Halangan dan cabaran untuk melaksanakan Islam secara Kaffah

18 08 2009

Tanjong Karang, 16 Ogos              : Kehidupan yang rencam di samping pergaulan yang luas dengan manusia dari berbagai agama, budaya dan warna kulit telah menyebabkan terdapat umat Islam yang lemah keyakinan serta iltizam mereka kepada agama ini sehingga bertindak memusuhinya secara sedar atau tidak sedar, kata Pghani-shamsudin03engerusi Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SHURA), Ustaz Haji Abd Ghani Samsudin semasa membentangkan kertas kerja di dalam Seminar Penghayatan Islam Secara Kaffah di Dewan Dato’ Hormat Tanjong Karang.

Walaupun wacana dan ungkapan lahir mereka menegaskan tentang keislaman mereka , malah mereka bersumpah untuk meyakinkan tentang keimanan mereka kepada orang Islam namun mereka disisi Allah tetap dianggap musuh . Inilah yang ditegaskan oleh ayat 204 dalam surah berkenaan, katanya lagi.

Golongan ini, menurutnya, apabila memegang tampuk kuasa mereka merosak asas-asas kehidupan beragama yang mantap sebelumnya dengan niat untuk melemahkan komitmen umat kepada Islam.Bahkan polisi dan arah pentadbiran yang merosak ini samapai merosakkan juga alam, tanaman dan persekitaran dalam jangka panjang. Ini digadai kerana tujuan mendapatkan keuntungan yang segera para kroni dan kaum kerabat.

Golongan berkenaan tidak boleh ditegur atau dinasihati. Mereka berterusan melakukan penyimpangan dan kezaliman. Tegur nasihat dihadapi dengan tindakan agresif menindas, meng”ISA”kan rakyat dan sebagainya. Mereka merasa serba betul dan pandai. Mereka tidak dapat dipulihkan lagi.”Hati mereka tertutup rapat kerana lumuran noda dan dosa perbuatan mereka”.

Bertentangan dengan golongan ini terdapat pula dalam masyarakat kumpulan yang bersedia berkorban untuk kepentingan agama dan masyarakat. Golongan ini perlu dibantu dan diperkasa demi kebaikan umat dan negara. Mereka adalah golongan yang istiqamah berpegang teguh dengan Islam yang bersifat menyeluruh.

Seminar yang julung-julung kalinya ini dianjurkan oleh Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SHURA), Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Burong dan Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor telah mendapat sambutan yang menggakan daripada orang ramai.





Masuklah Islam Secara Kaffah

18 08 2009

cikguazmiterasTanjong Karang, 16 Ogos              : Didalam surah Al-Baqarah ayat 208-209 Allah berfirman “Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah setan. Sesungguhnya setan itu musuh yang nyata bagimu.Tetapi jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah, bahwasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.

Seruan  Al Baqarah ayat  208  adalah panggilan Allah khusus buat yang beriman. Iaitu identiti yang diberi oleh Allah sendiri. Yang membezakan dan memisahkan mereka secara jelas dan unik dengan mereka yang menolak petunjuk Allah dan Rasul, kata Pengerusi Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) Haji Azmi Abdul Hamid sewaktu membentangkan Kertas Kerja di dalam Seminar Penghayatan Islam Secara Kaffah di Dewan Dato’ Hormat, Tanjong Karang.

Maka seruan ayat ini adalah langsung dan khusus kepada  mereka yang mengaku melafazkan kalimah Syahadah dan beriman kepada apa yang dilafazkan.

Mesejnya jelas. Menerima Islam tidak boleh mengikut selera sendiri. Mengaku beriman tidak boleh menerima sebahagian perintah Allah dan menolak sebahagian yang lain. Mengistiharkan diri sebagai Muslim tidak boleh memilih-milih perintah Islam yang mana yang mahu dipatuhi dan perintah yang mana yang ingin ditolak.

Masuklah Islam secara kaffah itu adalah isyarat jelas bahawa Allah tidak membenarkan agamanya hanya diterima mengikut selera manusia. Samada urusan seorang Islam itu menyentuh hal yang dianggap kecil mahupun besar.

Bermakna segala-galanya ( secara total ) hendaklah tunduk kepada acuan yang telah ditetapkan oleh Islam. Ini meliputi soal niat dan perasaan, pemikiran dan sikap, percakapan dan perlakuan, diperingkat peribadi  dan berkeluarga, berstatus seorang anggota masyarakat mahupun warga Negara, dalam urusan ekonomi, budaya, keorganisasian, pengurusan sumber mahupun kepimpinan.

Pokoknya dalam keadaan apa sekalipun seseorang itu harus berada dalam sibghah (acuan) Islam, semada dalam kesenangan maupun ketika ketakutan. Dalam keadaan senang atau sempit, lapang atau sibuk.

Tunduk dan patuh kepada Allah, dan ridha kepada hukum dan qadha-Nya, semestinya menjadi gaya hidup dan budayahidup setiap Muslim. Tidak ada yang tersisa melainkan seorang Muslim akan sedaya upaya melakukan apa yang diperintah Allah S.W.T., katanya lagi.





Penghayatan Islam Secara Kaffah dalam Politik dan Bernegara

18 08 2009

Tanjong Karang, 16 Ogos      :           Satu-satunya sebab kenapa manusia diciptakan oleh Allah adalah untuk menjadikan hambaNya. Dalam konteks ini, menjadi hamba Allah bermaksud mematuhi segala perintah/suruhan Allah dan meninggalkan semua larangan Allah. Suruhan dan larangan Allah dikenali juga sebagai peraturan atau syariat Allah.  Allah sebagai Pencipta hamba-hambaNya, termasuk manusia, sudah semestinya lebih mengetahui keperluan dan peraturan yang diperlukan oleh manusia, kata Bekas Penyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Wan Abd Rahman Wan Abd Latif di dalam seminar Pengahayatan Islam Secara Kaffah di Dewan Dato’ Hormat, Tanjong Karang.

Dengan mengikut syariat Allah dalam pelbagai bidang kehidupan manusia (sosial, politik dan ekonomi) maka kehidupan manusia akan selamat dunia dan akhirat. Dalam kehidupan di dunia manusia akan menjalani kehidupan yang stabil dan aman (mizan) sekaligus tidak akan berkecenderungan untuk melakukan perkara-perkara yang buruk yang dilarang oleh Allah (maksiat) yang menyebabkan kehidupan mereka akan porak-peranda (fasad). Sebagai hamba-hamba Allah, manusia mesti merealisasikan peranannya sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini. Sebagai khalifah Allah dan sekaligus melaksanakan syariat Allah, maka kehidupan manusia akan menjurus kepada kehidupan yang baik, aman dan sejahtera (falah) disamping mendapat keredhaan dari Allah (mardhatillah).

Institusi politik, dalam bentuk kerajaan yang memerintah, adalah institusi yang penting bagi menggerakkan anggota masyarakat, berlandaskan dasar-dasar yang digubal dan digunapakai, agar perjalanan kehidupan masyarakat adalah selari dengan kahendak syariat Illahi. Atas dasar ini jugalah pemerintah yang taqwa (yang patuh pada syariat Allah) adalah golongan yang pertama yang mendapat pengiktirafan dan perlindungan Allah di akhirat besok.

Dalam menjalani syariat Allah ia perlu bersifat menyeluruh (kaffah) dan terbebas dari semua aspek syirirk kerana Islam amat melarang bercampurnya di antara al-haq( yang bersumberkan Allah) dengan al-bathil ( yang bersumberkan syaitan). Berlakunya percampuran antara kedua unsur ini menyebabkan Islam tidak akan menjadi satu cara hidup (ad-dinn) yang tinggi dan menyeluruh yang mentakrif seluruh kehidupan anggota masyarakat dalam sesebuah negara.





Kenyataan Media Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

5 08 2009

KENYATAAN MEDIA

BADAN PERHUBUNGAN PAS NEGERI SELANGOR

“KONTROVERSI ISU ARAK DI NEGERI SELANGOR”

PENDAHULUAN

Meminum arak ataupun minuman beralkohol yang memabukkan merupakan salah satu dosa besar dalam agama Islam. Ia haram diminum samada dalam kuantiti yang banyak ataupun sedikit, samada si peminum tadi mabuk ataupun tidak akibatnya.

Allah swt berfirman di dalam al Quran, maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. “ (al Maidah: 90)

Nabi Muhammad S.A.W pernah melaknat mereka yang terbabit dengan arak ini iaitu sebanyak 10 golongan melalui sabdanya:

“Rasulullah s.a.w. melaknat tentang arak, sepuluh golongan: (1) yang memerahnya, (2) yang minta diperahkannya, (3) yang meminumnya, (4) yang membawanya, (5) yang minta dihantarinya, (6) yang menuangkannya, (7) yang menjualnya, (8) yang makan harganya, (9) yang membelinya, (10) yang minta dibelikannya. ” (Hadis riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)

 ENAKMEN JENAYAH SYARIAH (SELANGOR) 1995

Oleh itu kerajaan bertanggungjawab memastikan yang rakyat jelata khasnya yang beragama Islam tidak terlibat dalam aktiviti yang membabitkan arak ini tambahan pula di Negeri Selangor, umat Islam di negeri ini adalah tertakluk dan terikat pada Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang berkuatkuasa sejak 22 November 1996 yang telah mengkategorikan meminum dan menjual arak sebagai suatu kesalahan jenayah syariah.

Melalui Enakmen ini di bawah kategori kesalahan minuman yang memabukkan dinyatakan di bawah Seksyen 18 (1) dan (2) iaitu:

(1)                Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

(2)                Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

INISIATIF MEMBEBASKAN UMAT ISLAM DARI ARAK DI SELANGOR

Diperingkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) contohnya di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berdasarkan sentimen dan tuntutan masyarakat, usaha telah dilakukan untuk memperkenalkan peraturan bagi mengawal penjualan arak ini iaitu di kawasan masyarakat yang majoriti penduduknya beragama Islam. Inisiatif ini turut diambil oleh ahli-ahli majlis di PBT-PBT yang lain di Selangor.

Walaubagaimanapun harus diberi perhatian bahawa segala usaha di atas TIDAK sama-sekali melibat atau membabitkan hak masyarakat bukan Islam di Negeri Selangor. PAS Selangor tidak pernah menuntut agar arak ini diharamkan dijual atau diminum dikalangan masyarakat bukan Islam.

Inisiatif yang diambil adalah untuk membebaskan umat Islam Selangor dari pengaruh dan budaya arak yang haram hukumnya disisi Islam dan bukan untuk menganggu-gugat hak masyarakat yang bukan Islam.

Oleh itu PAS Selangor kesal apabila inisiatif dari tindakan untuk mengawal pengurusan penjualan dan peminuman arak ini dikalangan masyarakat Islam telah dicampuri oleh pihak-pihak yang tertentu. Campurtangan membabitkan insiden di Shah Alam pada 30 Julai 2009 lalu dengan mempertikaikan keputusan pihak PBT dan para pegawai MBSA yang melaksanakan tugas ternyata telah mengingkari saluran-saluran pentadbiran yang sepatutnya.

Malah PAS Selangor mendapat laporan bahawa campurtangan itu (dan beberapa tindakan serupa sebelum ini) telah menganggu dan menjejaskan moral ahli-ahli majlis PBT dan para pegawai serta kakitangan kerajaan amnya.

TUNTUTAN-TUNTUTAN DAN TINDAKAN PAS SELANGOR

PERTAMA: Dengan perkembangan ini PAS Selangor mendesak agar kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Tan Sri Dato’ Abd Khalid bin Ibrahim agar serius dan menyegerakan garis panduan yang seragam bersesuaian dengan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, untuk digunapakai seluruh negeri Selangor, supaya kontroversi seumpama ini tidak berulang sehingga meresahkan masyarakat Islam di sini.

KEDUA: PAS Selangor turut menggesa agar pemegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dikaji semula berikutan dengan rentetan beberapa peristiwa sebelum ini.

KETIGA: PAS Selangor mengeluarkan arahan kepada seluruh kekuatan parti di negeri ini untuk mengambil langkah-langkah yang wajar dan bersesuaian dengan kedudukan dan jawatan masing-masing agar usaha untuk membebaskan umat Islam dari arak ini dilakukan secara serius dan berterusan, menurut adab, peraturan dan undang-undang yang sedia ada, demi keselamatan dan kesejahteraan seluruh masyarakat dan umat Islam di negeri ini.

KEEMPAT: PAS Selangor akan segera mengemukakan draf peraturan kecil mengenai penggunaan arak dikalangan masyarakat Islam untuk dikuatkuasa diperingkat PBT-PBT.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, PAS Selangor mengesan bahawa keseluruhan rentetan kes-kes ini sesungguhnya berpunca dari kegagalan dan kelemahan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor yang telah diberi peluang oleh rakyat untuk mentadbir negeri ini lebih 50 tahun lalu.

Pimpinan UMNO Selangor semasa berkuasa dahulu terbukti tidak sama-sekali serius dan jujur dalam menyelesaikan masalah orang-orang Islam termasuklah berhubung penjualan dan peminuman arak ini. Oleh itu PAS kini melalui mandat yang diberikan rakyat kepadanya, bertanggungjawab untuk memperjuangkan isu ini demi kepentingan masyarakat Islam dan seluruh rakyat amnya.