Mohamad Rashdi Meletakkan Jawatan Sebagai Pegawai Penyelaras DUN Sungai Burong

28 02 2012

Tanjong Karang, 28 Feb    :    Pegawai Penyelaras DUN Sungai Burong, Drs Mohamad Rashdi Deraman, hari ini telah melepaskan jawatan berkuatkuasa serta merta untuk memberi tumpuan sepenuhnya dalam bidang perniagaan.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Tanjong Karang, telah dilantik ke jawatan tersebut mulai pada 1 Mac 2011.

Ekoran perletakan jawatan tersebut, jawatan tersebut kini diambil alih oleh YDP PAS Kawasan, Ustaz Mohamad Judi Sarjo, untuk sementara waktu, sehingga perlantikan baru dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sungai Burong, mengucapkan jutaan terima kasih diatas segala jasa, pengorbanan dan sumbangan yang telah dicurahkan sepanjang memegang jawatan tersebut.

Lain-lain tugasan pentadbiran masih berjalan seperti biasa sebagaimana sebelum ini.





EXCO Baharu Negeri Selangor Adakan Lawatan dan Ramah Mesra ke DUN Sungai Burong

27 02 2012

Tanjong Karang, 27 Feb    :    Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan Negeri Selangor, Dr Ahmad Yunus Khairi, telah mengadakan dialog dan ramah mesra bersama dengan pimpinan masyarakat di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Burong.

Dr Ahmad Yunus, dalam ucapannya, mengharapkan supaya dapat diadakan program kerjasama yang melibatkan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) dibawah Majlis Daerah Kuala Selangor dengan PKM DUN dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam masa yang terdekat.

Ini secara tidak langsung, katanya, dapat menggembling tenaga dan dapat menarik golongan belia untuk menyertai program yang dirancang serta menjimatkan kos.

Dr Ahmad Yunus yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Sijangkang, juga berkata, Peranan pemuda dan Nisa’ sangat penting untuk menggerakkkan program untuk belia dan wanita muda kerana merekalah yang paling rapat dengan golongan tersebut.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Pimpinan PAS Kawasan Tanjong Karang, Ahli-ahli Majlis, Majlis Daerah Kuala Selangor, Haji Misran Serman, Mohd Faizal Mohd Barja, Pengerusi Pengerak Belia Tempatan (PeBT) Abd Malek Abdul Majid, Sharan Mohd Salleh dan Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) DUN Sungai Burong.





AJK DMP Kawasan Tanjong Karang Meninggal Dunia Terlibat Dalam Kemalangan

27 02 2012

Batu 10, 26 Feb    :     Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK) Tanjong Karang, Ramlah Abd Halim, 46, meninggal dunia setelah terlibat dengan kemalangan jalan raya di Bukit Rotan Asam Jawa semasa sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur atas urusan perniagaan kira-kira jam 6.00 pagi.

Difahamkan semasa kejadian, Allahyarhamah yang sedang memandu bersendirian sedang menuju ke Kuala Lumpur untuk mengambil barang perniagaannya, tiba-tiba sebuah kereta waja yang memandu dari arah bertentangan hilang kawalan dan melanggar kereta Produa Kancil yang dipandunya. Allahyarham meninggal dunia ditempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Tanjong Karang .

Menurut Ketua DMP Kawasan, Ustazah Hajjah Jamiyah Yussuf, yang memandikan jenazahnya, DMP mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah. DMP Kawasan kehilangan seorang pimpinan yang sangat komited dengan tugas dan amanah sepanjang memegang jawatan sebagai AJK DMP Kawasan.

Dengan kesibukan sebagai seorang ahli perniagaan disamping membesarkan anak seramai 12 orang yang masih kecil, Allahyarhamah sangat komited untuk menjalankan kerja-kerja jamaah dan sentiasa memberikan sumbangan dalam pelbagai bentuk demi untuk jamaah, katanya lagi

Allahyarhamah meninggalkan seorang suami, Hashim, seorang kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan 12 orang anak yang masih kecil dan bersekolah. Allahyarham diamanahkan sebagai AJK DMP Kawasan Tanjong Karang sejak tahun 2005 sehingga sekarang, manakala diperingkat cawangan Allahyarham adalah Ketua Jawatankuasa Muslimat Cawangan (JMC) Batu 12 juga sehingga sekarang.

Jenazah telah dibawa kerumahnya di Jalan Jepun Tanjong Karang berhampiran dengan Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS) sebelum dibawa ke Masjid Jamiul Hasanah Batu 10 untuk disembahyangkan selepas solat zuhur.

Jenazah Allahyarhamah disemadikan di tanah perkuburan Islam Tanjong Karang dalam keadaan hujan lebat yang turun sebaik sahaja selesai solat jenazah dan hendak dibawa ke tanah perkuburan.

Antara pimpinan PAS Yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan, Ustaz Mohamad Judi Sarjo, Ahli-ahli Majlis, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Haji Misran Serman, Mohd Faizal Mohd Barja, Pimpinan PAS Kawasan dan DMP Kawasan Tanjong Karang serta Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjong Karang.





Kerajaan Negeri Selangor Terus Konsisten Bantu Rakyat

21 02 2012

Tali Air 2 Ban 3, 21 Feb    :    Majlis penyampaikan fasa Sumbangan Mesra Usia Emas (SMUE) kepada waris seramai lebih 70 orang telah diadakan di Dewan Tali Air 2 Ban 3 Sungai Burong. Program telah dirasmikan oleh Pegawai Penerangan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sungai Burong, Ustaz Haji Mat Hasbollah Sudin, yang juga Ketua Penerangan PAS Kawasan Tanjong Karang.

Di dalam ucapannya, Mat Hasbollah, mengharapkan supaya rakyat sentiasa menghargai jasa dan sumbangan yang telah diberikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang selama ini telah banyak membantu rakyat dengan memberikan pelbagai bantuan untuk meringankan beban rakyat.

Sejak tahun 2008 Kerajaan PR telah memperkenalkan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) sebanyak RM2500 kepada rakyat negeri Selangor yang berusia 60 tahun keatas apabila meninggal dunia. Selain itu bagi anak-anak yang baru lahir diberikan Skim Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) manakala yang terbaru ialah program Jom Shopping yang diberikan kepada warga emas yang berusia 60 tahun keatas dan telah mendaftar di dalam SMUE.

Berbanding, katanya, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500.00 yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada rakyat dan bantuan RM100 kepada pelajar sekolah yang baru diperkenalkan pada tahun ini hanyalah sebagai satu sandiwara untuk memancing undi rakyat.

Jika mereka benar-benar ikhlas kenapa baru sekarang program tersebut diadakan? Soalnya.

Ini berlainan dengan  Kerajaan Negeri Selangor yang terus konsisten memberikan pelbagai program untuk meringankan beban rakyat sejak pentadbir negeri Selangor empat tahun yang lalu.

Hadir sama ialah Ahli-ahli Majlis, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohd Faizal Mohd Barja dan Haji Misran Serman serta Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) DUN Sungai Burong.





Program Mencari Cinta Untuk Ajak Remaja Tidak Terlibat Gejala Sosial

20 02 2012

Tanjong Karang, 18 Feb    : Program Mencari Cinta yang dianjurkan oleh Nisa’ Tanjong Karang telah berjaya diadakan selama sehari di Dewan Dato’ Hormat Tanjong Karang.  Program yang dirasmikan oleh Pengarah Jawatankuasa Pengurusan DUN (JPD) Sungai Burong, Ustaz Mohamad Judi Sarjo, telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan di kalangan remaja.

Slot pagi telah dikendalikan oleh Perunding motivasi, Noraini Hussein, yang juga Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan bekas pimpinan mahasiswa, Hisamuddin, yang menyentuh mengenai masalah gejala sosial yang banyak berlaku sekarang dan melibatkan ramai dikalangan belia. Manakala sesi petang pula dikendalikan oleh Ustaz Mohd Faudzan Mazlan daripada Mantop Training Centre.

Pengarah Program, Norsidah Samat, berkata, Objektif program tersebut diadakan adalah betujuan untuk menyedarkan golongan remaja supaya tidak terpengaruh dengan sambutan “Hari Kekasih” yang disambut setiap tahun, yang jelas bertentangan dengan aqidah dan boleh membawa golongan remaja lalai.

Menurutnya lagi, melalui program ‘Mencari Cinta’ ini, kita cuba mengajak para remaja untuk mengenal erti cinta sejati iaitu cinta kepada Allah swt, cinta kepada Rasulullah saw dan cinta kepada Ibubapa.

Bercinta tiada salahnya kerana cinta itu indah, tapi jika salah memilihnya membuat kita jadi terpesong daripada landasan Islam. Cinta sejati adalah cinta yang mengharapkan syurga kerana apa yang ada di syurga adalah lebih indah berbanding pesona dunia yang sekadar menipu pandangan mata, katanya lagi yang juga Pegawai Hal Ehwa Wanita Pusat Khidmat DUN Sungai Burong.

Hadir sama semasa majlis perasmian ialah, Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Nor Az Azlan Ahmad, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan, Ustazah Hajjah Jamiyah Yussuf, Ketua Penerangan PAS Kawasan, Ustaz Haji Mat Hasbollah Sudin dan Penolong Setiausaha 2 dan 3 PAS Kawasan, Othman Ngah dan Norhidayah Parmin.