekinchan tetapi tidak bergiat secara aktif sehingga pada tahun 1999 beliau mula aktif dengan PAS dengan menubuhkan PAS Cawangan Batu 10 Jalan Bagan Tengkorak dan telah dilantik sebagai Ketua PAS Cawangan tersebut sehingga sekarang.

Manakala di peringkat Majlis Tindakan DUN (MTD) Sungai Burong pula beliau telah dilantik sebagai AJK sejak tahun 1999 sehingga tahun 2008. Pada tahun 2003 beliau telah dipilih oleh perwakilan sebagai AJK PAS Kawasan Tanjong Karang dan telah mendapat undi tertinggi pada waktu itu.

Beliau terus memegang amanah sebagai AJK PAS Kawasan sehingga tahun 2009 dibawah dua orang Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan iaitu, Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali (2003 – 2005) dan Ustaz Haji Musa Mohamad (2005 – 2008).

Sepanjang terlibat dengan PAS beliau telah banyak menyumbang di dari pelbagai sudut seperti tenaga, buah fikiran dan kewangan. Antaranya ialah sumbangannya semasa dilantik sebagai Pengerusi Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS) sejak mula dibina pada tahun 2001 sehingga tahun 2009.

Aktiviti Masyarakat

Selain terlibat secara aktif dengan PAS beliau turut memainkan peranan dalam masyarakat apabila dilantikn sebagai Imam di Surau Batu 10 yang terletak berhampiran dengan rumahnya sejak tahun 1971 sehingga tahun 2011.

Beliau juga telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Koperasi, Koperasi Hartanah Al-Falah Kuala Selangor Berhad (KOHAF) sejak mula ia ditubuhkan pada tahun 2005 sehinggalah sekarang. Selain itu beliau turut memainkan peranan sebagai AJK Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK) Kampong Melaka sejak tahun 2008 sehinggalah sekarang.

Hobi

Menyentuh mengenai hobinya ketika waktu terluang, beliau sangat suka bertani sejak daripada muda sehinggalah sekarang. Justeru itu tidak  hairanlah sehingga kini, selepas beliau bersara, beliau masih lagi terlibat sebagai  seorang petani dan telah mempunyai kebun sawit di beberapa tempat khususnya di Selangor dan Perak.





27 03 2011





Ustazah Jamiyah Yussuf Terajui Muslimat Lima Penggal Berturut-turut

27 03 2011

Jalan Jepun, 26 Mac    : Ketua Dewan Muslimat PAS (DMP) Kawasan Tanjong Karang, Ustazah Hajjah Jamiyah Yussuf, telah diisytiharkan menang tanpa bertanding dalam pemilih Mesyuarat Agung Tahunan DMP Kawasan bagi sesi 2011 / 2013. Ini bermakna beliau telah diamanahkan jawatan tersebut untuk lima penggal berturut-turut sejak tahun 2003.

Selain ketua DMP Kawasan turut menang tanpa bertanding ialah Pengerusi Tetap DMP Kawasan, Halimatus Sa’kdiah Sulaiman dan Timbalan Pengerusi Tetap DMP Kawasan, Fairuz Nadhirah Shariff, yang juga AJK DMP Negeri Selangor.

Ustazah Hajjah Siti Sabariah Hashim, dan Ustazah Hajjah Asmah Ahmat pula masing-masing mengekalkan jawatan sebagai Timbalan Ketua dan Naib Ketua DMP Kawasan untuk penggal kedua setelah diberi kepercayaan oleh perwakilan dalam Mesyuarat Agung kali ini.

Manakala jawatan AJK DMP Kawasan bagi sesi 2011 / 2013, Hajjah Hartati Baharom, telah mendapat tempat pertama diikuti oleh, Norhidayah Parmin, Arbaiyah Mohd Ariff,  Ruhayana Chamsari, Ustazah Hajjah Sopiyah L. Ahmad, Hajjah Safiyah Abdullah, Norsidah Samat dan Normah Jaafar (muka baru).

Hajjah Masnah Abd Kadir dan Hajjah Zainon Salleh pula dipilih sebagai Pemeriksa kira-kira 1 dan 2 DMP Kawasan bagi sesi kali ini.





Gerakkan Jentera Muslimat Untuk Capai Kemenangan

27 03 2011

Jalan Jepun, 26 Mac    : Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS (DMP) Negeri Selangor, Noraini Husein, menyeru kepada setiap ahli PAS supaya meningkatkan usaha untuk menarik lebih ramai sokongan rakyat terutamanya di kalangan orang melayu supaya menyokong PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau Berkata demikian sewaktu merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan DMP Kawasan Tanjong Karang kali ke-30 yang diadakan di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS). Hadir sama ialah wakil PAS Kawasan iaitu, Penolong Setiausaha 1 dan 2 PAS Kawasan, Mohd Faizal Mohd Barja, Othman Ngah serta Bendahari DPP Kawasan, Muhamad Abdul Majid.

Seluruh jentera khususnya muslimat sangat berperanan sebagai agen parti dan kerajaan terutamanya dalam usaha untuk mengekalkan pemerintahan Negeri Selangor yang diterajui oleh Pakatan Rakyat (PR) sejak tahun 2008.

Pelbagai program yang telah dan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui program merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor (MES) yang diperkenalkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim sejak tahu 2008 seperti Skim Mesra Usia Emas (MUE), Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Kenaikan elaun guru-guru kelas fardhu ain dan al-quran (KAFA) sebanyak RM300 berbanding sebelum ini sebanyak RM1,000.

Selain itu dibawah PR juga, rakyat telah menikmati pemberian 20 meter padu air secara percuma, berbanding sepanjang 50 tahun ditadbir oleh Barisan Nasional (Bn). oleh Kerajaan Negeri Selangor serta lain-lain lagi mestilah disampaikan kepada rakyat diperingkat bawahan.

Jentera muslimat PAS juga mestilah optimis bahawa PR akan menjadi pilihan rakyat di dalam PRU akan datang dengan syarat jenteru Muslimat PAS mestilah bersedia mengembling tenaga bersama-sama dengan Pemuda PAS Kawasan serta rakan-rakan dalam PR, katanya lagi yang juga Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).





Jangan Mudah Leka Dengan Kemenangan Yang Dicapai

27 03 2011

Jalan Jepun, 26 Mac    : Muslimat PAS diminta supaya jangan leka dengan kemenangan yang telah dicapai di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas. Dengan kemenangan yang telah diberikan oleh Allah SWT, maka jentera muslimat hendaklah melaksanakan tugas dan amanah tersebut dengan sebaik mungkin, kata Ketua Dewan Muslimat PAS (DMP) Kawasan Tanjong Karang, Ustazah Hajjah Jamiyah Yussuf.

Jawatankuasa Muslimat PAS Cawangan (JMC) mestilah membantu jentera muslimat PAS diperingkat kawasan dengan melakukan program ziarah dari rumah kerumah dan melakukan program culaan, ini bagi memastikan kekuatan dan sokongan rakyat terhadap PAS khususnya PR di Kawasan ini meningkat berbanding di dalam PRU yang lepas, katanya yang juga Timbalan Pengarah IV Jabatan Pilihan Raya PAS Kawasan (JPrK).

Jentera muslimat juga mestilah selalu berkunjung ke Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong untuk bertemu dengan pegawai dan kakitangan PKM bagi mengetahui perkembangan terkini program-program yang telah dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, seterusnya memberitahu masyarakat di kampong masing-masing mengenai kelebihan yang rakyat nikmati sepanjang ditadbir oleh PR.

Selain itu, Muslimat PAS Cawangan juga hendaklah memastikan keahlian PAS diperingkat cawangan meningkat dengan bergiat aktif menambahkan keahlian baru PAS. Jentera muslimat PAS juga diminta supaya mendaftarkan pemilih baru dikalangan anak-anak ahli dan penyokong PAS bagi memastikan kemenangan PAS di dalam PRU akan datang.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan aluan sempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan DMP Kawasan  kali ke-30 yang diadakan di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS) yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua DMP Negeri Selangor, Noraini Hussein, yang juga Ahli Majlis, MajlIS Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Dalam Mesyuarat Agung tersebut juga beliau telah menyampaikan anugerah “Tokoh Jasamu Dikenang 2011” kepada Bekas Timbalan Ketua DMP Kawasan 2005 – 2009, Ustazah Hajjah Maryuni Marsaid, sebagai menghargai jasanya selama memimpin DMP Kawasan Tanjong Karang.





Gotong-Royong Pupuk Semangat Persaudaraan

21 03 2011

Tanjong Karang, 20 Mac    : Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Zon 1D Tanjong Karang dengan kerjasama Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Zon 1D Tanjong Karang,Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Negeri (DUN) Sungai Burong, Yayasan Amal Tanjong Karang dan Masjid Ar-Raudhah telah melakukan program gotong-royong untuk membersihkan tanah perkuburan Islam Tanjong Karang.

Menurut Ahli Majlis MDKS Zon 1D, Mohd Faizal Mohd Barja, antara tujuan utama program gotong-royong tersebut ialah untuk memperkukuhkan semangat persaudaraan dan tolong-menolong serta rasa kebersamaan di kalangan belia dan penduduk.

Selain itu, melalui program ini juga, diharapkan akan dapat melahirkan belia-belia yang dapat memberikan sumbangan yang bermanfaat kepada masyarakat.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Setiausaha MDKS, Haji Azahari Sairin, Ahli Majlis MDKS Zon 1A, Haji Misran Serman, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Kajang, Ustaz Haji Khairon Dahlan, Nazir Masjid Ar-Raudhah, Ustaz Haji Safie Jali dan Pengerusi PeBT Zon 1D, Sharan Mohd Salleh.

Program gotong-royong yang buat pertama kalinya dianjurkan tersebut telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan terutamanya di dari kalangan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Ar-Raudhah Tanjong Karang.





Jangan Percaya Fahaman Khurafat “Hanya Umno Yang Boleh Memerintah”

20 03 2011

Tanjong Karang, 19 Mac    : Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, berkata, semasa berada di luar negara untuk pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Islam antarabangsa, mereka telah bertanya bilakah Pilihan Raya Umum (PRU) di negara ini akan diadakan. Saya menjawab hanya Perdana Menteri sahaja yang mengetahui bila Parlimen akan dibubarkan.

Mereka terkejut dengan jawapan yang saya beri dan merasa hairan bagaimana PAS sebagai sebuah parti besar tidak mengetahui bila PRU akan diadakan di negara ini. Saya telah memberitahu kepada mereka itulah realiti yang berlaku di negara ini, katanya yang juga Ahli Parlimen Bachok, Kelantan.

Di negara kita walaupuan SPR ditugaskan bagi mengendalikan pilihanraya, tetapi sebenarnya Perdana Menterilah yang berhak menentukan bila perlu dibubarkan parlimen, tidak seperti di negara-negara lain Pilihanraya telah diumumkan lebih awal untuk memberi persediaan kepada parti-parti yang bertanding.

Pilihnraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Serawak akan dibubarkan pada hari isnin ini (21/4/2011). Di negeri Serawak, walaupun negeri tersebut kaya dengan hasil bumi seperti petroleum, balak dan sebagainya, tetapi serawak mencatatkan sebagai negeri paling miskin di Malaysia.

Tetapi, jika dilihat harta kekayaan yang dimiliki oleh pemimpin Bn di serawak khususnya Ketua Menteri, Tan Sri Abu Taib Mahmud, dan ahli keluarganya mencecah sehingga berbilion ringgit.

Begitu juga apa yang berlaku di negeri Pahang yang telah mempunyai dua orang Perdana Menteri iaitu Allahyarham Tun Abd Razak Hussein dan kini anaknya, Dato’ Seri Mohd Najib, walaupun telah lebih 50 tahun Bn mentadbir negeri Pahang, masih terdapat beberapa tempat di negeri berkenaan tidak mempunyai bekalan air.

Semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kerdau saya membangkit masalah tersebut  kepada pengundi supaya mereka dapat menilai apa yang telah kerajaan Bn lakukan sepanjang 50 tahun mentadbir negeri Pahang.

Keesokkan saya menerima panggilan telefon daripada salah seorang penduduk kampong tersebut, mereka menyatakan masalah air telah selesai. Inilah yang dilakukan oleh Bn selama ini, rakyat dipermain-mainkan sesuka hati mereka dan bila berlaku sahaja PRK kecil bermacam-macam projek telah dijanjikan kepada rakyat sehingga rakyat sekali lagi terpengaruh dengan janji-janji tersebut, katanya lagi.

Beliau juga mengigatkan orang ramai dengan pesanan yang ditinggakkan oleh bekas Presiden PAS, Allahyarham Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor, supaya jangan percaya dengan kepercayaan khurafat, iaitu hanya Umno sahaja yang boleh memerintah. Ini semua fahaman khurafat dan biadaah yang mesti dibuang dalam pemikiran rakyat, khususnya orang-orang melayu.





Rakyat Diminta Lakukan Perubahan Sistem Pentadbiran Kerajaan Pusat

20 03 2011

Tanjong Karang, 19 Mac    : Seluruh rakyat diminta untuk melakukan reformasi terhadap sistem pentadbiran kerajaan mulai sekarang. Ini kerana, jika sekiranya rakyat tidak mengubah sistem tersebut, negara ini akan menjadi bertambah rosak, kata Presiden PKR, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Perkara ini juga, katanya, telah berlaku terhadap Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sejak lebih sepuluh tahun yang lalu. Kini DSAI sekali lagi diserang dengan pelbagai tuduhan palsu bagi menjatuhkan imej dan reputasi beliau sebagai seorang pemimpin dalam Pakataran Rakyat (PR).

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam ceramah penerangan isu semasa yang diadakan di Dewan Dato’ Hormat Tanjong Karang bersama-sama Naib Presiden PAS, Dato’ Haji Mahfuz Omar dan Ahli Biro Politik PKR, Mustafa Kamil Ayub.

Apa yang berlaku terhadap DSAI adalah dengan jelas merupakan satu konsprirasi pihak Barisan Nasional (Bn) bagi menyelamatkan mereka dan orang-orangnya.

Sebagai contohnya ialah, jika benar DSAI berada di dalam kondominium tersebut, kenapa waktu dalam rakaman di dalam CCTV kondominium  bercaggah? Soalnya.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, turut membidas tindakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didalangi oleh Umno yang telah mengadakan demontrasi mendesak supaya DSAI menyerahkan sample DNA.

Menurutnya, pada tahun 1998 bukan sahaja DNA, malah tilam turut dibawa sebagai bahan bukti dimahkamah. Semua ini dilakukan semata-mata hendak mengaibkan DSAI.





Rakyat Diseru Lakukan Perubahan Kearah Yang Lebih Baik

20 03 2011

Tanjong Karang, 19 Mac    : Bekas Naib Presiden PKR, Mustafa Kamil Ayub, berkata, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum tersebut mengubah nasibnya dirinya sendiri, ayat quran tersebut jelas meminta supaya setiap manusia melakukan perubahan jika ingin menjadi kaum yang lebih baik.

Pada tahun 2008 rakyat negeri Selangor telah melakukan perubahan tersebut dan sekarang rakyat boleh melihat sendiri perubahan yang diperolehi oleh rakyat di negeri Selangor. Jika sebelum ini selama lebih 50 tahun Umno dan Bn memerintah negeri ini, belum pernah Umno membela nasib rakyat.

Tetapi, sebaik sahaja Pakatan Rakyat (PR) mentadbir negeri Selangor kita telah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dengan memperkenalkan beberapa program seperti Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan sebagainya. Ini menunjukkan PR jauh lebih baik berkemampuan dalam mentadbir negeri berbanding daripada Umno dan Bn, katanya lagi.

Sebabkan itu, PR telah bersetuju untuk melaksanakan beberapa program yang kita telah persetujui melalui buku jingga, jika PR diberi peluang untuk mentadbir Putrajaya kita akan melakukan bebera perubahan seperti Menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), memperbaiki system dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan sebagainya.

Bagi pendidik pula, yang telah banyak berjasa dalam mendidik anak-anak, PR berjanji untuk mengkaji semula skim gaji yang mereka perolehi hari ini dan menaikkan gaji sebanyak RM500.00. inilah yang menyebabkan Umno begitu takut dengan janji-janji PR.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam ceramah penerangan isu semasa yang diadakan di Dewan Dato’ Hormat Tanjong Karang bersama-sama Presiden PKR, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Dato’ Dr Wan Ismail, Naib Presiden PAS, Dato’ Haji Mahfuz Omar dan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim.





Lebih Banyak Penyelewengan Berlaku Sekiranya Umno Masih Memerintah

20 03 2011

Tanjong Karang, 19 Mac    : Ahli Dewan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim, menyeru kepada seluruh rakyat agar bersama-sama menolak Umno dan Barisan Nasional (Bn) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, jika tidak banyak lagi penyelewengan yang akan dilakukan oleh mereka pada masa akan datang.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap di dalam ceramah yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat (PR) Tanjong Karang yang diadakan di Dewan Dato’ Hormat bersama-sama Presiden PKR, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Bekas Naib Presiden PKR, Mustafa Kamil Ayub.

Sebagai contoh, katanya, penyelewengan yang telah dilakukan oleh Umno ialah pemberian komputer 1Malaysia. Pada dasarnya tujuan pemberian komputer tersebut adalah dikhaskan kepada beberapa golongan seperti rumah yang masih belum memiliki komputer, golongan miskin yang tidak berkemampuan.

Tetapi katanya, apa yang berlaku di sungai besar ialah, komputer tersebut telah diagih-agihkan kepada Ketua-ketua Umno Cawangan, pemimpin-pemimpin Umno Bahagian Sungai Besar, Pemimpin-pemimpin MIC, MCA dan Gerakan Sungai Besar.

Ini yang menyebabkan banyak berlakunya penyelewengan terhadap harta rakyat, tetapi apa yang kita peliknya dimana Pertubuhan-pertubuhan NGO yang kononnya memperjuang hak melayu dan rakyat seperti Gerakan Anti Demokrasi dan Penyewengan Selangor (GAPS)? Kenapa diam membisu dan tidak membuat laporan polis terhadap penyelewengan tersebut? Soalnya.