Rasuah Boleh Dibanteras Jika Kembali Kepada Ajaran Islam

26 06 2012

Shah Alam, 26 Jun    :    Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, amalan rasuah tidak dapat dibendungi kerana undang-undang yang ada sekarang adalah ciptaan manusia. Kalau kita ingin mengatasi masalah rasuah sepenuhnya, kita perlu kembali kepada ajaran Islam dan Allah Taala.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucaptama di wacana ilmu “Buku Rasuah” yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah (SSAS) di Shah Alam.

“Jika ini tidak dapat dilaksanakan terlalu sukar untuk kita mengatasinya kerana kita adalah manusia yang mempunyai banyak kelemahan,” katanya lagi yang juga Mursyidul Am PAS.
 
Dalam pada itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut memberitahu amalan memberi habuan terutama dalam memancing undi pada pilihan raya adalah rasuah dan haram dilakukan.

 “Pemberian habuan pada pilihan raya juga merupakan rasuah dan haram tetapi itu tidak dipedulikan kepada mereka yang mengamalkan prinsip sekular dan demokrasi” ujarnya.
 
“Selagi pemimpin-pemimpin sekular tidak mengikuti ajaran Islam selama itulah rasuah akan terus menjadi raja di negara ini,”

Hadir sama dalam program tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dr Haji Abd Rani Osman, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor, Iskandar Abd  Samad dan Dr Ahmad Yunus Hairi.

Sementara itu, Dr Halimah Ali, dalam siding akhbarnya berkata, tujuan Kerajaan Negeri Selangor memanggil Tuan Guru Nik Abd Aziz adalah kerana, selama beliau memegang jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan selama lebih 20 tahun, negeri Kelantan telah selamat daripada sebarang amalan rasuah.

Ini sekaligus, katanya, selaras dengan hasrat kerajaan negeri Selangor bagi melahirkan sebuah negeri yang maju, idaman, sejahtera dan berkebajikan serta bebas daripada sebarang amalan rasuah dan penyelewengan sebagai PKFZ, NFC dan sebagainya.


Tindakan

Information

Tinggalkan komen