Tokoh : Ustazah Hajjah Jamiyah Binti Yussuf

28 02 2011

Menjadi Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMP) Tanjong Karang termuda ketika diamanahkan jawatan tersebut pada tahun 2003, ketika berusia 35 tahun, menjadikan beliau seorang pemimpin yang berpengalaman dan aktif menjalankan kerja-kerja dakwah dan politik khususnya di Tanjong Karang.

Ustazah Hajjah Jamiyah Binti Haji Yussuf, 47, yang juga lepasan Ijazah Sarjana Muda (BA) (Hons) dalam bidang Usuluddin dari Universiti Al-Azhar, Mesir juga merupakan seorang pendakwah bebas yang aktif di daerah Kuala Selangor dan sering menerima jemputan di jabatan-jabatan kerajaan dan swasta.

Latar Belakang

Beliau dilahirkan pada 14hb Ogos 1968 di Kampung Parit 4 Sungai Burong. Beliau merupakan anak ke 4 daripada 5 orang adik beradik, 2 Lelaki dan 3 Perempuan. Bapanya Haji Yussuf Bin Rasidi, adalah merupakan seorang petani. Manakala ibunya, Hajjah Ramlah Binti Abd Manaf, juga merupakan seorang petani.

Pendidikan

Ustazah Jamiyah, mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit 4 dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Parit 4 pada tahun 1975 sehingga tahun 1980. Manakala pada tahun 1981 beliau telah melanjutkan pelajaran ke Sekolah Agama Menengah Seri Desa (SAMSED) sehingga Tingkatan Tiga pada tahun 1983.

11284_428804617195891_1034845031_nManakala pada tahun 1984 sehingga tahun 1986 beliau telah melanjutkan pelajaran di Sekolah Agama Menengah Tinggi Hishamuddin (SAMTH) Kampong Jawa, Klang sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Demi untuk menambahkan ilmu yang diperolehi dalam bidang agama beliau telah belajar di beberapa buah pondok sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun 1993. Manakala pada tahun 1996 beliau telah berjaya menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda (B.A) Hons dalam bidang Usuluddin dari Universiri berkenaan.

Keluarga

Beliau telah mendirikan rumahtangga kali pertama dengan seorang bekas penuntut aliran yang samaP1010461 daripada Makkah, Ustaz Haji Pasiran Ahmad (Allahyarham), yang juga seorang tenaga pengajar di Maahad Thahfiz Jamiul Hasanah Batu 10 Tanjong Karang pada tahun 2000 sehingga tahun 1997.

Namun kebahagian yang dikecapi tidak lama, apabila pada tahun 1997 suaminya yang telah meninggal dunia setelah jatuh daripada rumahnya semasa hendak membaiki bumbung dibahagian dapur rumanya.

Sepanjang perkahwinannya, beliau tidak dikurniakan cahayamata, walaubagaimanapun beliau telah memelihara 2 orang anak angkat yang diambil daripada keluarga  kurang berkemampuan.

Pada akhir tahun 2011, beliau telah mendirikan rumahtangga kali kedua dengan Ketua Penerangan PAS Kawasan Tanjong Karang, Ustaz Mat Hasbollah Sudin, yang juga Bekas Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjong Karang.

Kerjaya

Sekembalinya daripada Timur Tengah, beliau bernah berkhidmat sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di Kuala Lumpur selama 2 tahun sebelum pulang ke Tanjong Karang untuk menjadi pendakwah bebas sepenuh masa sehingga sekarang.

Mula Bergiat Aktif dalam Politik

Beliau mula bergiat aktif dengan PAS sebaik sahaja pulang daripada timur tengah dan tinggal di Tanjong Karang. Pernah diamanahkan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) DMP Kawasan pada tahun 1999 sehingga tahun 2001.

Pada tahun 2001, beliau telah dilantik sebagai Pemangku Timbalan Ketua DMP Kawasan, apabila Timbalannya pada waktu itu, Ustazah Hajjah Siti Sabariah Hashim, dilantik  sebagai Pemangku Ketua DMP Kawasan, setelah Ketua DMP Kawasan, Allahyarhamah Ustazah Hajjah  Shamsiah Salleh, meninggal dunia akibat penyakit barah.

Manakala pada tahun 2003 beliau telah dipilih sebagai Ketua DMP Kawasan menggantikan Ustazah Hajjah Siti Sabariah Hashim, yang berundur untuk memberi laluan kepada muka baru. Dan beliau telah memegang jawatan tersebut sehingga tahun 2014.

Selain itu beliau juga adalah merupakan Timbalan Pengarah 4, Jabatan Pilihan Raya Kawasan  (JPrK) PAS Kawasan Tanjong Karang  dan Timbalan Pengarah 4, Majlis Tindakan DUN (MTD) Sungai Burong sejak tahun 2003 sehingga tahun 2014.

Diperingkat negeri pula beliau pernah diamanahkan sebagai Pengerusi Tetap DMP Negeri Selangor dari tahun 2005 sehingga tahun 2009.

Aktiviti masyarakat

Selain bergiat aktif dalam politik, beliau juga turut terlibat secara aktif dengan aktiviti masyarakat, selain sering dijemput untuk menjadi penceramah kepada kaum-kaum ibu, beliau juga mengajar di jabatan-jabatan kerajaan seperti Hospital Tanjong Karang dan sebagainya.

Beliau juga bergiat aktif dalam Unit Mubalighah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Daerah Kuala Selangor. Selain  turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Kajang sejak tahun 2008 yang lalu.

_________________________________________________________________________________________

Oleh : Mohamad Faizal Mohamed Barja

*Update 4/8/2015 – Penulis adalah Setiausaha PAS Kawasan Tanjong Karang Merangkap Pengurus Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sungai Burong yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjong Karang





Sukan Paintball Mampu Bentuk Semangat Berpasukan

27 02 2011

Kuala Selangor, 27 Feb    : Perlawanan “Paintball” mampu melahir peserta untuk bekerja dalam satu pasukan, bagi mengatur strategi dalam menghadapi pihak lawan. Selain itu ia juga boleh melatih setiap pasukan supaya membuat prancangan yang rapid an tertaur sebelum melakukan sesuatu tindakan, kata Ahli Majlis, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohd Faizal Mohd Barja.

Permainan Paintball, katanya, telah dihasilkan oleh sebuah syarikat cat iaitu Nelson pada tahun 1950 yang bertujuan untuk sebagai penanda pokok dari jarak jauh. Manakala permainan paintball pertama telah dimainkan oleh dua orang sahabat dalam hutan di New Hampshire dan seterusnya ianya dijadikan satu permainan sukan. Dan pada 27 Jun 1981 Seramai 12 pemain telah memulakan sejarah permainan paintball dengan menggunakan pistol Nel-Spot 007.

Sukan Paintball telah diiktiraf sebagai sejenis sukan luar (outdoor) yang paling diminati ramai.  Sehingga kini ia menduduki tempat ketiga permainan sukan lasak yang paling digemari di dunia dengan mempunyai 12 juta peminat di seluruh dunia.  Sukan ini telah dimainkan oleh pemain-pemain dari pelbagai peringkat umur dan kumpulan sama ada lelaki mahupun wanita dari lebih 40 buah negara di dunia, katanya lagi yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan upacara penutup perlawanan Paintball anjuran Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Zon 1D Tanjong Karang yang diadakan di Padang Arena Paintball MDKS di Kuala Selangor.

Seramai lapan pasukan telah menyertai perwalanan yang julung-julung kalinya diadakan ini. Kumpulan Unit Amal telah mendapat tempat pertama bagi kategori lelaki manakala kumpulan Islamic Girl pula mendapat tempat pertama bagi ketagori perempuan.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Ahli Majlis MDKS Zon 3B, Nor Az Azlan Ahmad, Pengerusi PeBT Zon 1D Shahran Mohd Salleh dan lain-lain.





Pertandingan Satu Lawan Satu di DUN Merlimau dan Kerdau

27 02 2011

Merlimau, 26 Feb    : Kedua-dua calon PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Usraz Yuhaizad Abdullah dan Kerdau, Hasanuddin Salim, akan ditentang oleh calon Barisan Nasional (Bn).

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Negeri Melaka, Yuhaizad, 38 akan ditentang oleh calon Bn, Roslan Ahmad. Manakala Ketua Penerangan PAS Pahang, Hasanuddin Salim, 43, pula akan ditentang oleh, Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Kedua-dua PRK Kecil tersebut diadakan berikutan kematian penyandangnya iaitu, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Melaka, Dato’ Mohd Hidhir Abu Hasan, yang juga ADUN Merlimau pada 20 Januari 2011 di Hospital Pakar Putra, Melaka kerana serangan jantung.

Manakala ADUN Kerdau, Dato’ Zaharuddin Abu Kassim, juga daripada Bn pula meninggal dunia pada 11 Februari 2011 di Institut Jantung Negara (IJN).

Di Merlimau calon PAS diiringin oleh Timbalan Presiden, Ustaz Haji Nasharuddin Mat Isa, Ahli-ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Ustaz Abd Ghani Abd Rahman, yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed, yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Presiden PKR, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim dan ramai lagi.

Manakala di Kerdau calon PAS diiringi oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Naib Presiden PAS Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, AJK PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad, bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Tuan Guru Mohd Baqi Othman, Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh, EXC0 Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu dan ramai lagi.





Hasanuddin Dan Yuhaizad Wakili PAS Di DUN Kerdau Dan Merlimau

25 02 2011

Kerdau, 24 Feb    : Ketua Penerangan PAS Negeri Pahang, Hasanuddin Salim, 43, telah dipilih mewakili PAS untuk bertanding di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau yang akan diadakan pada 6 Mac 2011 ini.

Pencalonan Hassanudin diumumkan oleh Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kompleks PAS Pahang. Beliau merupakan bekas calon PAS yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, tetapi tewas kepada calon BN, Allahyarham Dato’ Zaharuddin Abu Kassim.

Hassanudin tewas dengan majoriti 1,615 undi. Beliau mendapat 2,520 undi, manakala Zaharuddin memperolehi 4,135 undi. Beliau juga adalah seorang usahawan kelulusan Diploma ukur tanah Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Hasanuddin dilahirkan di Kampung Loyang, Sanggang, Temerloh dan mempunyai seorang isteri serta tujuh orang anak.

Sementara itu, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Negeri Melaka, Ustaz Yuhaizad Abdullah, 38 pula telah diumumkan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai calon PAS yang akan bertanding di dalam PRK DUN Merlimau yang juga akan diadakan pada 6 Mac 2011.

Yuhaizad yang juga Timbalan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Jasin, Melaka adalah lepas Diploma Tasawur Islam daripada ILHAM serta memiliki Sijil Kejuruteraan Mekanikal dari Institut Kemahiran Mara, Jasin

Beliau terlibat di dalam bidang politik sepenuh masa dan adalah anak watan Merlimau serta seorang pemimpin muda yang dikenali ramai, mesra dan mudah dikenali.

Pengalaman luas dalam badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Belia 4B, Pertubuhan Kebajikan seperti Yayasan Amal Malaysia dan persatuan penduduk memastikan beliau menjadi aset kepada rakyat dan negeri sekiranya terpilih mewakili DUN Merlimau pada pilihan raya nanti.





Semua Pihak Diminta Membantu Menangani Gejala Sosial

13 02 2011

Shah Alam, 13 Feb    : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim, mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negri Selangor, Dr Hajjah Halimah Ali, kerana terus melaksanakan pelbagai program bagi menangani gejala sosial yang banyak melanda remaja di Negeri Selangor ini.

Adalah menjadi hasrat kerajaan negeri Selangor bagi merealisasikan sebuah negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan. Oleh yang demikian, usaha yang dilakukan oleh Dr Halimah, adalah merupakan salah satu usaha yang baik untuk dilaksanakan di Negeri Selangor.

Jika kita merujuk kepada Al-Quran juga, Allah s.w.t dengan tegas mencegah manusia daripada menghampiri zina. Ini menunjukkan zina merupakan satu kesalahan yang berat dan perlu dijauhi oleh setiap orang terutamanya anak-anak muda.

Usaha seperti ini juga, katanya, perlulah dilakukan oleh semua pihak bukan hanya bergantung kepada usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan semata-mata.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam Merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Anti Zina siri ketiga di Dataran Shah Alam jam 2.00 petang.

Program tersebut adalah anjuran Jatankuasa Tetap dibawah Dr Halimah Ali dengan kerjasama daripada agensi-agensi dibawah kerajaan Negeri seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) pertubuhan politik iaitu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor dan Pemuda Pakatan Rakyat serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) antaranya ialah Yayasan Amal Malaysia, Badan Kebajikan Wanita Islam Selangor (BEKAWANIS), Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Negeri Selangor (PEKAWANIS) dan lain-lain.





Kerajaan Pakatan Rakyat Konsisten Menangani Gejala Sosial

13 02 2011

Shah Alam, 13 Feb    : Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Dr Hajjah Halimah Ali, berkata, Kerajaan Negeri Selangor konsisten dalam membantu menangani gelaja sosial yang sedang melanda terutamanya anak-anak melayu dan beragama Islam.

Oleh yang demikian, sempena dengan dengan sambutan “Hari Kekasih” atau “Valentine Day” yang akan diadakan pada 14 Februari setiap tahun, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial, sekali lagi melancarkan program kempen Anti Zina bagi siri yang ketiga.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Selat Klang, juga berkata, sebagai seorang Islam dan telah diamanahkan oleh rakyat untuk mentadbir negeri Selangor, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk membanteras gejala social yang sedang melanda anak-anak muda sekarang.

Ini katanya, selaras dengan hadith nabi, “Barang Siapa yang melihat kemungkaran hendaklah mencegah dengan tangan, jika tidak mampu hendaklah mencegah dengan mulut dan sekiranya tidak mampu hendaklah mencegahnya dengan hati, itulah selemah-lemah iman”.

Ulama’ telah mentafsirkan perkataan mencegah dengan tangan ini adalah melalui kuasa atau pemerintah yang sedang memegang kuasa dalam kerajaan. Manakala melalui ucapan ialah sebagainya yang dilakukan oleh pendakwah melalui ceramah dan sebagainya. Jika tidak mampu juga hendaklah membenci dengan hati, iaitu tidak bersetuju dengan perbuatan tersebut, katanya lagi yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP)

Bagi Umat Islam juga, katanya, “Hari Kekasih” bukan hanya disambut setahun sekali sebagaimana yang difahami oleh sesetengah generasi muda sekarang, setiap pasangan suami isteri mestilah sentiasa merayakan “Hari Kekasih” sepanjang 365 hari.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam Majlis Pelancaran Kempen Anti Zina siri ketiga yang dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim di Dataran Shah Alam jam 2.00 petang.

Program tersebut adalah anjuran Jatankuasa Tetap dibawah Dr Halimah Ali dengan kerjasama daripada agensi-agensi dibawah kerajaan Negeri seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Agama Islam Daerah (PAID), pertubuhan politik iaitu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor dan Pemuda Pakatan Rakyat serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) antaranya ialah Yayasan Amal Malaysia, Badan Kebajikan Wanita Islam Selangor (BEKAWANIS), Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Negeri Selangor (PEKAWANIS) dan lain-lain.





Mengigati Rasulullah Bukan Setahun Sekali

13 02 2011

Tanjong Karang, 14 Feb    : Pemangku Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Tanjong Karang, Ustaz Mohd Judi Sarjo, berharap Umat Islam bukan sekadar menyambut sambutan Maulidur Rasul setiap kali tibanya 12 Rabi’ul Awwal setiap tahun. Ini kerana, Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah meminta Umatnya meraikan hari kelahirannya.

Apa yang Nabi Muhammad s.a.w minta ialah Umat Islam melaksanakan apa yang diperintah sebagaimana yang disyariatkan oleh Islam, katanya yang juga Pengarah Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Negeri (DUN) Sungai Burong.

Apa yang dibimbangi sekarang ialah, ramai Umat Islam hanya menyambut hari kelahiran junjungan besar Rasulullah s.a.w, tetapi apa yang diperintah oleh baginda tidak dilaksanakan terutamanya syariat Islam.

Cara kita mengigati Rasulullah s.a.w bukan hanya setahun sekali dan melalui perarakan sepertimana yang dilakukan pada tahun-tahun yang lepas, ketika menyambut hari kelahiran baginda sahaja.  tetapi dengan cara melaksanakan apa yang diperjuangan oleh baginda, selain itu membacakan selawat keatas baginda.

Justeru itu, Umat Islam diseru kembali menghayati perjuangan yang dilakukan oleh baginda serta para sahabat, iaitu menegakkan amar ma’ruf dan mencegah kemungkaran.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena dengan Sambutan Maulidur Rasul 1432H





Umno Dulu, Kini dan Selama-lamanya Menderhaka Kepada Raja

13 02 2011

Batu 10, 12 Feb    : Rakyat diminta mengkaji dan melihat kembali sejarah siapakah yang sebenarnya yang menjadi penderhaka kepada raja-rajaya melayu, kata Ahli Dewan Negeri (ADUN) Seri Muda, Mat Shuhaimi Shafei.

Pertama, pada tahun 1979, bekas Menteri Besar (MB) Pahang, Dato’ Rahim yang sedang berselisih faham dengan Sultan Pahang, meminta supaya didedahkan kepada rakyat kekayaan yang dimiliki oleh Sultan Pahang ketika itu.

Kedua, katanya, pada tahun 1983, Umno telah bertindak meminda Perlembagaan supaya perisytiharan darurat tidak dibawah kuasa penuh Yang Dipertua Agong.

Manakala yang ketiga, semasa dalam Perhimpunan Agung Umno pada tahun 1991 Perwakilan Umno Bahagian Hulu Selangor, Dato’ Zainal Abidin Sakom, telah menyerahkan memorandum kepada Timbalan Presiden Umno, ketika itu, Abd Ghafar Baba, supaya disiasat dan didedahkan harta-harta yang dimiliki oleh raja-raja.

Pada tahun 1993, Umno telah meminda perlembagaan bagi menghilangkan imuniti raja-raja melayu serta Sultan boleh didakwa dimahkamah sekiranya melakukan sebarang kesalahan. Utusan Malaysia dan Berita Harian turut memainkan perana mengkritik raja-raja melayu pada waktu itu.

Umno juga telah mengadakan siri rapat-rapat umum dan demontrasi di beberapa buah negeri antaranya Kedah, Perak, Melaka dan lain-lain untuk mengecam raja-raja melayu sekaligus menyokong tindakan Perdana Menteri waktu itu, Dr Mahathir Mohamad.

Yang seterusnya, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan, Dato’ Annuar Musa, telah menabalkan Tengku Ibrahim Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru pada April 1993.

Bekas MB Perlis, Shahidan Kassim, pernah mengeluarkan kenyataan supaya Sultan Kelantan pada waktu itu, Sultan Ismail Petra, supaya turun daripada takhta kerana tidak layak untuk duduk di takhta kerajaan Kelantan. Berita tersebut telah disiarkan didalam akhbar BH pada 11/7/1993.

Manakala Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Zahid Hamidi, pula meminta Sultan Ismail Petra supaya turun daripada takhta kerana Sultan Ismail Petra bukan waris yang sahkan.

Dan yang terakhir  ialah tindakan ADUN Umno Terengganu pada tahun 2008 yang membantah perlantikan MB Terengganu, Dato’ Ahmad Said. Mereka mengugut untuk memboikot majlis angkat sumpah MB baru selain itu telah bertindak menaikkan sepanduk yang jelas tertulis “Kami Nak Idris Nate” yang terang-terangan ditujukan kepada Yang Dipertua Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang juga Sultan Terengganu.

Apa yang menghairankan ialah, mana perginya pihak polis dan pihak berkuasa? Kenapa tidak diambil sebarang tindakan terhadap penderhaka-penderhaka tersebut? Soalnya yang kesal kerana sehingga hari ini tiada sebarang pendakwaan yang dibuat kepada penderhaka-penderhaka tersebut.

Pada tahun 1983 dan 1993 ketika hendak meminta perlembagaan pemimpin-pemimpin Umno dan dibantu oleh akhbar UM dan BH menghentam dan mengutuk raja-raja melayu. Tetapi bilamana Umno berada diadalam keadaan terepit dan terdesak mereka telah bertindakn seolah-olah mereka yang selama ini memperjuangan raja-raja melayu.

Tetapi pada masa sekarang, dizaman Teknologi Maklumat, rakyat ramai yang tahu bahawa sebenarnya, Umnolah yang paling biadap dan kurang ajar terhadap raja-raja melayu.





Siapa Sebenarnya Penderhaka? – YB Mat Shuhaimi Shafei

13 02 2011

Batu 10, 12 Feb    : Ahli Dewan Negeri (ADUN) Seri Muda, Mat Shuhaimi Shafei, membidas dan mempersoalkan sikap dan tindakan pemimpin-pemimpin  Umno yang telah menuduhnya sebagai Penderhaka.

Pemimpin-Pemimpin Umno, katanya, janganlah menjadi mudah lupa atau menjadi talam dua muka kononnya hendak mempertahankan institusi raja dan sultan, kerana sejarah telah membuktikan siapakan sebenarnya yang telah bertindak dan bersikap derhaka terhadap raja-raja melayu.

Siapa yang telah bertindak meminda Undang-undang bagi menghapuskan imuniti raja-raja melayu pada tahun 1993?, Pakatan Rakyat (PR) ataupun Umno? Soalnya.

Presiden Perkasa, Dato’ Ibrahim Ali, telah mengeluarkan kenyataan di dalam akhbar meminta supaya saya dikenakan tindakan keranan kononnya telah mengeluarkan kenyataan yang boleh menghasut rakyat.

Jika kita lihat Handsard Parlimen pada 18 Julai 1993, kita boleh lihat dengan jelas, Ibrahim Ali, telah mengeluarkan ucapan yang sangat biadap terhadap raja-raja melayu, antaranya ialah “Sekian lama hidup dengan setia, sekarang kita mati dalam derhaka”. Adakah ini tidak dikatakan menghina raja-raja melayu? Soalnya.

Tetapi bila saya menggunakan pepatah melayu “Beraja dimata bersultan dihati” dalam artikel saya bagi mempertahankan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, tiba-tiba Umno menuduh saya sebagai penderhaka. Sedangkan itu hanyalah pepatah melayu lama dan saya tidak bermaksud untuk menentang sultan, tetapi saya tujukan perkataan tersebut kepada pihak-pihak tertentu yang berkepentingan dalam soal perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), Dato’ Mohd Khusrin Munawi.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam ceramah “Siapa Derhaka???” anjuran Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjong Karang yang diadakan di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS) turut berucap ialah Pengarah pilihanraya DPP Pusat, Ustaz Firdaus Jaafar, yang juga Ahli Parlimen Jerai, Kedah, Pemangku Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan, Ustaz Mohd Judi Sarjo dan Ketua PKR Cabang Tanjong Karang, Yahya Mat Shaari.





Wakil Rakyat Umno Tidak Memperjuangan Hak Rakyat

13 02 2011

Batu 10, 12 Feb    : Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) Ustaz Firdaus Jaafar, hairan dengan sikap Ahli-ahli Parlimen Umno yang dipilih oleh rakyat, tetapi tidak pernah memperjuangan hak rakyat sebagaimana yang dikehendaki oleh rakyat di kawasan mereka sendiri.

Ini terbukti apabila, semasa di dalam Dewan Rakyat (DR) ahli-ahli Parlimen Umno telah menyokong setiap Rang Undang-undang  yang dibentangkan oleh menteri, walaupun kesannya akan terkena kepada rakyat yang mengundi mereka sendiri, katanya yang juga Ahli Parlimen Jerai, Kedah.

Contoh yang terbaru ialah, Ahli-ahli Parlimen Umno telah menyokong Rang Undang-Undang bagi kesalahan Jalan Raya, seperti, jika pengguna motorsikal tidak memenuhi syarat sepertimana yang dikehendaki oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seperti lampu isyarat, cermin sisi dan sebagainya, mereka boleh didenda sehingga RM3,000.00.

Soalnya tidak cukupkah denda yang dikenakan sebelum ini sebanyak RM300.00?. Bagi rakyat kebanyakan denda yang dikenakan sebelum ini sebanyak RM300.00 pun sudah cukup tinggi dan ada sesetengahnya tidak mampu untuk membayar denda tersebut. Inikan pula sebanyak RM3,000.00, inikah yang dilaung-laungkan oleh pemimpin Umno, iaitu mendahului rakyat?.

Maklumat-maklumat seperti ini perlu disebarkan kepada orang ramai khususnya penduduk kampong yang tidak mendapat maklumat, supaya mereka sedar akan tindakan dan tingkahlaku wakil-wakil rakyat Umno yang mereka pilih setiap kali PRU atau PRK.

Oleh kerana rakyat kebanyakannya tidak mengetahui perkara tersebut, maka sebab itulah mereka boleh menang dalam Pilihan Raya seperti dalam PRK di Tenang baru-baru ini.

Rakyat, katanya, perlu berubah daripada sekarang untuk menjamin kesejahteraan mereka pada masa akan datang, jika tidak Umno/Bn akan lebih rakus menindas dan menzalimi rakyat, katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu berceramah bersama Ahli Dewan Negeri (ADUN) Seri Muda, Selangor, Mat Shuhaimi Shafei di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS) dengan tajuk “Siapa Derhaka???” anjuran DPP Kawasan Tanjong Karang. Ceramah yang julung-julung kalinya diadakan tersebut telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai. Turut berucap ialah Pemangku Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan, Ustaz Mohd Judi Sarjo dan Ketua PKR Cabang Tanjong Karang, Yahya Mat Shaari.