Tokoh : Ustaz Haji Safie Bin Jali

29 11 2010

Sebelum terlibat secara aktif dengan PAS, beliau pernah berkhidmat sebagai pendidik di Negara Brunei Darussalam sehingga beliau bersara pada tahun 1995 dan kembali ke tanahair. Ini menjadikan beliau adalah merupakan salah seorang pimpinan PAS yang berpengalaman luas terutamanya dalam bidang pendidikan.

Namun pengalaman yang ditimba selama berkhidmat sebagai pendidik di luar Negara tidak menjadikan beliau seorang pemimpin yang sombong dan angkuh, sebaliknya beliau adalah merupakan seorang pemimpin yang sentiasa merendah diri dan sederhana dalam semua perkara. Tokoh yang ditampil kali ini ialah Ketua Penerangan PAS Kawasan Tanjong Karang, Ustaz Safie Bin Jali, yang juga Ketua PAS Cawangan Tanjong Karang Pekan.

Latar Belakang

Ustaz Safie Bin Jali dilahirkan 60 tahun yang lalu pada tanggal 5 Jun 1950 di Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor. Beliau merupakan anak pertama daripada 14 orang adik beradik kepada pasangan Allahyarham Haji Jali Bin Hassan dan Hajjah Basiah Binti Bakri.

Bapanya bekerja sebagai seorang petani, manakala ibunya pula adalah merupakan suri rumah tangga sepenuh masa. Allahyarham bapanya telah meninggal dunia pada tahun 2009 yang lalu dan merupakan aktivis PAS dari awal sehingga ke akhir hayatnya.

Pendidikan

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Sungai Leman sebelum menyambung pelajaran di peringkat menengah disalah sebuah Sekolah Agama Menengah yang terletak di Bagan Dato’, Perak.

Setelah menamatkan pembelajaran di sekolah berkenaan, beliau melanjutkan pelajaran ke Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) di Nilam Puri, Kelantan, sehingga beliau memperolehi Diploma dalam bidang Syariah pada tahun 1975.

Kerjaya

Setelah berjaya membawa segulung diploma dalam bidang syariah, beliau telah diterima untuk berkhidmat sebagai guru agama di Sekolah Menengah Kebangsaan atau Maktab Paduka Seri Begawan, Brunei.

Beliau telah berkhidmat di sekolah berkenaan selama 20  tahun sehinggalah beliau bersara pada tahun 1995 dan kembali ke tanah air.

Keluarga

Beliau telah mendirikan rumahtangga pada tahun 1976 dengan Hajjah Hamidatin Nor binti Mokhtar pada usia 26 tahun. Hasil perkongsian hidup selama 34 taun beliau telah dikurniakan seramai  6 orang cahayatama, 2 lelaki dan 4 perempuan. Beliau kini telah dikurniakan seramai 5 orang cucu.

5 orang anaknya telah bekerja dalam pelbagai bidang seperti guru, pegawai, akauntan dan sebagainya. Manakala yang bongsu masih menuntut di Univeristi Teknologo Mara (UiTM) Shah Alam dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)

Mula Bergiat Aktif Dengan PAS

Selepas bersara sebagai seorang pendidik pada tahun 1995 beliau telah kembali ke tanah air, selepas itu beliau telah terlibat secara aktif dengan PAS. Bermula diperingkat cawangan sebagai Ketua PAS Cawangan Tanjong Karang Pekan pada tahun 1996, kemudian dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Kawasan Tanjong Karang pada tahun 1996 sehingga tahun 2001.

Pada tahun 2001 sehingga tahun 2005 pula beliau diamanahkan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan Tanjong Karang. Selepas itu beliau mengundurkan diri sementara untuk bergiat aktif diperingkat kawasan, walaubagaimana pun beliau masih memainkan peranan di peringkat cawangan.

Kini dalam usianya menjangkau, 60 tahun, beliau masih lagi memegang jawatan sebagai Ketua PAS Cawangan Tanjong Karang Pekan dan diamanahkan jawatan sebagai Ketua Penerangan PAS Tanjong Karang bagi sesi 2009 – 2011.

Selain beliau, isterinya yang juga pernah menjadi pendidik di Sekolah Rendah Agama (SRA) Parit 9 Sungai Panjang sebelum mengikutnya berhijrah ke Brunei, turut terlibat dengan PAS dan memegang jawatan sebagai Bendahari Jawatankuasa Muslimat PAS Cawangan (JMC) Tanjong Karang Pekan.

Allahyarham bapanya, Haji Jali bin Hassan, juga merupakan aktivis PAS sejak di awal penubuhan PAS Kawasan Tanjong Karang. Allahyarham bapanya adalah merupakan Ketua PAS Cawangan Tali Air 3 Dalam sehingga akhir hayatnya pada tahun 2006.

Allahyarham Haji Jali juga pernah dilantik sebagai Wakil Calon PAS, semasa Allahyarham Ustaz Zakaria Ansari menjadi calon PAS.

Aktiviti Masyarakat

Selain terlibat aktif dengan PAS, Ustaz Safie turut terlibat secara aktif dengan masyarakat, di peringkat lokaliti, beliau telah diamanahkan sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk (JKP) Taman Masria, Tanjong Karang.

Beliau juga adalah Pengerusi Biro Dakwah dan Tarbiyah Masjid Ar-Raudhah Tanjong Karang sejak tahun 2008 sehingga kini. Beliau turut terlibat dengan Maahad Thahfiz Jamiul Hasanah, Batu 10, Tanjong Karang sebagai Mudir sejak tahun 2009.





Perkahwinan Adalah Tuntutan Agama

27 11 2010

Tanjong Karang, 26 Nov    : Pensyarah Akademi Pengajian Islam (API) Universiti Malaya, Ustaz Dr Roslan Mohamad, berkata, asasnya perkahwinan adalah merupakan tuntutan agama. Tujuan perkahwinan adalah bagi melahirkan zuriat yang boleh menjadi penyambung kepada generasi akan datang.

Tetapi apa yang menyedihkan sekarang ialah, mengikut statistik yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), pasangan yang berkahwin ramai yang tidak dapat mengekalkan perkahwinan mereka, katanya sewaktu menjadi ahli panel forum” Memperkasa Institusi Keluarga” yang diadakan di perkarangan Masjid Ar-Raudhah, Tanjong Karang.

Ini semua adalah berpunca daripada pasangan yang mendirikan rumahtangga tersebut tiada kekuatan ilmu untuk membentuk sebuah keluarga yang beriman sebagainya yang dituntut oleh agama.

Bagi mengelakkan perkara tersebut berlaku, ujarnya, setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga mestilah mempunyai asas pengetahuan agama yang cukup, selain itu, mereka perlulah menghidupkan semangat beragama serta melahirkan keluarga yang soleh.

Setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga perlu mengetahui bahawa, sebagai ibu bapa mereka juga mempunyai amanah dan tanggungjawab yang wajib ditunaikan iaitu terhadap anak yang mereka lahirkan hasil daripada perkahwinan tersebut. Mereka akan disoal di hadapan Allah di akhirrat kelak, katanya lagi

Selain ibu bapa, katanya, pemimpin juga adalah orang yang bertanggungjawab secara langsung bagi memperkasa institusi kekeluargaan. Oleh sebab itu, setiap rakyat juga mestilah berhati-hati semasa memilih pemimpin.

Ada pemimpin, ujarnya, yang sesaat dia boleh bercakap soal kebaikan tetapi sesaat kemudian boleh bercakap soal kemaksiatan. Kita mestilah melahirkan pemimpin yang bukan sahaja boleh membuat jalan raya tetapi dalam masa yang sama boleh membawa rakyat ke jalan akhirat, supaya mendapat keredhaan daripada Allah.

Turut menjadi ahli panel dalam forum tersebut ialah Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ustaz Dr Azhar Yaakub. Forum tersebut telah dipengerusikan oleh Dato’ Dr Haji Hasan Mohamed Ali, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor.

Forum yang julung-julung kalinya diadakan tersebut telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada penduduk Tanjong Karang, seramai lebih 5,000 orang telah hadir mendengar forum tersebut.

Selepas itu, Dr Hasan yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, turut menyampaikan sumbangan kepada asnaf fakir miskin sekitar Tanjong Karang serta penyampaian cek kepada penerima skim mikro kredit.

Selain itu beliau turut menyampaikan cek bagi membaiki masjid blok S Sawah Sempadan yang bernilai RM129,778.60





Tanggungjawab Sebagai Ibubapa Adalah Kerjaya Yang Paling Profesional

27 11 2010

Tanjong Karang, 26 Nov    : Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ustaz Dr Azhar Yaakub berkata, setiap anak yang lahir kedalam dunia ini adalah dalam keadaan yang bersih dan suci. Ibu bapanyalah yang berhak mencorak anaknya mengikut acuan yang dikehendaki oleh ibu bapanya sendiri.

Selain  itu, sebagai ibu bapanya juga kita mestilah sentiasa istiqamah setiap masa untuk melakukan segala yang diperintah oleh Allah SWT serta menjauhkan daripada perkara yang dilarang oleh agama Islam.

Beliau yang juga merupakan adalah seorang pendakwah bebas berkata, tiada ada kerjaya yang paling professional di akhir zaman kecuali ibu bapa yang dapat mendidik anak-anak untuk menjadi anak yang soleh.

Beliau juga menegaskan, untuk menjadi ibu bapa yang baik, tidak semestinya memiliki pendidikan yang tinggi. Ada dikalangan ibu bapa yang tidak berpendidikan dan hanya bekerja  biasa, tetapi mereka dapat mendidik anak-anak hingga berjaya dalam bidang masing-masing.

Beliau berkata demikian sewaktu menjadi ahli panel forum” Memperkasa Institusi Keluarga” yang diadakan di perkarangan Masjid Ar-Raudhah, Tanjong Karang, selain beliau seorang lagi ahli panel ialah Pensyarah Universiti Malaya, Ustaz Dr Roslan Mohamed dan dipengerusikan oleh Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor





Perkasakan Keluarga Melalui Pendidikan Agama – Dr Hasan Ali

26 11 2010

Tanjong Karang, 26 Nov    : Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Dato’ Dr Haji Hasan Mohamed Ali, berkata, Kerajaan Negeri Selangor kini bukan sahaja menumpukan perhatian terhadapan pembangunan di sudut infrastruktur semata-mata tetapi turut menumpukan perhatian terhadap pembangunan di pelbagai sudut seperti kekeluargaan, pendidikan dan kerohanian.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan khutbah jumaat di masjid ar-Raudhah Tanjong Karang sewaktu melakukan lawatan kerja selama sehari ke kawasan Tanjong Karang sempena dengan program “Memperkasa Institusi Keluarga”.

Bagi melahirkan masyarakat yang bertaqwa, anak-anak mestilah dididik oleh ibubapa sejak dari kecil lagi dengan didikan agama yang mantap selain daripada pendidikan akademik. Jika anak-anak diberi pendidikan yang seimbang baik di sudut rohaninya mahupun jasmaninya, mereka dengan sendirinya tidak akan terlibat dengan pelbagai gejala sosial seperti kebanyakan yang berlaku dikalangan remaja pada masa kini.

Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Selangor sekarang telah melakukan pelbagai program bagi melahirkan sebuah keluarga yang cemerlang samaada di dunia ataupun di akhirat. Tidak ada gunanya jika seseorang itu berjaya dalam bidang yang diceburi tetapi hilang perasaan kasih sayang terhadap kedua ibubapanya, adik-beradiknya serta saudara-saudaranya sendiri, katanya yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Gombak Setia.

Oleh sebab itu, program “Memperkasa Institusi Keluarga” yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor ini dirancang adalah bertujuan untuk mendidik masyarakat khususnya dikalangan anggota keluarga supaya sentiasa mendekatkan diri dan memohon pertolongan daripada Allah SWT melalui program Qiamullail yang akan diadakan pada keesokan harinya dan akan dipimpin oleh seorang ustaz yang di datangkan khas dari kedah bagi memimpin dan membimbing seluruh masyarakat supaya mendekatkan diri dengan Allah.





EXCO Hal Ehwal Islam lawat SRA Parit 1 Sungai Sireh

26 11 2010

Sungai Sireh, 26 Nov    : Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Dato’ Dr Haji Hasan Mohamed Ali, telah mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Agama (SRA) Parit 1 Sungai Sireh yang berada dalam keadaan uzur sejak sekian lama.

Selain berada dalam keadaan yang uzur, SRA berkenaan juga tidak dapat menampung jumlah pelajar yang semakin meningkat setiap tahun. Pihak sekolah susah beberapa kali memohon kepada pihak kerajaan untuk mendirikan bangunan sekolah yang baru bagi menggantikan bangunan sekolah yang telah uzur, bagaimanapun permohonan tersebut masih tidak kelulusan.

Dr Hasan, yang pernah melawat sekolah tersebut pada tahun 2000 sewaktu menjadi Ahli Dewan Negeri (ADUN) Sungai Burong, telah melakukan lawatan ke beberapa bangunan sekolah berkenaan bagi meninjau sendiri keadaan sekolah tersebut.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, berjanji akan membantu pihak sekolah bagi mendapatkan bloak bangunan baru bagi kemudahan dan keselesaan kepada pelajar sekolah berkenaan.

Dalam masa yang sama, Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, juga turut mengadakan lawatan ke sebuah sekolah Agama Rakyat (SAR) yang terletak di perkarangan Masjid At-Tuqo Sungai Sireh dan berhampiran dengan SRA berkenaan.

SAR tersebut yang diasaskan oleh seorang anak tempatan lepasa sebuah pusat pengajian pondok di Pakistan, Ustaz Murad Othman Khatib, telah diwujudkan sejak 2 tahun yang lalu dan mempunyai 30 orang pelajar buat masa ini.

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah, Pegawai Tadbir Agama Daerah (PAID) Kuala Selangor, Ustaz Haji Hashim Mohamad, Ketua Operasi Lembaga Zakat Selangor (LZS) Daerah Kuala Selangor, Huzairi Ibrahim, Ahli Majlid Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohd Faizal Mohd Barja, Pegarah Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Negeri (DUN) Sungai Burong, Ustaz Mohd Judi Sarjo.

Penghulu Mukim Tanjong Karang 1, Jumasri Jumin, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Sireh, Musa Hussein, Pengerusi JKKK Kampung Haji Razali, Haji Abd Basid Abbas, Pengerusi JKKK Ampangan, Hamidon Salim dan beberapa lagi Penegrusi JKKK Mukim Tanjong Karang 1 serta pegawai-pegawai kanan pelbagai agensi Kerajaan negeri Selangor.





54 Orang Menerima Sumbangan MUE

25 11 2010

Tanjong Karang, 25 Nov    : Pemberian Fasa kedua Skim Mesra Usia Emas (MUE) sebanyak RM1,500.00 dibawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) kepada waris penama yang telah meninggal dunia telah diadakan sekali lagi di Perkarangan Masjid Ar-Raudhah, Tanjong Karang.

Program yang telah dirasmikan oleh Pengarah Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Negeri  (DUN) Sungai Burong, Ustaz Mohd Judi Sarjo, tersebut telah diadakan pada jam 3.00 petang dan berakhir pada jam 4.30 petang. Seramai 54 orang telah menerima sumbangan MUE pada kali ini yang terdiri dari dua DUN iaitu Sungai Burong dan Permatang.

Di dalam ucapannya, Ustaz Mohd Judi, menyeru kepada seluruh rakyat supaya terus memberikan sokongan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat (PR), kerana telah terbukti dibawah kerajaan sekarang, rakyat telah banyak menikmati pelbagai kemudahan, berbanding di bawah kerajaan sebelum ini yang telah mentadbir negeri Selangor selama lebih 50 tahun.

Ini menunjukkan kerajaan yang ada sekarang benar-benar ingin memberikan keselesaan kepada rakyat. Program MES seperti yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri Selangor ini adalah merupakan satu program yang sangat memberikan manfaat kepada rakyat, katanya yang juga Pemangku Yang Dipertua (YDP) PAS Tanjong Karang.

Antara yang hadir dalam program tersebut ialah Pengarah Pusat khidmat Rakyat (PKR) DUN Permatang, Haji Mohd Yahya Mat Shaari, Ketua Penolong Pegawai Daerah (KADO) Kuala Selangor (Bahagian Pembangunan Masyarakat), Haji Idzahar Rasidi, Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohd Faizal Mohd Barja, Penhulu Mukim Tanjong Karang 1, Jumasri Jumin dan Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).





DAP Memperjuangkan Hak Rakyat Tanpa Mengira Kaum

22 11 2010

Jalan Jepun, 22 Nov    : Ahli Dewan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim, menjelaskan pada 3hb November 2010, beliau telah mendapat jemputan untuk menghadiri program dialog bersama penduduk Kampung Kunci Air Buang bagi mendengar rintihan petani mengenai harga semasa padi.

Pada 4hb November 2010, saya dan pembantu saya telah hadir ke tempat berkenaan sekitar jam 11.00 pagi, setibanya di tempat tersebut, beberapa orang petani telah menyabut kedatangan saya, namun dalam masa yang sama sekumpulan orang yang berada di sekitar tempat tersebut mula rapat dengan kereta saya.

Pada mulanya saya menyangka mereka adalah petani yang ingin berkongsi masalah dengan saya, namun tiba-tiba salah seorang daripada mereka telah berteriak dan meminta saya pulang kerana saya bukan ADUN di kawasan berkenaan.

Selepas itu, mereka telah bertindak samseng  dengan membelasah saya bertubi-tubi, selain itu,  turut menerima asakan tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Ampangan, Hamidon Salim.

Akibat kejadian tersebut, saya telah mengalami kecederaan dan telah menerima rawatan di hospital, katanya lagi yang berucap dalam bahasa jawa.

Beliau juga melahirkan rasa hairan kenapa pemimpin Umno Tanjong Karang begitu takut dengannya sedangkan beliau hadir hanya untuk mendengar masalah yang dihadapi oleh rakyat berkaitan isu padi.

“saya datang bukan membawa apa-apa senjata, saya datang hanya untuk mendengar keluhan daripada para petani dan ditemani oleh beberapa orang teman, tetapi nampaknya mereka sangat takut dengan kehadiran saya di tempat berkenaan” ujarnya lagi.

Menurutnya lagi, sungguhnya saya merupakan ADUN DAP, saya tidak pernah membezakan rakyat dibawah, walaupun berlainan bangsa. Dalam sejarah tidak pernah ada mana-mana pemimpin MCA dan Gerakan yang diambil tindakan undang-undang kerana membela orang melayu.

Tetapi DAP tidak seperti MCA dan Gerakan, kami membela sesiapa sahaja yang tertindas dan dizalimi, contohnya ialah seperti Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, sewaktu menjadi Ahli Parlimen Kota Melaka, telah membela seorang gadis melayu yang telah di perkosa oleh pemimpim Umno/ Melayu di Negeri Melaka, katanya lagi.

Akibat peristiwa itu, Lim Guan Eng telah dipenjarakan selama beberapa tahun. Inilah diantara contoh yang perlu diambil perhatian oleh rakyat khususnya di DUN Sungai Burong dan Parlimen Tanjong Karang, katanya lagi.





Setelah Gagal Cipta Isu, Umno Mula Bertindak Ganas

22 11 2010

Jalan Jepun, 22 Nov    : Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir, meminta pengundi memastikan Umno tumbang di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Umno sekarang tidak mempunyai isu untuk menarik minat pengundi bagi memilih semula Umno dalam PRU akan datang.

Oleh sebab itu, mereka terpaksa mencipta pelbagai isu dengan harapan supaya rakyat memilih mereka dalam PRU akan datang.

Jika suatu masa lalu, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Abu Hasan Omar, pernah berkata dengan bongkak dan angkuh, jika Umno meletakkan tunggul kayu sekalipun, rakyat akan tetap penyokong Umno. Begitulah angkuh dan sombongnya mereka terhadap rakyat suatu masa lalu, sehingga mereka tidak pernah terfikir yang suatu hari nanti mereka  akan menjadi pembangkang di Negeri Selangor, katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) juga berkata, setelah mereka gagal menaikkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang memerintah Negeri Selangor, kini mereka menggunakan tindakan samseng seperti yang telah dilakukan terhadap Ahli Dewan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim.

Menurutnya, dalam sejarah sudah dua kali ADUN dibelasah oleh orang Umno. Kali pertama ialah sewaktu Speaker DUN Selangor, Teng Chang Kim, yang pada waktu itu merupakan ADUN Sungai Pinang, semasa berehat di kantin DUN Selangor, ADUN umno Pelabuhan Klang, Dato’ Zakaria Md Deros, telah menumbuk beliau, selepas bertikam lidah dalam persidangan DUN Selangor pada waktu itu.

Namun apa yang menghairankan, katanya, ialah selepas Ng Suee Lim, membuat laporan polis terhadap insiden yang menimpanya, pihak polis tidak membuat tangkapan terhadap mereka. Inilah sikap “double standard” pihak polis, katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ceramah penjelasan isu semasa di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS). Turut berucap ialah Pemangku Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan, Us Mohd Judi Sarjo dan Ketua Cabang PKR Tanjong Karang, Yahya Mat Shaari.





Ahli PAS Diseru Giatkan Daftar Pemilih Baru

22 11 2010

Jalan Jepun, 22 Nov    : Pemangku Yang Dipertua (YDP) PAS Tanjong Karang, Ustaz Mohd Judi Sarjo, meminta ahli-ahli PAS bekerja keras untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan aluan sempena dengan ceramah penjelasan isu semasa oleh Ahli Dewan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim dan Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir yang diadakan di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS).

Selain itu, perkara utama yang perlu digerakkan oleh setiap ahli PAS ialah mendaftarkan pemilih-pemilih baru yang layak untuk mengundi dalam PRU ke-13 akan datang.

Beliau yang juga Pengarah Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sungai Burong, turut menyelar tindakan segelintir pemimpin Umno Bahagian Tanjong Karang pada 4 November 2010 lepas, kerana telah bertindak memukul ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan keselamatan Kampung (JKKK) Ampangan, di Kampung Kunci Air Buang bagi mendengar rintihan petani mengenai harga Padi.

Mereka menafikan bahawa mereka adalah ahli Umno, tetapi gambar yang tertera jelas menunjukkan mereka adalah orang kuat Umno Bahagian Tanjong Karang dan Pemuda Umno Bahagian Tanjong Karang, katanya lagi.

Antara yang turut hadir ialah Ketua Cabang PKR Tanjong Karang, Yahya Mat Shaari, Naib YDP PAS Kawasan, Haji Misran Serman, Setiausaha PAS Kawasan, Nor Az Azlan Ahmad dan pimpinan PAS Kawasan Tanjong Karang.





Penjelasan Isu Semasa

18 11 2010