PAS Akan Teruskan Perjuangan Meskipun Tewas Di Tenang

31 01 2011

Tenang, 31 Jan    : Walaupun tewas di dalam Pilihan Raya Kecil (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Labis, PAS tidak pernah pernah kecewa dan akan tetap terus berjuang demi untuk menegakkan kebenaran dan membela nasib rakyat.

Di dalam PRK DUN Tenang, Calon PAS, Normala Sudirman, memperolehi undi sebanyak, 2,992 manakala calon Barisan Nasional (Bn), Mohd Azahar Ibrahim, pula memperolehi 6,699 engan majoriti 3,707.

Sebagaimana yang diketahui, setiap kali berlaku PRK ataupun PRU PAS dan Pakatan Rakyat (PR) bukan sahaja belawan dengan parti yang bertanding iaitu Bn, tetapi PR berhadapan dengan seluruh jentera Kerajaan yang digunakan sewenang-wenangnya oleh Bn ditambah pula dengan Media Massa dan elektronik.

Tambahan pula di DUN Tenang terdapat tiga buah kawasan tanah rancangan Felda iaitu Chemplak, Chemplak Barat dan Felda Tenang. ini menguatkan lagi cengkaman Bn terhadap peserta felda.

Dengan izin Allah, perjuangan PAS akan diterima pada masa akan datang, bahkan tidak mustahil PAS boleh mentadbir negeri johor sebagaimana 5 buah negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dimenangi oleh PR di dalam PRU yang lepas iaitu, Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor. Sebelum Kerajaan Negeri Perak dirampas dan dirompak oleh Bn pada tahun 2009.





Tokoh : Ustaz Mohamad Judi Bin Sarjo

30 01 2011

Beliau merupakan seorang tokoh yang tabah dan komited sepanjang terlibat dengan PAS khususnya di Kawasan Tanjong karang. Pernah menyandang beberapa jawatan dalam parti sejak di usia muda dan pernah di ambil tindakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan ditukar ke sekolah yang jauh daripada tempat tinggalnya, semata-mata beliau terlibat secara aktif dengan PAS.

Tokoh yang ditampil kali ini ialah, Ustaz Mohamad Judi Bin Sarjo, Pemangku Yang Dipertua PAS Kawasan Tanjong Karang merangkap Pengarah Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sungai Burong dan merupakan Guru Besar Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Belimbing.

Latar Belakang

Dilahirkan pada 2 Julai 1955 di Kampung Batu 11 Tanjong Karang. Beliau merupakan anak ke-2 daripada dua orang adik-beradik seibu dan sebapa. Manakala adik beradik yang lain pula ialah, adik beradik seibu dan berlainan bapa seorang, manakala adik beradik sebapa berlainan ibu pula ialah  6 orang. Bapanya Sarjo Bin Ronoderio berasal daripada Indonesia sebelum berhijrah ke Tanah Melayu, dan bekerja sendiri sebagai petani manakala ibunya, Siti Aminah Binti Paimin,  adalah merupakan seorang suri rumahtangga.

Pendidikan

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Burong pada tahun 1962 sehingga 1967. Manakala pada tahun 1968 sehingga tahun 1972 beliau telah belajar di Sekolah Arab  Sungai Burong sebelum melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Kelang (KIK) pada tahun 1973 sehingga 1974 dan telah mendapat Rabi’ Thanawi di kolej tersebut.

Beliau kemudiannya telah mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) secara persendirian sewaktu masih bekerja sebagai anggota polis pada tahun 1980.

Beliau kemudian sekali lagi telah menyambung pelajar di Maktab Perguruan Islam (MPI) Bangi, Selangor pada tahun 1987 dan berjaya memperolehi Diploma Pendidikan pada tahun 1990.

Keluarga

Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan seorang pendidik Hamidah Idris pada tahun 1988 hasil perkongsian hidup selama 22 tahun, beliau telah dikurniakan dengan seramai 6 orang cahaya mata, iaitu 3 lelaki dan 3 perempuan berumur diantara 9 tahun sehingga 21 tahun

Kerjaya

Memulakan kerjaya sebagai konstabal polis sebaik sahaja menamatkan latihan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Gerney, Kuala Lumpur pada tahun 1975 dan mula berkhidmat sebagai anggota keselamatan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut selama dua tahun sebelum di tukar ke Balai Polis Ulu Tembeling, Kuala Tembeling, Batu Balai dan Bandar Jengka sebelum meletakkan jawatan pada tahun 1982.

Manakala pada tahun 1983 beliau telah berkhidmat sebagai pendidik dan mengajar di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Batu 12 Sungai Burong sehingga tahun 1984. Selepas itu beliau telah berkhidmat sebagai guru di SRA Sungai Terap sehingga tahun 1997.

Beliau kemudiannya, telah dilantik sebagai Guru Besar di SRA Kampung Parit Serong mulai tahun 1997 sehingga tahun 2001, sebelum di pindahkan ke SRA Kampung Medan, Petaling Jaya, atas arahan politik sehingga tahun 2003.

Selepas itu, beliau sekali lagi telah dilantik sebagai Guru Besar di SRA Batu Arang, Gombak pada tahun 2003 sehingga tahun 2004. Manakala pada tahun 2004 sehingga tahun 2007 beliau telah dilantik sebagai Guru Penolong Kanan (GPK) 1 SRA Block S Sungai Burong.

Kini, beliau masih lagi berkhidmat sebagai Guru Besar di SRA Bukit Belimbing sejak tahun 2007 sehingga sekarang dan akan bersara sebagai pendidik pada Julai 2011 nanti selepas 28 tahun berkhdimat sebagai guru.

Mula Bergiat Aktif Dalam Politik

Mula bergiat aktif dengan PAS mulai tahun 1983 sebagai Setiausaha PAS Cawangan Sungai Tengi Kiri sehingga tahun 1986. Selepas itu beliau telah diamanahkan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Cawangan Sungai Tengi Kiri sehingga tahun 2007. Manakala pada tahun 2007 beliau telah diamanahkan sebagai Naib Ketua PAS Cawangan Sungai Tengi Kiri dan pada tahun 2009, beliau diamanahkan pula untuk menerajui PAS Cawangan sebagai Ketua Cawangan sehingga sekarang.

Diperingkat kawasan pula, beliau telah diamanahkan sebagai AJK Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjong Karang pada tahun 1984 sehingga tahun 1986. Kemudian beliau telah diamanahkan sebagai Naib Ketua DPP Kawasan pada tahun 1986 sehingga tahun 1989 sebelum dipilih sebagai Ketua DPP Kawasan pada tahun 1989 sehingga tahun 1991.

Selepas meninggalkan DPP Kawasan diatas faktor umur pada tahun 1991, beliau telah diamanahkan pula sebagai Timbalan Pengerusi Tetap PAS Kawasan sehingga tahun 2003. Manakala pada tahun 2003 beliau telah diamanahkan sebagai AJK PAS Kawasan sehingga tahun 2005.

Pada tahun 2005, beliau sekali lagi diberi amanah sebagai Timbalan Pengerusi Tetap PAS Kawasan sehingga tahun 2007. Manakala pada tahun 2009 beliau telah diamanahkan sebagai Timbalan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan sebelum dilantik sebagai Pemangku YDP PAS Kawasan pada tahun 2010 setelah YDP PAS Kawasan, Drs Mohd Rashdi Deraman, melepaskan jawatan.

Diperingkat Jabatan Pilihanraya (JPrK) PAS Kawasan dan Majlis Tindakan DUN (MTD) Sungai Burong pula, beliau pernah diamanahkan sebagai Setiausaha MTD Sungai Burong pada tahun 1999 sehingga tahun 2003. Manakala pada tahun 2003 sehingga 2009 beliau diamanahkan sebagai Timbalan Pengarah MTD Sungai Burong sebelum dilantik sebagai Pengarah MTD Sungai Burong pada tahun 2009.

Selain itu, pada tahun 2003 sehingga tahun 2009 dilantik sebagai AJK JPrK sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengarah I JPrK juga pada tahun 2009.

Aktivis Parti Yang Tabah Dan Komited

Sebagai seorang aktivis parti yang berpengalaman, beliau telah menempuh banyak mehnah dan tribulasi sepanjang terlibat dengan PAS, antaranya ialah sebaik sahaja PAS memenangi kerusi DUN Sungai Burong pada tahun 1999 apabila calonnya, Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali, menewaskan calon Bn, Dato’ Mohd Aini Taib dengan majoriti 91 undi, beliau telah diamanahkan sebagai Pegawai Khas Pusat Khidmat Komuniti (PKK) DUN Sungai Burong.

Beliau yang masih berkhidmat sebagai Guru Besar di SRA Kampung Parit Serong, semasa itu, telah diarahkan berpindah ke SRA Taman Medan Petang Jaya. Setiap hari beliau telah berulang-alik daripada Tanjong Karang ke Taman Medan semata-mata. Namun itu semua tidak mematahkan semangat sepanjang terlibat dengan PAS.

Selain itu, diantara sumbangannya yang besar ialah, beliau terlibat secara langsung semasa Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali, ADUN Sungai Burong, ketika itu, berhasrat untuk membina Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS) pada tahun 2000.

Beliau bersama-sama beberapa orang pimpinan PAS khususnya dari DUN Sungai Burong, antaranya Dr Md Yusoff Abd Wahab, Wan Dolah Wan Konok, Mohd Rashdi Deraman, Ustaz Mohd Kassim Kayat, Ustaz Musa Mohamad dan lain-lain adalah diantara individu terawal yang terliabt dalam perancangan dan pembinaan KOMPAS yang kini menjadi mercu tanda bagi PAS Tanjong karang.

Peranan Dalam Pentadbiran Kerajaan

Sebaik sahaja PAS bersama-sama dengan Pakatan Rakyat (PR) diberi amanah untuk menerajui Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2008, beliau telah diamanahkan sebagai Bendahari Jawatankuasa Pengurusan DUN (JPD) Sungai Burong pada tahun 2008 dan Timbalan Pengarah JPD tahun 2009 sebelum dilantik sebagai Pengarah Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sungai Burong pada tahun 2010.

Selain itu, beliau turut diamanahkan oleh parti sebagai Ahli Majlis, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) bagi sesi 2009 / 2010 selama sepenggal. Namun khidmatnya sebagai Ahli Majlis MDKS tidak lama apabila telah diarahkan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Mohamad Khusrin Munawi,(Sekarang Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor) supaya memilih salah satu daripada jawatan yang disandang iaitu samaada sebagai Ahli Majlis MDKS ataupun sebagai Guru Besar di SRA Bukit Belimbing.

Aktivis Masyarakat

Selain terlibat dengan parti, Ustaz Judi, juga terliabt secara aktif dengan masyarakat dan pernah dilantik sebagai Setiausaha Masjid Jamiul Hasanah Batu 10 pada tahun 1999 sehingga tahun 2004. Manakala pada tahun 2006 sehingga tahun 2008 beliau telah diamanahkan pula sebagai Timbalan Nazir masjid tersebut, sebelum diamanahkan sebagai Nazir Masjid mulai tahun 2008.

Beliau juga telah diamanahkan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melaka mulai tahun 2008.





PKM Ucap Selamat Tahun Baru Cina

28 01 2011





ADUN Pakatan Rakyat Sokong Pindaan

25 01 2011

Shah Alam 24 Jan    : Kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat (Pakatan) mencipta sejarah apabila semua wakil rakyatnya bersatu menyokong cadangan pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor bagi mengembalikan kuasa DYMM Sultan dan Menteri Besar dalam pelantikan tiga pegawai ex-officio yang telah dimansuhkan selepas Pindaan Perlembagaan 1993.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim melahirkan rasa puas hati di atas kata sepakat semua wakil kerajaan yang memberi perbahasan dengan baik dan bernas berkenaan isu penting kepada rakyat yang mana gagal disentuh oleh pentadbiran sebelum ini.

“Perbahasan Pakatan hari ini berjaya memertabatkan kesucian Dewan Negeri Selangor (DUN), ini selari dengan keinginan rakyat Selangor yang mahukan satu pentadbiran profesional bagi dua institusi tertinggi,” kata Khalid  dalam sidang media.

Dalam pada itu, Khalid juga melahirkan rasa kesal terhadap wakil-wakil dari Umno-BN yang dilihat bukan sahaja menolak usul ini, malah gagal memberikan hujah-hujah yang konkrit dan berkualiti untuk menolak cadangan pindaan ini.

“Jelas, penolakan ini dibuat atas nama politik dan kesetiaan mereka kepada pihak-pihak yang berkuasa di Putrajaya, sepatutnya sebagai wakil rakyat, keputusan mereka perlulah berdasarkan kepentingan rakyat,” katanya.

Tambah Khalid, penolakan ini jelas membuktikan bahawa Umno-BN tidak menghormati Institusi Raja-raja Melayu dan tetap menghalang Institusi Raja-raja Melayu memainkan peranan yang sepatutnya dalam institusi Raja Berpelembagaan.

“Sikap hipokrit Umno ini jelas nampak dalam rekod mereka secara konsisten menafikan kuasa Raja-Raja Melayu, terutamanya pada tahun 1983, 1993 dan kini 2011,” katanya.

Tan Sri Khalid berkata lagi, sidang dewan hari ini membuktikan pemimpin Umno sebenarnya tidak layak untuk menyentuh soal kedaulatan Raja-Raja kerana belang mereka telah terbongkar.

Mereka menuduh Pakatan tidak menghormati peranan Raja-raja tetapi sebenarnya Umno yang menghakis kuasa Raja-raja melalui pindaan-pindaan Perlembagaan yang telah dilakukan.

Turut hadir dalam sidang media ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor, Dato’ Dr Hasan Mohd Ali, Teresa Kok, Dr Xavier Jayakumar dan Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali.





Sidang Tergempar DUN Selangor Sah – Speaker

25 01 2011

Shah Alam, 24 Jan    : Sidang tergempar Dewan Negeri Selangor (DUN) yang diadakan hari ini adalah sah mengikut undang-undang tubuh kerajaan negeri dan peraturan mesyuarat, kata Speaker DUN, Dato’  Teng Chang Khim.

Beliau berkata walaupun notis diberikan singkat dan tidak mengikut tempoh 14 hari, Speaker boleh menggunakan kuasa mengikut Peraturan Tetap Mesyuarat 10 (3) yang lazim dilakukan dalam persidangan dewan negara-negara Komanwel.

“Kalau rasa (sidang) tidak sah, sila keluar. Memang (notis) dalam 14 hari tetapi speaker boleh menandatangani satu sijil yang diberikan oleh kerajaan untuk mengadakan sidang ini.

“Kalau ikut Peraturan 43 dan 87, keputusan Speaker adalah muktamad. Tapi kalau hendak mencabar boleh buat usul,” katanya pada sesi perbahasan persidangan Dewan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Teng berkata, isu sah atau tidak sudah selesai dan meminta perbahasan diteruskan sebelum beliau menggunakan Peraturan 44 (1) dan 44 (2) yang mengarahkan mana-mana anggota Dewan Undangan Negeri keluar dewan, lapor Bernama.

Sebelum itu, Ketua Pembangkang Dato’ Mohamad Satim Diman (BN-Sri Serdang) berkata, sidang dewan itu tidak sah kerana notis yang diberi tidak mencukupi 14 hari.

“Kami hanya menerima notis pada 11 Jan 2011 sedangkan Rang Undang-undang ini diwartakan pada 18 Jan. Sepatutnya notis hanya dihantar selepas 18 Jan dan sidang hanya akan dapat diadakan pada 2 Feb 2011,” katanya.

Teng kemudian meminta Mohamad Satim menghafal dan membaca Peraturan Mesyuarat tetapi jika beliau tidak mahu melakukan kedua-duanya, Teng berkata, ia adalah sesuatu yang memalukan.

Mohamad Satim, yang pernah menjadi Timbalan Speaker DUN Selangor berkata: “Wah… banyak (nasihat)… baru puji macam ini ke?” katanya merujuk ucapan tahniah kepada Teng yang mendapat gelaran Dato’  daripada Sultan Selangor baru-baru ini.

“Macam inilah, saya nak Tuan Speaker terangkan (perkara ini sah atau tidak) yang sebelah sana pun (penyokong kerajaan) bukan faham sangat,” katanya.

Teng, yang pernah menjadi Ketua Pembangkang selama beberapa penggal di DUN Selangor, meminta Mohamad Satim belajar dengannya ataupun dengan Dr Mohamad Khir Toyo (BN-Sungai Panjang) yang meletakkan jawatan itu baru-baru ini selepas dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah.





Pindaan Untuk Kembalikan Peruntukan Asal

25 01 2011

Shah Alam, 24 Jan : Pindaan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959, khususnya Perkara 52(1) hari ini jelas Menteri Besar Selangor, hanya bertujuan mengembalikan peruntukan yang asal serta ruang kepada semua pihak secara jelas berkenaan perlantikan pegawai kanan kerajaan negeri, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Seri Khalid Ibrahim

Pakatan Rakyat (PR), Katanya, ingin mengembalikan peruntukan yang asal kerana kami yakin bahawa peruntukan itu memberi ruang konsultasi kepada semua pihak; dari istana, suruhanjaya perkhidmatan dan kerajaan negeri untuk memainkan peranan masing-masing secara telus dan terbuka.

“Pindaan yang dibuat oleh Umno pada 1993 – iaitu Perkara 52(1) Undang-undang Tubuh Negeri Selangor – begitu ganjil sekali. Ini kerana ia tidak menyebut pihak berkuasa yang diberi kuasa melantik: sepatutnya ada kuasa tertentu yang diletakkan; contohnya sama ada Sultan atau Suruhanjaya Perkhidmatan Awam,” katanya ketika berucap hari ini.

Beliau menjelaskan, jika dibandingkan dengan Perkara 144 Perlembagaan, khususnya Fasal 3, 4 dan 5 yang ada sekarang, yang kesemua mempunyai format yang sama dengan peruntukan yang lama dalam Undang- undang Tubuh Negeri Selangor.

Pindaan 1993 itu tidak sah kerana ia tidak diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja sebagaimana yang dikehendakki oleh Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri juga berpendapat bahawa pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1993 bertujuan menangani isu imuniti Raja-Raja, maka kuasa pelantikan SUK tidak harus disentuh.

“Tidak ada rekod menunjukkan bahawa Raja-Raja setuju dengan pindaan berkenaan kerana yang menjadi pertikaian ketika itu ialah imuniti.

“Kelihatannya Umno mengambil kesempatan untuk mencuri kuasa Sultan dalam keadaan yang panas dan membingungkan ketika itu,” jelasnya.

Oleh itu katanya, kerajaan negeri berpendapat bahawa peruntukan asal Undang-undang Tubuh Negeri perlu dikembalikan kerana Pakatan komited dengan peranan Raja-Raja sebagai salah satu agen semak dan imbang – checks and balances – dalam Perlembagaan.

Konsep Raja Berperlembagaan bermaksud, raja yang kuasa terbatas dan dipandu oleh peruntukan dan semangat Perlembagaan. Umno berpendapat sebaliknya; bagi mereka Raja Berperlembagaan ialah raja yang boleh dicucuk hidung dan diseret ke sana ke mari mengikut kehendak mereka sebagaimana yang mereka lakukan sejak awal 1980-an hinggalah sekarang.

Pindaan yang dicadangkan ini adalah tanda komitmen Pakatan untuk mentadbir negeri berdaulat ini menurut aspirasi dan amanah yang diberikan rakyat atas konsep ketuanan rakyat.

 





Pertandingan Satu Lawan Satu di Tenang

22 01 2011

Tenang, 22 Jan        : Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang menyaksikan pertandingan satu lawan satu diantara calan PAS, Normala Sudirman, 28, yang ditentang oleh calon Barisan Nasional (Bn), Mohd Azahar Ibrahim, 39.

Penamaan calon bagi PRK DUN Tenang diadakan di Dewan Majlis Daerah Labis (MDL). Normala yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.10 pagi. Beliau dicadang oleh Mahat Jamin dan disokong Rosiah Ahmad.

Pegawai Pengurus Pilihanraya mengumumkan pertandingan satu lawan satu setelah tamat tempoh penyerahan borang dan  tempoh bantahan jam 11.20 pagi setelah tiada nama calon lain di kemukakan dan tiada bantahan dibuat ke atas kertas pencalonan kedua-duanya.

Calon PAS diiringi oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Naib-Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Dato’ Haji Mahfuz Omar, Ketua Dewan Pemuda dan Muslimat PAS Pusat, Ustaz Nasharuddin Hasan Tantawi, Ustazah Hajjah Nuridah Mohd Salleh, Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Dato’ Dr Mahfuz Mohamad dan lain-lain Pimpinan PAS Pusat

Manakala antara pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang turut memberikan sokongan kepada calon PAS pula ialah, Presiden PKR, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh, ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Seri Khalid Ibrahim, Speaker DUN Selangor, Dato’ Teng Chang Khim dan lain-lain serta diiringi kira-kira 5,000 orang penyokong PR berbanding calon Bn.

Sementara itu, calon PAS yang juga Naib ketua DMP Negeri Johor, ketika mengadakan sidang akhbar memberitahu memberitahu, sekurang kurangnya tiga fokus utamanya jika dipilih sebagai wakil rakyat.

Pertama, beliau akan menyuarakan masalah rakyat Dun Tenang, kedua- menyuarakan masalah kaum hawa di sini dan mewakili suara majoriti guru di Labis, ujarnya lagi yang juga Ketua DMP Kawasan Labis.

Tambahnya lagi, beliau yakin pengundi Tenang akan berani membuat perubahan dengan memilih calon PAS sebagai wakil rakyat mereka.

PRK Kecil DUN Tenang telah ditetapkan oleh SPR pada 30 Januari ini, berikutan kematian ADUN Tenang, Dato’ Sulaiman Taha pada 17 Disember 2010 yang lalu.