Tokoh : Tuan Haji Mustapa Bin Abd Karim, PJK

31 05 2011

Seorang yang istiqamah dalam perjuangan sejak usia, walaupun tidak berada di hadapan dalam saff kepimpinan PAS diperingkat Kawasan, namun beliau seorang yang komited dengan perjuangan dan banyak membantu PAS diperingkat bawahan. Tokoh yang terpilih pada kali ini ialah, Haji Mustapa Abdul Karim, 63, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK) Sungai Tengi Kanan Darat, yang juga Naib Ketua PAS Cawangan Sungai Tengi Kanan.

Latar Belakang

Merupakan anak kelima daripada lapan orang adik beradik, yang terdiri dari enam lelaki dan dua perempuan kepada pasangan Abdul Karim Talib dan Masiah Suwiriyo, yang bekerja sebagai seorang petani dan dilahirkan pada tanggal 28 Disember 1948 di Kampung Sungai Tengi Kanan Darat, Dato’ Manan Tanjong Karang.

Pendidikan

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Dato’ Manan pada tahun 1961 – 1963, kemudiannya ke Sekolah Arab Mamba’ul Umum, Dato’ Manan pada tahun 1963 – 1968 sehingga mendapat sijil Ibtida’ie. Selepas daripada itu beliau telah mengambil peperiksaan persendirian di Sekolah Menengah Dato’ Harun Tanjong Karang dan mengambil Sijil Rendah Pelajaran (SRP)(Sekarang Penilaian Menengah Rendah –PMR) pada tahun 1975.

Keluarga

Beliau telah dikurniakan seramai tujuh orang cahayamata, empat lelaki dan tiga perempuan hasil perkongsian hidup bersama isteri tersayang, Khatijah Bauk, pada tahun 1970. Lima orang anaknya telah bekerja dan telah mendirikan rumahtangga.  Beliau juga kini telah dikurniakan seramai dua belas orang cucu.

Kerjaya

Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Topo, memulakan kerjaya sebagai Tukang Kebun di Sekolah pada tahun 1970-1974, kemudian sebagai Pembantu Makmal pada tahun 1974-1979 sebelum menyertai pasukan bomba pada tahun 1980. Beliau yang bersara sebagai anggota bomba dengan jawatan terakhir sebagai Penyelia di Balai Bomba Tanjong Karang pada tahun 2003.

Salah seorang anaknya, Fadzli, juga turut mengikut jejak langkahnya sebagai anggota bomba dan sekarang berkhidmat di Balai Bomba Sekinchan Selangor.

Mula Menyertai PAS.

Mula menyertai PAS sebagai ahli biasa pada tahun 1970-an dan dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Cawangan Sungai Tengi Kanan beberapa tahun kemudian, sebelum dipilih sebagai Naib Ketua PAS Cawangan pada tahun 1999 sehingga sekarang.20120610_174132

Sebaik sahaja PAS bersama-sama dengan Pakatan Rakyat (PR) diberi amanah dan mandate untuk memerintah negeri Selangor pada tahun 2008, beliau telah dipilih dan diamanahkan sebagai Pengrusi JKKK Sungai Tengi Kanan Darat sehinggalah sekarang

Selain itu, apa yang lebih membanggakan ialah, jejak langkahnya sebagai seorang pendokong PAS telah diikuti oleh dua orang anaknya iaitu, Mohamad Fadzli Mustapa, yang memegang jawatan sebagai Pengarah Pilihanraya Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjong Karang dan Ustazah Siti Mariyam, yang terlibat sebagai AJK Lajnah ICT PAS dan Nisa’ Kawasan Tanjong Karang.

Aktiviti Masyarakat

Selain terlibat secara aktif dengan PAS dan diamanah sebagai Pengerusi JKKK atau Ketua Kampong, beliau juga turut terlibat secara aktif dengan masyarakat, selain diamanahkan sebagai Penasihat Masjid Dato’ Manan, beliau juga pernah dilantik sebagai bilal jenazah di qariahnya.

Penghargaan

Bagi menghargai segala bakti dan sumbangan yang telah dicurahkan kepada masyarakat, beliau telah dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sempena dengan Hari Keputeraan Baginda pada tahun 2010.

__________________________________________________________________________

Oleh : Mohamad Faizal Mohamed Barja

*Update 6/8/2015 – Penulis adalah Setiausaha PAS Kawasan Tanjong Karang Merangkap Pengurus Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sungai Burong yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjong Karang





Pelbagai Program Agama Telah Dilaksanakan Di Negeri Selangor

31 05 2011

Sungai Sireh, 30 Mei    :    Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali, berkata, sejak Pakatan Rakyat (PR) diberi peluang untuk pentadbir negeri Selangor, banyak program-program keagamaan banyak dijalankan dengan baik berbanding dengan pentadbiran yang lama.

Antara program besar yang telah dilaksanakan di negeri Selangor dan yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini bahkan di negeri-negeri lain ialah seperti program sahur perdana, yang dihadiri kira-kira 10,000 orang di Stadium Malawati Shah Alam pada bulan ramadhan yang lepas, katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menjadi ahli panel Forum Perdana Ehwal Islam yang bertajuk “Indahnya Islam” yang diadakan di Masjid At-Tuqa Sungai Sireh.

Kerajaan Negeri Selangor juga telah menghidupkan semula maahad thahfiz yang terletak di Jugra Banting, jika sebelum ini semasa di dalam pemerintahan yang lalu maahad thahfiz tersebut hanya mempunyai kira-kira 50 orang pelajar, tetapi kini pelajar di maahad thahfiz tersebut telah meningkat seramai lebih 500 orang, katanya lagi yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Gombak Setia.

Selain itu menurutnya, Kerajaan Negeri Selangor sedang berusaha untuk melahirkan Imam-imam muda yang boleh membimbing program-program qiamullail yang akan menjadi pembimbing kepada seluruh masyarakat di negeri Selangor.

Forum yang dipengerusikan oleh Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Dr Abd Halim Tamuri, turut membariskan Pensyarah Universiti Malaya, Ustaz Dr Roslan Mohamad dan Perunding Motivasi, Hajjah Wan Hasrina Wan Hassan, yang juga Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).





Pilih Pemimpin Yang Bertanggungjawab Dan Berakhlak

31 05 2011

Sungai Sireh, 30 Mei    : Setiap kali pulang daripada menghadiri Mesyuarat atau program pada waktu malam, saya sering melihat anak-anak muda lelaki dan perempuan dengan pakaian yang menghairahkan menaiki motorsikal. Di dalam hati ini, saya sering bertanya, anak siapakah mereka ini?, tentunya kita juga tertanya-tanya siapakah ibubapa mereka?, inilah masalah yang sering berlaku kepada anak-anak kita yang berbangsa melayu dan beragama Islam sekarang, kata Perunding Motivasi, Hajjah Wan Hasrina Wan Hassan.

Inilah situasi yang sering kita lihat kepada remaja-remaja Islam pada waktu ini terutamanya di Bandar-bandar, jadi siapakah yang akan bertanggungjawab untuk mengembalikan mereka ke jalan yang benar? Soalnya yang juga Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)

Jawapannya ialah selain ibubapa, kerajaan turut sama memainkan peranan untuk membina anak remaja supaya mereka tidak terpesong dari jalan yang baik. Oleh yang demikian adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat untuk memilih orang yang benar-benar berintegriti dan baik untuk diangkat sebagai pemimpin, katanya lagi yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri (DMPN) Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor hari ini telah melaksanakan pelbagai program untuk memperbaiki semula akhlak anak-anak remaja, salah satu daripadanya ialah semasa bulan ramadhan, kami bersama-sama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menganjurkan program tadarus perdana pada bulan Ramadhan mulai tahun 2008.

Walaupun pada tahun pertama program tersebut dilaksanakan kurang mendapat sambutan daripada anak-anak muda, tetapi pada tahun-tahun berikutnya sambutan bertambah baik telah diterima daripada kalangan mereka, katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu menjadi ahli panel Forum Perdana Indahnya Islam yang diadakan di Masjid At-Tuqa Sungai Sireh bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali dan Pensyarah Universiti Malaya, Ustaz Dr Roslan Mohamad. Forum telah dipengerusikan oleh Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Dato’ Dr Abdul Halim Tamuri.





Setiap Apa Yang Diperintah Allah Mempunyai Hikmah Di Sebaliknya

30 05 2011

Tanjong Karang 30 Mei    :    Pendakwah Bebas, Ustaz Sallehen Mukhyi, berkata, mengajak orang ramai menghayati firman Allah di dalam surah Al-Naml ayat 18 yang bermaksud “Pada satu ketika Nabi Sulaiman menghimpunkan satu bala tentera, mereka daripada jin, manusia dan burung, mereka semua berjalan bersama ke suatu tempat yang didiami oleh makhluk semut”

“ Setelah Nabi Sulaiman serta bala tenteranya tiba di tempat kediaman semut itu, maka berkata ratu semut kepada rakyat jelatanya, “Wahai kaum semut semua pergilah kamu masuk ke tempat kediaman kamu, kerana kamu semua tidak terdaya menanggung Nabi Sulaiman bersama tenteranya, sedangkan mereka tidak mengetahui di sini adalah tempat kediaman kamu.”

Pengajaran yang dapat kita ambil daripada firman Allah tersebut ialah, walaupun kita berusaha untuk mencari rezeki dibumi Allah, tetapi apa yang pertama sekali kita perlu lakukan ialah menyelamatkan diri kita daripada bala dan bencana, sebagaimana ratu semut tadi mengarahkan tenteranya supaya masuk ke dalam lubang supaya tidak dilanggar oleh tentera Nabi Sulaiman, katanya yang juga Pegawai Penyelas DUN Sabak.

Oleh itu, menurutnya, kita sebagai manusia yang telah diberikan akal oleh Allah SWT sepatutnya mengikut segala perintah yang telah disyariatkan oleh Allah, dan salah satu daripadanya ialah dengan menutup aurat sebagai mana yang telah diperintahkan kepada setiap muslimah.

Tambahnya, setiap apa yang disyariatkan oleh Allah kepada manusia tentunya mempunyai hikmah disebalik kewajipan tersebut. Oleh kerana itu, kita semua wajib melaksanakannya tanpa banyak soal.

Beliau berkata demikian sewaktu menjadi ahli panel dalam forum “Kempen Kesedaran Menutup Aurat” yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sungai Burong di pasar Isnin yang dipengerusikan oleh, Imam Masjid Sultan Ibrahim Kuala Selangor, Ustaz Mohd Ashraf Suarin Al-Hafiz.





Konsep Menutup Aurat Bukan Hanya Memakai Tudung Semata-mata

30 05 2011

Tanjong Karang, 30 Mei    :    Perunding Motivasi, Dr Rubiah K. Hamzah, berkata, konsep menutup aurat bagi wanita bukanlah hanya semata-mata menutup kepala, bahkan lebih daripada itu. apa yang menyedihkan dikalangan masyarakat kita hari ini ialah, ramai dikalangan wanita yang menutup aurat dengan bertudung dan sebagainya, tetapi tidak menjaga akhlak mereka dengan baik.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ceramah semasa Kempen Kesedaran Menutup Aurat yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sungai Burong di Pasar Pekan Tanjong Karang.

Ramai dikalangan kita yang menutup aurat, tetapi dalam masa yang sama melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Islam seperti mengumpat dan sebagainya.

Oleh itu katanya, setiap amalan atau perkara yang hendak kita lakukan perlulah dimulakan dengan niat yang betul, bukan kerana hendak menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah dihadapan orang. Sebagai contoh, kehadiran kita di dalam program seperti ini, hendaklah dimulakan dengan niat untuk menuntut ilmu dan memperbaiki diri, barulah mendapat pahala.

Beliau juga menyeru kepada kaum wanita khususnya ibu-ibu supaya sentiasa menuntut ilmu dari masa ke semasa. Tidak rugi sekiranya kita menuntut ilmu.

Program yang pertama kalinya diadakan tersebut telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai. Forum tersebut telah di pengerusikan oleh, Imam Masjid Sultan Ibrahim Kuala Selangor, Ustaz Mohd Ashraf Suarin Al-Hafiz





Gotong Royong Perdana MDKS Zon Tanjong Karang

29 05 2011

Tanjong Karang, 29 Mei    :    Gotong-royong Perdana 2011 telah diadakan di Taman Masria dan Wawasan. Program yang prtama kalinya diadakan di Zon Tanjong Karang tersebut telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk taman.

Program tersebut telah dianjurkan oleh Ahli-Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Zon Tanjong Karang dan telah dirasmikan oleh Pegawai Penyelaras DUN Sungai Burong, Drs Mohamad Rashdi Deraman.

Selain gotong royong bagi membersihkan sekitar taman tersebut, MDKS turut mengadakan program pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, serta membuka kaunter untuk memudahkan penduduk setempat membayar cukai dan cabutan bertuah.

Turut memeriahkan program tersebut ialah pelajar-pelajar daripada beberapa buah universiti tempatan yang hadir sempena dengan program Jalinan Mesra DUN Sungai Burong ’11.

Menurut Ahli Majlis, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohd Faizal Mohd Barja, yang juga penyelaras program berkenaan, ini adalah merupakan kali pertama program gotong royong ini diadakan di Zon Tanjong Karang khususnya di Taman Masria dan Wawasan.

Dengan adanya program seumpama ini, adalah diharapkan akan dapat merapatkan hubungan diantara MDKS dan penduduk setempat. Selain itu, penduduk setempat juga boleh melaporkan sebarang masalah  yang berlaku kepada pihak pengurusan MDKS untuk diambil tindakan yang sewajarnya, katanya lagi.

Sementara itu, Mohd Rashdi, di dalam ucapannya berkata, Islam memang sangat menggalakkan sifat tolong menolong diantara satu sama lain, terutamanya dalam soal kebaikan. Justeru itu, program seperti ini sangat baik dilakukan dan seharusnya diteruskan pada masa-masa akan datang.

 Bagi pihak PKM DUN Sungai Burong, memang sangat mengalu-alukan program-program seumpama ini, kerana ianya dapat merapatkan hubungan dengan anggota masyarakat serta memupuk semangat saling tolong menolong dan membantu diantara satu sama lain.

Antara yang hadir ialah Pemangku Yang Dipertua (YDP) MDKS, Haji Azahari Sairin, yang juga Setiausaha MDKS, YDP PAS Kawasan, Ustaz Mohamad Judi Sarjo, yang juga Mantan Ahli Majlis MDKS, Ahli-ahli Majlis, MDKS, Haji Misran Serman, Nor Az Azlan Ahmad, Nor Faizah Ismail, Low Tan dan Mohd Fakharuddin Ismail.





Pak Long Hiburkan Penduduk Sungai Burong

29 05 2011

Ampangan, 28 Mei    :    Buat pertama kalinya, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sungai Burong telah menganjurkan program Malam Kesenian Rakyat sempena dengan program Jalinan Mesra DUN Sungai Burong ’11 yang dianjurkan bersama Badan Kebajikan Wanita Islam (BEKAWANIS) Negeri Selangor.

Program tersebut yang telah dirasmikan oleh Pegawai Penyelaras DUN Sungai Burong, Drs Mohamad Rashdi Deraman, telah menampilkan beberapa persembahan antaranya ialah daripada band tempatan yang telah memberikan beberapa persembahan.

Turut diadakan ialah pidato khas yang disampaikan oleh Imam Masjid Jamiul Hasanah Batu 10, Ustaz Haji Mat Hasbollah Sudin yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan Tanjong Karang, selain beberapa persembahan seperti sajak dan pentomen yang disampaikan oleh mahasiswa dan siswi yang turut sama menjayakan program berkenaan.

Majlis tersebut turut diserikan dengan penampilan Pak Long yang dijemput khas untuk menjayakan program berkenaan.

Menurut Mohd Rashdi, program ini menunjukkan PAS sangat terbuka dan tidak pernah menghalang sebarang bentuk hiburan. Asalkan hiburan tersebut tidak bersifat melalaikan dan menyebabkan mereka menjadi leka.

Dengan kejayaan penganjuran program ini, sekurang-kurangnya ia dapat merapatkan jurang dengan golongan belia yang selama ini seolah-olah tiada haluan hidup dalam diri mereka, katanya lagi





Didik Mahasiswa dan Mahasiswi Berhadapan Dengan Masyarakat

28 05 2011

Kunci Air Buang, 27 Mei :    Ketua Dewan Muslimat PAS (DMP) Negeri Selangor, Hajjah Wan Hasrina Wan Hassan, berkata program jalinan mesra sebagaimana yang dilakukan pada hari ini dengan kerjasama daripada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sungai Burong, telah lama dilakukan oleh DMPN Selangor iaitu sejak tahun 1999.

Program seperti ini dapat mendidik para mahasiswa dan mahasiswi untuk berhadapan dengan kehidupan bersama masyarakat, selain itu ia dapat mendidik mereka untuk terlibat dengan aktiviti masyarakat seperti kenduri kendara dan sebagainya, katanya lagi.

Alhamdulillah, katanya, setelah lebih sepuluh tahun program tersebut berjalan, dan  diberi peluang untuk menjadi Kerajaan Negeri Selangor, program tersebut masih tetap terus berjalan. Program-program seumpama ini dirasakan sangat penting terutamanya yang melibatkan  mahasiswa untuk turun padang melihat sendiri kehidupan masyarakat.

Beliau yang juga Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) juga berkata, setelah sekian lama para mahasiswa dan mahasiswi duduk di menara gading dalam suasana kehidupan yang sangat selesa, kini sudah sampainya masanya mereka turun berhadapan dengan masyarakat setempat.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap di dalam majlis perasmian program Jalinan Mesra PKM DUN Sungai Burong ’11 yang dianjurkan bersama Badan Kebajikan Wanita Islam Selangor (BEKAWANIS) dan telah dirasmikan oleh Pegawai Penyelaras DUN Sungai Burong, Drs Mohamad Rashdi Deraman.





PKM DUN Sungai Burong Anjur Program Jalinan Mesra ‘11

28 05 2011

Kunci Air Buang, 27 Mei :    Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Negeri (DUN) Sungai Burong dengan kerjasama Badan Kebajikan Wanita Islam Selangor (BEKAWANIS) telah menganjurkan program Jalinan Mesra DUN Sungai Burong ’11.

Program yang bermula pada hari ini, telah melibatkan seramai 30 orang mahasiswa/wi dari beberapa buah Universiti tempatan untuk melaksanakan program bakti siswa selama lima hari.

Pegawai Penyelaras DUN Sungai Burong, Drs Mohamad Rashdi Deraman, telah merasmikan program tersebut yang diadakan di Dewan Orang Ramai Kunci Air Buang.

Di dalam ucapannya beliau berkata, Mahasiswa adalah merupakan asset yang sangat penting kepada masyarakat. Ini kerana mereka adalah merupakan pewaris dan pemimpin pada masa akan datang. Oleh yang demikian, program-program seperti ini akan melatih mereka untuk mendekatkan diri dengan masyarakat setempat.

Mahasiswa, katanya, bukan sahaja perlu menimba ilmu untuk mendapatkan segulung ijazah, tetapi mereka perlu menterjemah apa yang mereka pelajari dengan mengikuti program-program seperti ini. Tidaklah apa yang mereka pelajari selama menuntut di IPT hanya teori semata-mata.

Dalam program tersebut juga seramai 30 orang pelajar telah diserahkan kepada 15 keluarga angkat masing-masing.

Hadir sama dalam perasmian program tersebut ialah Ketua Dewan Muslimat PAS (DMP) Negeri Selangor, Hajah Wan Hasrina Wan Hassan, yang juga Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ketua DMP Kawasan, Ustazah Hajjah Jamiyah Yussuf dan lain-lain.





Umno Terdesak Untuk Rampas Kuasa Di Negeri Selangor

13 05 2011

Jalan Jepun, 12 Mei    :    Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu, mengigatkan seluruh jentera PAS supaya bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 yang dijangka akan diadakan pada tahun ini.

Umno akan melakukan apa sahaja bagi merampas semula negeri Selangor dari Pakatan Rakyat (PR), bagi Umno, menguasai Selangor adalah penting kerana negeri ini mempunyai pelbagai hasil negeri.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam pelancaran jentera PRU peringkat Dewan Negeri (DUN) Sungai Burong  di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS). Dalam program tersebut, setiap Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK) dalam DUN Sungai Burong telah diberikan Bendera PAS sebagai gimik pelancaran jentera pilihan raya peringkat DUN.

Beliau juga berkata, tindakan terdesak Umno bagi merampas kuasa di negeri Selangor juga jelas kelihatan dengan tindakan mereka mendaftarkan secara beramai-ramai pengundi yang berasal daripada Sabah untuk mengundi di Shah Alam. Selain itu mereka turut mendaftarkan rakyat asing sebagai pemilih dengan memberi kad pengenalan.

Turut hadir ialah Timbalan Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan, Drs Mohd Rashdi Deraman, yang juga Pengarah JPrD Sungai Burong, Naib YDP PAS Kawasan, Haji Misran Serman, yang juga Pengarah JPrK Tanjong Karang, Setiausaha PAS Kawasan, Nor Az Azlan Ahmad, Pengarah JPrD Permatang, Haji Miskon Misani dan lain-lain.