Dilindungi: Pusat Khidmat Ahli Majlis Zon 1 Tanjong Karang Mula Beroperasi

28 06 2012

Kandungan ini dilindungi kata laluan. Untuk melihatnya sila masukkan kata laluan di bawah.





Rasuah Boleh Dibanteras Jika Kembali Kepada Ajaran Islam

26 06 2012

Shah Alam, 26 Jun    :    Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, amalan rasuah tidak dapat dibendungi kerana undang-undang yang ada sekarang adalah ciptaan manusia. Kalau kita ingin mengatasi masalah rasuah sepenuhnya, kita perlu kembali kepada ajaran Islam dan Allah Taala.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucaptama di wacana ilmu “Buku Rasuah” yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah (SSAS) di Shah Alam.

“Jika ini tidak dapat dilaksanakan terlalu sukar untuk kita mengatasinya kerana kita adalah manusia yang mempunyai banyak kelemahan,” katanya lagi yang juga Mursyidul Am PAS.
 
Dalam pada itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut memberitahu amalan memberi habuan terutama dalam memancing undi pada pilihan raya adalah rasuah dan haram dilakukan.

 “Pemberian habuan pada pilihan raya juga merupakan rasuah dan haram tetapi itu tidak dipedulikan kepada mereka yang mengamalkan prinsip sekular dan demokrasi” ujarnya.
 
“Selagi pemimpin-pemimpin sekular tidak mengikuti ajaran Islam selama itulah rasuah akan terus menjadi raja di negara ini,”

Hadir sama dalam program tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dr Haji Abd Rani Osman, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor, Iskandar Abd  Samad dan Dr Ahmad Yunus Hairi.

Sementara itu, Dr Halimah Ali, dalam siding akhbarnya berkata, tujuan Kerajaan Negeri Selangor memanggil Tuan Guru Nik Abd Aziz adalah kerana, selama beliau memegang jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan selama lebih 20 tahun, negeri Kelantan telah selamat daripada sebarang amalan rasuah.

Ini sekaligus, katanya, selaras dengan hasrat kerajaan negeri Selangor bagi melahirkan sebuah negeri yang maju, idaman, sejahtera dan berkebajikan serta bebas daripada sebarang amalan rasuah dan penyelewengan sebagai PKFZ, NFC dan sebagainya.





Impian TV Jadi Alternatif Kepada Rakyat

25 06 2012

Tanjong Karang, 24 Jun    :    Negeri  Selangor maju setapak lagi apabila memperkenalkan Impian TV yang merupakan saluran alternatif kepada orang ramai untuk mendapatkan berita dan maklumat terkini dengan lebih adil dan efisyen, berasaskan kepada internet.

Melalui Impian TV, masyarakat tidak lagi bergantung kepada media arus perdana yang ternyata dikongkong oleh pihak Kerajaan. Oleh yang demikian dengan adanya media baru seperti ini akan menjadi alternatif kepada rakyat untuk menilai sejauh mana kebenaran sesuatu berita itu, kata Haji Abd Rahman Abdulah, Pengarah Jabatan IT Negeri Selangor .

Terdapat lima saluran yang kita sediakan seperti berita, dokumentari dan sebagainya yang boleh ditonton selama 24 jam tanpa henti dengan menggunakan TV di rumah masing-masing, katanya lagi.

Apa yang perlu disediakan oleh pengguna ialah membeli peralatan iCoder set yang berharga hanya RM499.00. Pesanan boleh dibuat secara online dengan membuka blog http://et-network.blogspot.com, peralatan tersebt akan dihantar kerumah pengguna selepas selesai proses pembayaran, oleh wakil yang dilantik dalam masa lima hari waktu bekerja, katanya lagi.

Selain itu, katanya, bagi pengguna yang masih belum memiliki wifi, mereka boleh membeli iCoder set berserta wifi dongle dengan harga hanya RM540.00 sahaja.

Beliau berkata demikian sewaktu memberikan taklimat kepada PAS Kawasan Kuala Selangor, Tanjong Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam di Pejabat PAS Tanjong Karang, berhubung dengan perlaksanaan projek Impian TV yang baru beroperasi dan telah dirasmikan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, semasa Himpunan Hijau Ke Putrajaya peringkat negeri Selangor yang diadakan di Shah Alam baru-baru ini.

Selain itu, difahamkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Seri Abd Khalid Ibrahim, telah bersetuju untuk pihak Kerajaan Negeri Selangor membeli decoder berkenaan dan akan diserahkan sebanyak 20pcs bagi setiap Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) untuk diedarkan secara percuma oleh pihak PKM di seluruh Selangor.





Dokumentari Almarhum Dato’ Fadzil Mohd Noor

24 06 2012

 





Mengenang 10 Tahun Pemergian Ustaz Fadzil Mohd Noor

23 06 2012

Hari ini (23 Jun 2012) genaplah 10 tahun pemergian seorang murabbi yang kita kasihi, Allahyarham Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor, Presiden PAS yang ke-6 yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia. Menelusuri sejarah perjuangannya, sewajarnya ia menjadi contoh kepada generasi muda hari ini.

Allahyarham merupakan nama besar dalam arena politik dan gerakan Islam, bukan sahaja politik dan gerakan Islam bukan sahaja di dalam negara tetapi seluruh dunia. Beliau dikenali sebagai tokoh yang yang hebat berpidato dan mengemukakan hujah yang mantap dan sukar ditangkis oleh pihak lawan tertutamanya Umno-Bn.

Sempena dengan 10 tahun kembalinya Allahyarham kerahmatullah marilah kita sama-sama kita sejarah ringkas kepribadian Insan terbilang ini.

Latar Belakang

Ustaz Fadzil Mohd Noor dilahirkan di Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah. Bapanya Mohd Noor Abdul Hamid dan ibunya Hindun Haji Abdul Rahman. Beliau merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik.Moyang beliau iaitu Tuan Guru Haji Idris Al-Jarumi merupakan salah seorang ulama’ yang disegani berasal dari Wilayah Patani, Thailand dan seorang yang terkenal di Kedah.

Pendidikan

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga (1946-1949), Derga, Alor Setar dan Maktab Mahmud (1951 -1959) sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Al Azhar, Mesir (1963- 1967) dalam jurusan Perundangan Islam tajaan biasiswa kerajaan Kedah pada 1963 hingga 1967. Pada 1967, sewaktu di Mesir, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Agung  dan Timbalan Presiden dalam Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Sekembalinya dari Mesir beliau mengajar di Maktab Mahmud dan kemudian sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) (1973-1978). Beliau dipecat dari UTM kerana bertanding dalam Pilihan raya 1977 di DUN Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah. Beliau membawa kes itu ke mahkamah kerana pemecatan tidak mengikut saluran yang betul. Mahkamah memerintahkan UTM membayar ganti rugi dan kembali menjadi pensyarah. Beberapa bulan kemudian beliau meletak jawatan demi perjuangan PAS sepenuh masa.

Keluarga

Beliau nerkahwin dengan sepupunya Ustazah Datin Hajah Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Star dan turut bersamanya ke Al-Azhar. Mereka mendapat lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna ’Izzah, Muhammad Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas.

Ustazah Khadijah adalah merupakan kakak kepada bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) dari tahun 1992 – 2001, Ustazah Hajjah Jamilah Ibrahim, yang juga bekas Ahli Dewan Negara dari tahun 1997 – 2003.

Mula Terlibat Dalam Gerakan Islam

Ustaz Fadzil Noor pernah menjadi Setiausaha Penerangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) (1973-1974) dan Timbalan Presiden ABIM (1974-1978) dan Setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976). ABIM seumpama simbiosis kepada Dewan Pemuda PAS di mana 8000 ahli ABIM ialah ahli PAS.

Siaran ABIM jugas giat menyebarkan buku dan tulisan Ikhwanul Muslimin seperti Hassan al Banna, Syed Qutb dan Jamiat Islami, Maududi. Beberapa tokoh PUM juga tonggak penting PAS seperti Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin.

Ustaz Fadzil Noor dilantik menjadi Pemangku Presiden ABIM apabila Anwar Ibrahim ditahan ISA pada 1974 ekoran isu demonstrasi kebuluran di Baling. Tokoh penting ABIM ketika itu ialah Ustaz Wahab Zakaria, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dan Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman.

Telibat Aktif Dengan PAS

Beliau mula bertanding dalam Pilihan raya umum Malaysia 1978 menentang Datuk Senu Abdul Rahman tetapi kalah. Pada tahun itu, PAS kalah teruk di Kelantan yang dikuasai sejak 1959. Dr Mohd Natsir menggesa umat Islam merapatkan jemaah demi perjuangan Islam. Beliau menjadi Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan PAS Negeri Kedah.

Pada 1980, beliau bertanding di DUN Anak Bukit berikutan kematian wakil rakyat di situ. Manakala Pada 1982 beliau menang dengan mengalahkan calon Barisan Nasional, Haji Safirol Haji Hasim dan calon bebas Mohd Mokhtar Abdullah dengan majoriti 346 undi, seterusnya pada 1986 menang dengan majoriti 2,215 undi mengalahkan calon BN Ahmad Zakuan Haji Ahmad.

Pada tahun 1990 pula, beliau mengalahkan calon BN Dato’ Syed Mansor Barakbah dengan majoriti 1,829 dan pada Pilihan raya umum Malaysia 1995 mengalahkan calon BN juga iaitu Fadzil Hanafi dengan majoriti 2,414.

Dalam Pilihan raya umum 1999, Ustaz Fadzil mencatat dua kejayaan. Dalam Pilihan Raya Parlimen, beliau menewaskan bekas Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Othman Abdul (calon BN) di Pendang. Fadzil Noor mendapat 22,413 undi berbanding 19,474 undi oleh Othman. Kejayaan ini sangat manis kepada PAS kerana inilah sejarah PAS menang paling besar dalam merebut kerusi parlimen (menang 27 kerusi parlimen).

Di DUN Anak Bukit, Allahyarham mendapat 8,480 undi menewaskan calon BN, Dato’ Abdullah Hasnan Kamaruddin yang mendapat 6,640 undi. DUN Anak Bukit adalah DUN baru yang dipecahkan melalui persempadanan semula kawasan pilihanraya dan tuah telah menyebelahi Ustaz Fadzil manakala Mohamad Sabu telah memenangi Parlimen Kuala Kedah.

Pada tahun yang sama (1999), beliau dilantik sebagai Ketua Pembangkang menggantikan Lim Kit Siang yang kalah dalam pilihanraya umum itu.

Kepimpinan Dalam PAS

Pada tahun 1981, beliau dipilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS (1981-1982), sebelumnya dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Kerj (AJK) PAS Pusat dan kemudian Timbalan Yang Dipertua Agung pada 1983. Manakala pada 30 Mac 1989 beliau dipilih sebagai Yang Dipertua Agung selepas pengunduran Tuan Guru Haji Yusof Rawa, akibat masalah kesihatan yang dihidapinya. Dan semasa dizaman Allahyarhamlah jawatan Yang Dipertu Agung telah ditukar kepada Presiden PAS

Kejayaan Sepanjang Kepimpinannya

Sepanjang keterlibatannya di dalam kepimpinan PAS, Allahyarham telah berjaya menaikkan imej PAS dikalangan masyarakat antaranya ialah hasil kerjasama PAS dengan Parti Semangat 46 dan membentuk Angkatan Perpaduan Ummah pada 1989, PAS berjaya menang majoriti kerusi di negeri Kelantan dan kerajaan PAS dibentuk semula di Kelantan pada 1990 semenjak kalah teruk pada 1977. Ekoran daripada itu, Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang kini merupakan Mursyidul Am PAS telah dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan sehingga sekarang.

Pada tahun 1998, beliau dilantik sebagai Pengerusi GERAK (Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia). Gerak ditubuhkan oleh PAS, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan disertai oleh 15 pertubuhan bukan kerajaan dan individu untuk menegakkan keadilan selepas pemecatan dan penahanan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno.

Pada 1999, PAS menubuhkan Barisan Alternatif bersama Keadilan dan berjaya mendapatkan semula Terengganu yang terlepas pada 1964. Ekoran itu Timbalannya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu sehingga tahun 2004.

Penghargaan

Bagi menghargai segaja jasa, sumbangan dan kegigihannya sepanjang terlibat dalam gerakan Islam dan rakyat Allahyarham telah dianugerahkan Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Dato’ oleh Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah pada tahun 1997.

Keadaan Kesihatan

Beliau menerima rawatan selepas melakukan pembedahan pintasan jantung pada 10 Jun 2002, di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Chreas. Sebelum itu beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Terengganu kerana mengadu sakit dada. Beliau meninggal dunia pada 23 Jun 2002 di Unit Rawatan Rapi, HUKM pada jam 10.30 pagi. Jenazah beliau diterbangkan oleh pesawat Hercules dari Lapangan Terbang Subang ke Kedah.
 
Jenazah Ustaz Fadzil Noor disemadikan di madrasah di tempat kelahiran beliau di Madrasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah sesuai dengan wasiat beliau. Semasa jenazah beliau hendak disemadikan ribuan rakyat hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada beliau, sehinggakan setiap orang yang datang berebut-rebut untuk mengangkat jenazah beliau sehinggakan jalan raya sesak teruk sehingga 20 km.
 
Kata-kata Terakhir

“… kalau boleh saya tak nak berhenti bercakap sebab saya berucap dengan orang yang saya kasihi dan saya sayang!” – Diucap oleh Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor ketika menyampaikan ucapan penangguhan di Muktamar PAS ke-48, muktamar yang terakhir sebelum beliau menghembuskan nafasnya terakhir.





Pusat Khidmat Hulur Bantuan Untuk Mangsa Ribut

22 06 2012

Tanjong Karang, 22 Jun    :    Prihatin dan simpati dengan penduduk setempat yang  telah ditimpa bencana yang mengakibatkan sebahagian besar bumbung rumah mereka tercabut semasa ribut yang melanda kampong mereka beberapa minggu yang lalu, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sungai Burong sekali lagi telah turun untuk memberikan bantuan kepada beberapa buah rumah yang paling teruk dilanda bencana tersebut

Bantuan telah disampaikan oleh Pegawai Penyelaras DUN Sungai Burong, Ustaz Mohamad Judi Bin Sarjo di Sawah Sempadan. Turut mengiringi beliau ialah Bendahari PAS Kawasan, Haji Roslan Jamaluddin, yang juga Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Block COJ, Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Kawasan, Abd Malek Abdul Majid dan Pengerusi JKKK block DKPV, Norazman Serin.

Sebanyak 16 buah rumah yang paling teruk ditimpa musibah semasa ribut tersebut, kami berikan bantaun berbentuk kewangan diantara RM1,000.00 sehingga RM3,000.00 bergantung kepada kerosakan untuk meringankan beban yang mereka tanggung akibat daripada bencana tersebut, katanya Mohamad Judi yang juga Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan.

Lain-lain bantuan telah diberikan oleh agensi kerajaan seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Pejabat Tanah dan Daerah. Dengan adanya bantuan tambahan ini, adalah diharapkan dapat membantu mereka menyiapkan sebahagian lagi rumah mereka yang rosak. Dan dapat tinggal dirumah mereka dengan lebih selesa.

Pada 9 Jun yang lalu, beberapa buah kampong di Tanjong Karang telah ditimpa ribut yang mengakibatkan sebagaian besar rumah yang terletak di Sawah Sempadan rosak teruk akibat darpada kejadian tersebut. Dianggarkan sebanyak 154 buah rumah telah terlibat dalam bencana tersebut yang sebahagian besarnya kehilangan bumbung.

Selain bantuan daripada agensi kerajaan negeri, Dewan Muslimat PAS Negeri (DMP) Selangor, yang diketuai oleh ketuanya, Hajjah Wan Hasrina Wan Hassan, juga turut memberikan sumbangan dan telah turun ke beberapa buah rumah untuk melihat sendiri bencana keadaan tersebut.





Kerajaan Negeri Selangor Bantu Sekolah Kebangsaan Cina

21 06 2012

Tanjong Karang, 21 Jun     :    Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Negeri (DUN) Sungai Burong hari ini telah menyampaikan bantuan perkapita kepada tiga buah Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SKJC) di Tanjong Karang mewakili Kerajaan Negeri Selangor.

Penyampian bantuan berkenaan telah disampaikan oleh Pegawai Penyelaras DUN Sungai Burong, Ustaz Mohamad Judi Sarjo. Tiga buah sekolah SKJC yang menerima bantuan tersebut ialah SKJC Tanjong Karang, SKJC Bagan Tengkorak dan SKJC Bagan Pasir.

“Pemberian ini menunjukkan Kerajaan Negeri Selangor, sangat prihatin untuk membangunkan institusi pendidikan, yang menjadi tempat asas untuk membina generasi pelapis dan pemimpin pada masa akan datang” katanya yang juga Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Tanjong Karang.

Dibawah kerajaan Pakatan Rakyat (PR), kerajaan telah memberikan banyak peruntukan untuk bidang pendidikan dan pembangunan modan insan. Kerana melalui pendidikanlah dapat membuka minda masyarakat supaya menjadi masyarakat yang celik ilmu dan pengetahuan, katanya lagi.

Bantuan ini adalah dibawah Pengerusi Jawatankuasa tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Dr Hajah Halimah Ali

Hadir sama menyampaikan sumbangan tersebut ialah Ahli Majlis, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Lee Bon Hong, Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Kawasan, Abd Malek Abdul Majid dan Pengerusi Dewan Himpunan Kelab Penyokong PAS (DHPP), Au Yong.





Kepimpinan Adalah Amanah Bukan Penghormatan

16 06 2012

Kampung Tok Adam, 15 Jun    :    Tugas sebagai seorang pemimpin bukan muda dan ianya bukanlah mrupakan satu penghormatan tetapi sebaliknya adalah merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, kata Timbalan Yang Dipertua (YDP) PAS Tanjong Karang, Drs Mohamad Rashdi Deraman.

Walaubagaimanapun, katanya, setiap pemimpin tidak boleh melaksanakan sesuatu kerja itu secara bersendirian tetapi mestilah dibantu oleh semua pihak untuk melaksanakan setiap program dan agenda yang dirancang.

Beliau juga berkata, sejak Pakatan Rakyat (PR) diberi mandat untuk memerintah negeri Selangor, banyak program-program yang membantu rakyat telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri. Oleh yang demikian rakyat diminta untuk terus memberikan sokongan kepada PAS bersama PR dalam Pilihanraya Umum akan datang.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap semasa program mendekati rakyat yang diadakan di rumah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tok Adam.

Dalam program tersebut juga Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sungai Burong memberikan sumbangan beras kepada penduduk kampong yang berpendapatan rendah disamping itu pihak PKM juga turut memberikan sumbangan beg sekolah kepada pelajar-pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Ahli-ahli Majlis, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohd Faizal Mohd Barja, Nor Az Azlan Ahmad, Haji Misran Serman, Ketua Dewan Muslimat PAS (DMP) Kawasan, Ustazah Hajjah Jamiyah Yussuf dan Ketua Penerangan PAS Kawasan, Ustaz Haji Mat Hasbollah Sudin.





Jenazah Ustaz Yahya Selamat Disemadikan

15 06 2012

Kota Bharu, 15 Jun    :     Jenazah mantan Setiausaha Majlis Syura Ulama’ PAS Pusat, Ustaz Dato’ Haji Yahya Othman, 73,  selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Labok, Machang dan diiringi oleh 1,000 orang ahli dan penyokong PAS.

Allahyarham meninggal dunia petang semalam dirumahnya selepas waktu asar dan meninggalkan seorang balu, Datin Hajah Habshah Hussin Rahimin serta empat orang anak. Jenazah Allahyarham telah disembahyang di rumahnya oleh Ketua Dewan Ulama’ PAS Negeri Kelantan, Ustaz Dato’ Haji Mohamad Daud Iraqi dan kali kedua di Masjid oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga Menteri Besar Kelantan.

Ustaz yahya yang dikenali sebagai seorang Murabbi adalah merupakan tokoh yang sangat berpengalaman dalam bidang dakwah, pernah menyandang beberapa jawatan penting di dalam PAS antaranya ialah Ahli Majlis Syura Ulama’ PAS Pusat, Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat dan AJK Dewan Ulama’ PAS Pusat serta Yang Dipertua (YDP) PAS Machang selama 20 tahun.

Allahyarham juga pernah dilantik Sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kelantan setelah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bonggol Judah, pada tahun 1990 sehingga tahun 1995.





Dato’ Yahya Othman Kembali Kerahmatullah

15 06 2012

Machang, 14 Jun    :    Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Kelantan, Ustaz Dato’ Haji Yahya Othman, 73, meninggal dunia hari ini, dirumahnya  di Labok, Machang selepas Asar, disisi isterinya, Datin Hajah Habshah Hussin Rahimin dan seorang anaknya suraya. Tiga orang lagi anaknya bekerja di luar Kelantan.

Allahyarham lebih dikenali sebagai  seorang murabbi dilahirkan pada 22 September 1939. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Labok, Machang setelah berusia lapan tahun Allahyarham telah dihantar ke Makkah oleh ibu bapanya dan menuntut di Darul Ulum Ad Diniah Shuib Ali selama sebelas tahun.

Allahyarham kemudian mengembara di beberapa negara arab sebelum menuntut di Universeiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1960. Selepas itu beliau memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Syariah Wal Qanun.

Pada tahun 1990, Allahyarham telah bertanding Dewan Undangan Negeri (DUN) Banggol Judah. Selepas itu beliau telah diamanahkan sebagai Ahli exco Kerajaan Negeri Kelantan oleh Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga tahun 1995.

Di dalam PAS beliau pernah diamanahkan beberapa jawatan penting antaranya sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama’ PAS pusat dan Ahli Majlis Syura Ulama’ PAS Pusat, Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, AJK Dewan Ulama’ PAS Pusat dan Yang Dipertua (YDP) PAS Machang selama 20 tahun. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.Al-Fatihah