Tokoh : Hajjah Sapiah Binti Abdullah

29 04 2011

Seorang pimpinan Muslimat yang lantang dan berani bersuara apabila melontarkan pelbagai isu khususnya berkaitan dengan parti samaada didalam mesyuarat, taklimat atau sebagainya. Beliau juga adalah merupakan seorang bekas pendidik yang terus istiqamah dalam perjuangan sejak masih berkhidmat sehingga kini.

Tokoh yang ditampilkan pada kali ini ialah Hajjah Sapiah Abdullah, 63, pesara guru yang pernah menyandang jawatan sebagai Guru Penolong Kanan (GPK) Hal Ehwal Murid (HEM) sebelum bersara yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Dewan Muslimat PAS (DMP) Kawasan Tanjong Karang.

Latar Belakang

Merupakan anak ketiga daripada empat orang adik beraik yang terdiri dari dua lelaki dan dua perempuan, dilahirkan pada 10 Julai 1948 di Block C Sawah Sempadan Tanjong Karang. Beliau merupakan anak kepada seorang pemandu teksi, Abdullah Ali, manakala ibunya Zainah Ramijan adalah merupakan seorang suri rumahtangga sepenuh masa

Pendidikan

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tiram Burok pada tahun 1956 – 1961, kemudian melanjutkan pelajaran di Sekolah Melayu Tanjong Karang pada tahuhn 1962 – 1964 sebelum bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Harun pada tahun 1965-1966.

Selepas itu beliau telah berkhidmat sebagai guru sementara di Sekolah Kebangsaan Sawah Sempadan pada tahun 1970-1977 dan mengambil Kursus Dalam Cuti (KDC) di  Maktab Perguruan Sultan Idris (kini dikenali sebagai Universiti Perguruan Sultan Idris –UPSI) selama empat tahun pada tahun 1973 – 1976 dan memperolehi Diploma Pendidikan

Keluarga

Mendirikan rumahtangga dengan seorang petani yang juga aktivis PAS Kawasan Tanjong Karang, Mahad Mohamad, 62, pada tahun  1980. Hasil perkongsian hidup selama 31 tahun beliau telah dikurniakan seramai dua orang cahayamata, dan kedua-duanya telah mendirikan rumahtangga. Beliau kini telah dikurniakan seramai 2 orang cucu.

Suaminya, Haji Mahad, adalah seorang aggota Unit Amal sejak dari awal penubuhannya dan masih aktif sehingga sekarang serta pernah dilantik sebagai AJK PAS Kawsan Tanjong Karang sesi 2007/2009.

Manakala anaknya, Mat Amin, juga turut mengikut jejak langkah ibubapanya aktif dalam politik dan bergiat di dalam Unit Amal dan Penolong Setiausaha 3 Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjong Karang.

Kerjaya

Selepas memperolehi Diploma Pendidikan di MPSI, beliau terus bertugas sebagai guru tetap dan pernah mengajar di beberapa buah sekolah antaranya ialah Sekolah Kebangsaan Seri Gambut pada tahun 1978 – 1980, Sekolah Kebangsaan Sawah Sempadan pada tahun 1981 – 2000, sebelum dilantik sebagai GPK HEM di Sekolah Kebangsaan Tanjong Keramat Kuala Selangor selama setahun pada tahun 2001. Beliau kemudian kembali mengajar di Sekolah Kebangsaan Sawah Sempadan dan menyandang jawatan yang sama sehingga bersara pada tahun 2005.

Sebagai seorang guru yang berdedikasi beliau pernah dianugerahkan sebagau guru cemerlang pada tahun 1994.

Mula Bergiat Aktif Dalam PAS

Mula menyertai PAS pada taun 1970-an, namun bergiat aktif sekitar tahun 1990-an dan pernah memegang beberapa jawatan di dalam PAS antaranya ialah sebagai Naib Ketua Jawatankuasa Muslimat PAS Cawangan (JMC) Parit 2 Sawah Sempadan, sebelum dilantik sebagai Ketua JMC di cawangan berkenaan pada tahun 2003 sehingga sekarang.

Selain itu, beliau turut diamanahkan sebagai AJK DMP Kawasan Tanjong Karang mulai tahun 2003 juga sehinggalah sekarang.

Sebagai AJK DMP Kawasan beliau banyak terlibat secara aktif dengan program-program yang dianjurkan oleh dewan itu, pada kelazimannya, beliau akan pergi kesesuatu program bersama-sama Timbalan ketua DMP Kawasan, Ustazah Hajjah Siti Sabariah Hashim.

Aktiviti Masyarakat

Selain bergiat aktif di dalam PAS beliau turut aktif bersama-sama masyarakat dan telah diamanahkan sebagai Ketua Biro Wanita Masjid Block D Sawah Sempadan dan AJK Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK) Block COJ Sawah Sempadan sejak tahun 2008





Ustaz Mohd Judi Sarjo terajui PAS Kawasan bagi sesi 2011-2013

18 04 2011

Tanjong Karang, 17 Apr    : Pemangku Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan, Ustaz Mohamad Judi Sarjo, telah diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi mengisi jawatan YDP bagi sesi  2011 – 2013 di dalam Pemilihan sempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Tanjong Karang kali ke-48 yang diadakan di Dewan Dato’ Hormat Tanjong Karang.

Selain YDP, turut diisytiharkan menang tanpa bertanding juga ialah bagi jawatan Timbalan YDP, yang disandang oleh, Drs Mohd Rashdi Deraman dan Naib YDP, Haji Misran Serman. Selain itu Abd Manaf Salleh dan Haji Nordin Ali Hasan pula telah diistiharkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap PAS Kawasan.

Bagi jawatan Ketua Urusan Ulama’, Ustaz Haji Safie Jali telah dipilih oleh perwakilan, manakala bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Kawasan pula, perwakilan PAS Kawasan telah memilih, Nor Az Azlan Ahmad, Norhidayah Parmin, Haji Mohd Maskuri Mardzuki, Ustaz Haji Mat Hasbollah Sudin, Haji Roslan Jamaluddin, Norsidah Samat, Haji Mohd Saad Bakar dan Mohd Faizal Mohd Barja.

Selain itu, Ustaz Haji Shamsudin Mohamad, Muhd Rosli Kamsani, Abdullah Najib Shaari, Sheikh Daud Md Maidin, Abd Malek Abdul Majid, Haji Miskon Misani, Md Janal Nawawi dan Jassul Akhbar Jubri adalah antara 16 orang AJK PAS Kawasan yang telah dipilih untuk menerajui PAS Kawasan sehinga tahun 2013.

Mesyuarat agung tersebut telah dirasmikan oleh AJK PAS Pusat, Dato’ Haji Kamaruddin Jaafar yang juga Ahli Parlimen Tumpat, Kelantan. Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Ketua PKR Cabang Tanjong Karang, Mat Yahya Shaari, Timbalan Ketua Cabang, Zainal Abidin Abdul samat yang juga Ahli Majlis, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Naib Ketua Cabang, Shahibul Akmar Abd Kudus.

Dalam majlis yang sama Dato’ Kamaruddin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada AJK PAS Kawasan sesi 2009 / 2011 bagi menghargai jasa dan pengorbanan yang telah diberikan kepada mereka sepanjang diamanahkan jawatan sepanjang sesi lalu.





Segala Program Yang Dirancang Mestilah Kearah Mencapai Kemenangan

18 04 2011

Tanjong Karang, 17 Apr    :    Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato’ Haji Kamaruddin Jaafar, menyeru kepada setiap ahli PAS supaya meningkat usaha dan gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang. Segala program  yang hendak dan akan dilakukan mestilah kearah untuk memenangkan Pakatan Rakyat (PR) di dalam PRU.

Selain itu katanya, Kerjasama bersama PKR dan DAP mestilah dipertingkatkan dari masa ke semasa demi untuk memperkukuhkan PR. Setiap perancangan dan strategi hendaklah difikirkan bersama supaya menghasilkan gerak kerja yang lebih mantap.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Serawak, beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat, Kelantan, berkata, walaupun PAS tewas di kelima-lima kerusi yang ditandingi, tetapi PR telah berjaya menambahkan bilangan kerusi di DUN Serawak berbanding sebelum ini.

Walaubagaimanapun di Beting Maro Calon PAS, Abang Ahmad Kerdee, telah berjaya mengurangkan majoriti yang dimenangi oleh Bn sebanyak 391. Ini bermakna peluang PAS untuk bertapak di negeri Serawak cerah pada masa akan datang. Dengan syarat ahli-ahli PAS mestilah meningkatkan gerak kerja dan dakwah kepada penduduk di sana.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan perasmian sempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Tanjong Karang kali ke-48 yang diadakan di Dewan Dato’ Hormat Tanjong Karang.

Di dalam ucapannya juga, beliau melahirkan rasa optimis PAS bersama PR akan mencapai kejayaan di dalam PRU akan datang dan terus mentadbir negeri Selangor.





Pilih Pemimpin Yang Mampu Membawa Perubahan Dalam Parti

18 04 2011

Tanjong Karang, 17 Apr    : Pemangku Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan, Ustaz Mohamad Judi Sarjo, berkata, Allah menetapkan bahawa manusia hanyalah pengurus bukan pemilik apa yang di dunia ini. Oleh itu kita berazam untuk menjadi pengurus ummah ini secara adil saksama, kerana saksama itu mengandungi kasih sayang, toleransi dan berkebajikan terhadap rakyat (ummah).

Ada dikalangan pemimpin yang lupa akan ketetapan Tuhan, bahawa mereka hanyalah sebahagian manusia yang terpilih dan telah diamanahkan menjadi pemimpin dan pengurus untuk memerintah dan mengatur kehidupan manusia rakyat.  dengan dorongan nafsu jahat, nafsu tamak ,nafsu bongkak  dan nafsu zalim yang suka melihat rakyat menderita untuk meneruskan kehidupan ini.

Bagi mereka, penderitaan rakyat menjadi fenomena tawar menawar pemimpin untuk terus berkuasa dan kadangkala menjadi hiburan bagi mereka. Lihatlah beberapa orang pemimpin dunia yang baru-baru ini telah disingkirkan oleh rakyat mereka kerana bersikap rakus merampas harta rakyat serta menzalimi rakyat sendiri, katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan sempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Tanjong Karang kali ke-48 yang telah dirasmikan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Dato’ Kamaruddin Jaffar, yang juga Ahli Parlimen Tumpat Kelantan, di Dewan Dato’ Hormat Tanjong Karang.

Di dalam ucapnnya beliau juga menyeru kepada ahli perwakilan supaya memilih pemimpin yang dilihat mampu membawa PAS Kawasan dengan lebih tersusun, serta meningkatkan semangat kerjasama yang kuat.

Selain itu juga, pemimpin yang harus dipilih oleh perwakilan juga mestilah seorang ahli yang sangat berdisiplin kepada parti, menerapkan kemahiran-kemahiran keagamaan dan keduniaan bagi menggerakkan program parti.





Pakatan Rakyat Tambah Kerusi di DUN Serawak.

17 04 2011

Kuching, 16 Apr    :    Walaupun PAS tewas di kesemua kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Serawak, tetapi Pakatan Rakyat (PR) khususnya PKR dan DAP telah berjaya menambah kerusi di samping calon Bebas.

Walaubagaimanapun calon PAS di Dewan undangan Negeri (DUN) Beting Maro, Abang Ahmad kerdee Abang Masagus, telah bejaya mengurangkan lagi majoriti yang di menangi oleh calon Barisan Nasional (Bn), Razali Gapor. Dalam pertandingan satu lawan satu tersebut, Abang Ahmad Kerdee yang dikenali dengan panggilan Abang Mat, tewas dengan majority 391 undi.

Keputusan rasmi PRN Serawak, DAP telah memenangi 12 kerusi di DUN Pending, Kota Sentosa, Dudong, Kidurung, Bukit Assek, Pujut, Piasau,  Repok, Meradong, Pelawan, Batu Kawah, Padungan. Manakala PKR sebanyak 3 kerusi di DUN Bakalalan, Krian, Batu Lintang Dan Bebas 1 kerusi di DUN Pelagus.

DUN Serawak yang mempunyai 71 kerusi, menyaksikan PR bersama Bebas berjaya memperolehi 16 kerusi berbanding PRN Serawak yang lepas.





Lima Pimpinan PAS Kawasan Dianugerah Pingat Jasa Kebaktian

13 04 2011

Tanjong Karang, 12 Apr    :    Lima pimpinan PAS Kawasan Tanjong Karang telah dianugerah Pingat Jasa Kebaktian (PJK) oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sempena hari keputeraan baginda, yang berlangsung di Istana Alam Shah, Klang.

Mengetuai senarai pimpinan PAS Kawasan ialah Naib Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan, Haji Misran Serman, yang juga Ahli Majlis, Majlis Daerah Kuala Selangor, Ketua Penerangan PAS Kawasan, Ustaz Haji Shafie Jali, yang juga Nazir Masjid Ar-Raudhah, Tanjong Karangfdan Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK), Hajjah Hartati Maharom, yang juga pesara pendidik.

Turut dianugerahkan pingat yang sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Tengi Kanan Darat, Haji Mustapa Abdul Karim, yang juga Naib ketua PAS Cawangan Sungai Tengi Kanan dan Pengerusi JKKK Raja Musa, Haji Jayus Suraji, yang juga Ketua PAS Cawangan Batu 8 Raja Musa.

PAS Kawasan Tanjong Karang mengucapkan tahniah diatas penghargaan yang telah diberikan diatas segala jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan oleh mereka. Semoga dengan penghargaan tersebut akan menambahkan lagi komitmen mereka untuk terus berbakti kepada masyarakat.





PAS Kawasan Hantar Petugas Bantu Pilihan Negeri Serawak

11 04 2011

Tanjong Karang, 11 Apr    :    Bagi membantu misi PAS Serawak untuk melahirkan anak sulung di Bumi kenyalang, PAS Kawasan Tanjong Karang telah menghantar berapa orang petugas yang akan bekerja sepenuh masa bagi membantu calon PAS.

PAS Negeri Selangor telah ditugaskan untuk membantu calon PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sadong Jaya. Calon PAS di kawasan itu ialah, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri (DPPN) Serawak, Abang Eddy Alyanni bin Abang Fauzi, 34, yang juga Pengerus PASTI Negeri Serawak.

Beliau adalah cucu kepada bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Ahmad Urai Datuk Hakim Abang Haji Mohidin, yang juga bekas ADUN Sadong Jaya sejak tahun 80-an.

Pemangku Yang Dipertua (YDP) PAS Tanjong Karang, Ustaz Mohd Judi Sarjo, berkata, Petugas PAS akan berada di Sadong Jaya mulai pada 11 April sehingga hari mengundi iaitu 16 April. PAS Kawasan Tanjong Karang optimis dalam PRN Serawak kali ini, rakyat negeri berkenaan akan membuat perubahan yang baik.

Antara pimpinan PAS Kawasan yang bertugas ialah Naib Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan, Haji Misran Serman, yang juga Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Tanjong Karang, Penolong Setiausaha 1 PAS Kawasan, Mohd Faizal Mohd Barja, Pimpinan PAS Kawasan, Drs Mohd Rashdi Deraman Haji Roslan Jamaluddin, Muhamad Abdul Majid, Mohd Sofian Mohd Kalil dan lain-lain.

Dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Serawak kali ini, PAS telah mengemukakan lima calon, selain Sadong Jaya, PAS turut bertanding calon di DUN Beting Maro, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, DUN Sebuyau, Haji Adam Ahid, Muara Tuang, Noraini Hamzah dan DUN Tanjung Datu, Nani Shahari.





PAS Kemuka Lima Calon Dalam Pilihanraya Serawak

6 04 2011

Kuching, 6 Apr    :    Dua pemuda dan dua muslimat adalah antara lima calon yang dikemukakan PAS untuk bertanding di dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Serawak, yang akan diadakan pada 16 April 2011 ini.

Pesuruhjaya PAS Negeri Serawak Haji Adam Ahid, 62, merupakan seorang aktivis sepenuh masa PAS akan menentang calon Barisan Nasional (Bn), Julaihi Narawi dan calon Bebas, Ali Semsu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau.

Peguam muda, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, 32, yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Dewan Pemuda PAS Negeri (DPPN) Selangor, akan bertanding di DUN Beting Maro, menentang calon Bn, Razali Gapor, dalam pertandingan satu lawan satu.

Di dalam PRN Serawak tahun 2006, calon PAS Alem Din yang ketika itu menentang calon Bn, Bolhasan Ahmad telah berjaya mengurangkan majoriti calon Bn, 895. PRN kali ini, Beting Maro akan menjadi salah satu kerusi tumpuan PAS bagi melahirkan anak sulung di bumi kenyalang.

Seorang lagi calon muda yang dikemukakan oleh PAS di dalam PRN kali ini ialah Ketua DPPN Serawak,  Abang Eddy Alyanni bin Abang Fauzi, 34, yang akan berhadapan dalam pertandingan tiga penjuru diantara calon Bn, Aidel Lariwoo dan calon Bebas, Mahayudin Wahab.

Sebelum ini Abang Eddy pernah bertanding di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 tahun 2008, di kerusi Parlimen Batang Lupar, menentang calon Bn, Dato’ Rohani Abdul Karim, tetapi tewas.

PRN Serawak kali ini juga mencatat sejarahnya yang tersendiri apabila PAS telah meletakan dua calon Muslimat untuk bertanding di dalam PRN. Noraini Hamzah, 49, yang berasal dari Kelantan tetapi telah lama menetap di bumi kenyalang selepas berkahwin, merupakan aktivis PAS yang dikenali oleh penduduk tempatan.

Beliau akan bertanding di DUN Muara Tuang dan akan ditentang oleh Calon Bn, Dato’ Ali Mahmud, yang juga adik kepada Ketua Menteri Serawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Manakala seorang lagi calon Muslimat PAS ialah, Nani Shahari, 42, seorang graduan dari Universiti Institut Teknologi MARA (UiTM) pada tahun 1993. Beliau akan bertanding di DUN Tanjung Datu.

Nani yang sekarangnya bertugas sebagai seorang pembantu klinik di Sarawak merupakan bekas Ketua Wanita PKR Sarawak pada tahun 2009 sebelum menyertai PAS tahun lalu.

Di DUN ini, Nani akan menghadapi pertanding tiga penjuru berdepan dengan penyandang kerusi, Dato’ Adenan Satim, dari Bn dan calon bebas, Gilbert Asson Kulong.

Serawak mempunyai 71 kerusi DUN yang akan dipertanding di dalam PRN kali ini. Penamaan calon bagi PRN Serawak diadakan hari ini. Calon-calon PAS telah diiringi pimpinan PAS yang datang dari seluruh negara.





DPP Tanjong Karang Dapat Ketua Baru

3 04 2011

Jalan Jepun, 2 Apr    :    Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjong Karang, telah mendapat Ketua DPP Kawasan baru bagi sesi 2011 / 2013, apabila Muhamad Jafaruddin Sheik Daud, telah Menang Tanpa Bertanding untuk mengisi jawatan tersebut, bagi mengantikan Ustaz Haji Mat Hasbollah Sudin, yang mengosongkan jawatan tersebut atas faktor usia, setelah mengetuai DPP Kawasan selama lapan tahun sejak tahun 2003.

Selain, Ustaz Mat Hasbollah, turut melepaskan jawatan diatas factor yang sama pula ialah, Mohd Sofian Mohd Kalil, yang menjadi AJK DPP Kawasan sejak tahun 2007.

Turut diisytiharkan menang tanpa bertanding juga ialah bagi jawatan Timbalan dan Naib Ketua DPP Kawasan, Ustaz Mohamad Adzil Basri Al-Hafiz dan Abd Malek Abdul Majid.

Bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) DPP Kawasan pula, SM Mubaroq Omar telah mendapat tempat pertama diikuti oleh Mohd Faizal Mohd Barja, Sharan Mohd Salleh, Mat Amin Mahat, Muhd Sobirin Omar, Muhamad Abdul Majid, Mohd Fadzli Mustapa dan Mohd Norrusabah Abd Ghani.

Bekas Ketua DPP Kawasan, Ustaz Mat Hasbollah Sudin pula telah dipilih oleh perwakilan untuk jawatan Pengerusi Tetap DPP Kawasan, manakala Mohd Rosli Kamsani pula telah menang tanpa bertanding bagi mengisi jawatan Timbalan Pengerusi Tetap DPP Kawasan.

Bekas AJK DPP Kawasan, Mohd Sofian Mohd Kalil dan Jassul Akhbar Jubri pula telah dipilih sebagai Pemeriksa Kira-kira DPP Kawasan.





Gandakan Usaha Dan Tingkatkan Semangat Untuk Mencapai Kemenangan

3 04 2011

Jalan Jepun, 2 Apr    : Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Ahmad Zaidy Bin Abd Mutalib, menyeru setiap ahli PAS khususnya pemuda supaya meneruskan perjuangan demi untuk menegakkan Islam serta keadilan di negara ini.

Pemuda-pemuda haruslah mencontoh perjuangan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sentiasa konsisten dengan perjuangan Islam sejak daripada usia muda sehingga sekarang. Begitu juga contoh yang ditunjukkan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, yang telah bersama-sama dengan PAS sebaik sahaja pulang daripada timur tengah.

Pemuda-pemuda PAS juga diseru supaya bangkit untuk memperjuang Islam samaada dalam keadaan susah ataupun senang. Memang sekiranya perjuangan untuk menegakkan Islam ini dalam keadaan yang senang, maka akan ramai orang yang akan ikut, tetapi perjuangan ini menuntut pengorbanan baik dari sudut harta benda, masa dan sebagainya, katanya lagi yang juga Timbalan Ketua DPP Negeri Selangor.

Beliau yang juga Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), juga menyeru supaya ahli-ahli Pemuda melipatgandakan usaha untuk meraih sokongan rakyat terutamanya generasi musa untuk memberikan sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat (PR) dalam PRU akan datang.

Kaunter-kaunter semakan dan daftar pemilih mesti dibuka di tempat-tempat awam bagi memudahkan orang ramai membuat semakan mengundi selain itu bagi mereka yang masih belum mendaftar sebagai pemilih, daftar mereka. Selain  itu akhbar-akhbar dan risalah-risalah daripada Kerajaan Negeri seperti akhbar Selangorkini mestilah disebar luaskan kepada rakyat supaya rakyat mengetahui perkembangan isu-isu terkini serta program yang telah dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor.

Di Tanjong Karang, katanya, PAS mempunyai peluang cerah untuk memenangi kerusi Parlimen Tanjong Karang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong. PAS pernah mencatat sejarah apabila berjaya memenangi kerusi DUN Sungai Burong pada tahun 1999 melalui calonnya Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali, yang kini merupakan Ahli Majlis Meysuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor.

Oleh yang demikian, sejarah kemenangan tersebut haruslah menjadi motivasi yang baik untuk membangkitkan semangat generasi muda untuk mencapai kemenangan di dalam PRU akan datang, katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan DPP Kawasan Tanjong Karang kali ke47 yang diadakan di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS). Hadir sama dalam majlis perasmian tersebut ialah Ketua Dewan Muslimat PAS (DMP) Kawasan, Ustazah Hajjah Jamiyah Yussuf, Penolong Setiausaha 2 dan 3 PAS Kawasan, Othman Ngah, Norhidayah Parmin dan beberapa orang lagi  pimpinan PAS Kawasan.