Tokoh : Ustazah Hajjah Asmah Binti Ahmat, P.J.K

27 06 2010

Gelombang reformasi dalam Pilihanraya Umum ke-10 tahun 1999 berikutan pemecatan Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, telah memberi kesan yang besar kepada rakyat. Lebih membanggakan lagi PAS yang selama ini tidak pernah memenangi sebarang kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, (Kecuali DUN Sungai Panjang, Haji Hamdan Bakri, mengunakan tiket Barisan Nasional (BN) tahun 1974) telah memperolehi 4 kerusi DUN di dalam Pilihanraya umum tahun 1999.

Salah satu kerusi yang berjaya dimenangi oleh PAS ialah DUN Sungai Burong melalui calonnya, Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali (mantan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor 2008 – 2012) yang telah berjaya menewaskan Calon BN, Dato’ Mohd Aini Taib. Berikutan gelombang kemaraan rakyat yang memuncak kepada Umno ketika itu, Umno telah melakukan berbagai cara untuk menyekat rakyat terutama kakitangan kerajaan daripada terus aktif dengan parti pembangkan terutamanya PAS.

Ustazah Hajjah Asmah binti Ahmat, 66, adalah salah seorang aktivis PAS Tanjong Karang yang telah menjadi mangsa politik balas dendam Umno. Beliau, yang ketika itu mengajar di Sekolah Agama Menengah Seri Desa (SAMSED), telah diberikan notis pindah 24 jam ke Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jamaah (SAMTAJ) di Shah Alam, Selangor oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), beberapa tahun sebelum beliau bersara, atas arahan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Dato’ Noh Omar, kerana terlibat secara aktif di dalam Pilihanraya umum tersebut.

Ikuti kisah dan pengalaman, Ustazah Hajjah Asmah Binti Ahmat, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Tanjong Karang merangkap Naib Ketua Dewan Muslimat PAS (DMP) Kawasan Tanjong Karang.

Latarbelakang

Ustazah Asmah Ahmat, dilahirkan pada 11 Mac 1949, di Kampong Masjid Baroh, Sungai Tengi Kanan, Tanjung Karang. Bapanya Haji Ahmad b. Imam Razi merupakan seorang guru agama di kampongnya, manakala ibunya Hajjah Napsiah bt. Abd Jalil, adalah suri rumah sepenuh masa. Beliau merupakan anak bongsu kepada sembilan beradik.

Pendidikan

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab Mamba’ul Ulum, Dato’ Manan, Tanjung Karang. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Agama Menengah Tinggi Hishamuddin, Kampong Jawa, Klang, dan telah mendapat Rabi’ Thanawi pada tahun 1969.

Pada tahun 1978 sehingga 1981 beliau telah mengambil Diploma Pendidikan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak, dalam pengkhususan Bahasa Arab dan Pendidikan Islam.

Keluarga

Ustazah Asmah telah mendirikan rumahtangga pada 13 Februari 1970 dengan Haji Mohd Jamil Hj Nawawi, yang bekerja sebagai Pengurus Kilang Padi, dan telah dikurniakan seramai 5 orang anak kesemua lelaki.

100_42551Suaminya juga merupakan aktivis PAS di Kawasan Kuala Selangor. Pernah menyandang beberapa jawatan di dalam PAS seperti Ketua PAS Cawangan Sungai Tengi Kanan dan AJK PAS Kawasan Kuala Selangor.

Manakala di dalam Pilihanraya Umum tahun 1986, Haji Mohd Jamil, telah dipilih sebagai Calon PAS menentang calon Barisan Nasional (BN) Dato’ Yusof Hasan di DUN Sungai Tinggi, tetapi tewas. Suaminya, telah meniggal dunia pada 1 September 1991, kerana penyakit paru-paru berair.

Dua orang anaknya telah berkerja dan telah mendirikan rumahtangga dan telah dikurniakan seorang cucu. Manakala yang selebihnya masih bersekolah.

Kerjaya

Setelah mendapat Rabi’ Thanawi, pada tahun 1969 beliau telah bertugas sebagai guru di Sekolah Agama Pekan Tanjong Karang sehingga tahun 1977. Manakala pada tahun 1977 beliau telah berpindah ke SAMSED, Tanjong Karang sebelum melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris pada tahun 1978.

Setelah berjaya memperolehi Diploma Pendidikan, pada tahun 1981 beliau terus berkhidmat di SAMSED sehingga tahun 2000. Pada tahun 2001 beliau telah dipindahkan ke SAMTAJ, Shah Alam, sehingga beliau bersara pada Mac 2005 yang lalu.

Mula bergiat dengan PAS

Ustazah Asmah, yang dilahirkan di dalam keluarga PAS, mula bergiat aktif sekitar tahun 90-an dan memegang jawatan sebagai Ketua Jawatankuasa Muslimat PAS Cawangan (JMC) Sungai Tengi Kanan, sehingga tahun 2002. Pada tahun 2002, beliau terpaksa melepaskan jawatan, disebabkan beliau telah dipindahkan ke SAMTAJ.

Setelah bersara pada tahun 2005, beliau sekali lagi telah diamanahkan sebagai Ketua JMC Sungai Tengi Kanan. Di samping itu, beliau telah dilantik sebagai AJK DMP Kawasan Tanjong Karang dan AJK Lajnah Tarbiyyah DMP Kawasan Tanjong Karang sehingga tahun 2009. Manakala dalam pemilih DMP Tanjong Karang yang lepas beliau telah diamanahkan pula sebagai Naib Ketua DMP Tanjong Karang bagi sesi 2009 / 2011.

Diperingkat Kawasan pula, beliau telah mula diberi peranan sebagai AJK PAS Kawasan Tanjong Karang pada tahun 2007 di dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan bagi sesi 2007 / 2009. Manakala di dalam pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan pada tahun 2009, beliau sekali lagi diamanahkan oleh perwakilan untuk mempertahankan jawatan tersebut.

Beliau juga aktif memberikan kuliah kepada muslimat PAS sekitar Tanjong Karang. Pada hari selasa setiap minggu, beliau mempunyai kelas khusus untuk Muslimat PAS Cawangan Batu 9 Kampong Tengah.

Beliau merupakan aktivis Muslimat yang tabah dan berani, semasa menerima notis berpindah dalam masa 24 jam, beliau telah diberi pilihan jika mahu terus mengajar di SAMSED, beliau diminta membuat rayuran kepada Ahli Parlimen Tanjong Karang, Dato’ Noh Omar (Sekarang Menteri) tetapi beliau tidak mengindahkannya dan terus mengambil keputusan berpindah ke SAMTAJ sehingga bersara.

Ustazah Asmah juga pernah di pujuk oleh Penghulu Mukim Tanjong Karang, supaya tidak terlibat secara aktif dengan PAS, tetapi beliau tetap dengan pendiriannya.

Aktiviti masyarakat

Ustazah Asmah, bukan sahaja aktif di dalam politik tetapi juga turut terlibat secara aktif dengan masyarakat. Selain mengajar di kelas-kelas pengajian untuk Muslimat PAS, beliau turut memberikan kuliah kepada kaum ibu di Masjid Baroh yang berhampiran dengan rumahnya.

Beliau juga pernah terlibat sebagai pendakwah di Unit Mubalighah, JAIS dan sering di jemput untuk memberikan ceramah samaada di jabatan-jabatan kerajaan atau swasta, terutama semasa bulan Ramadhan melalui program Penghayatan Ramadhan yang dianjurkan oleh Unit Mubalighah.

Sebaik sahaja PAS bersama dengan Pakatan Rakyat (PR) diberi mandat oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8hb Mac 2008 yang lalu, beliau sekali lagi diamanahkan sebagai AJK Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK) Sungai Tengi Kanan.FB_IMG_1662446399444

Anak Didik

Diantara anak muridnya yang telah berjaya dan terlibat dengan politik ialah Ketua DMP Kawasan, Ustazah Hajjah Jamiyah Yussuf, penulis sendiri, yang juga Setiausaha PAS Tanjong Karang, AJK PAS Kawasan, Ustaz S.M Mubaroq Bin Omar dan ramai lagi.

Penghargaan

Bagi menghargai segala jasa, pengorbanan dan bakti yang telah ditabur kepada masyakarat sepanjang berkhidmat sebagai pendidik dan ahli politik beliau telah di diberikan 06022011133 (1)beberapa anugerah antaranya ialah Anugerah Perkhidmatan Guru Cemerlang sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1995 dan 2004, bagi menghargai jasanya sepanjang berkhidmat dengan JAIS sebagai guru selama 35 tahun.

Manakala di peringkat parti pula, beliau telah berikan anugerah “Tokoh Pas Kawasan Tanjong Karang Tahun 2008” oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Tanjong Karang sempena dengan Ceramah Gema Malam Kemerdekaan pada 29hb Ogos 2008 yang disampaikan oleh AJK PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad, merangkap Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Dan yang terakhir, beliau telah dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) sempena dengan Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada 22hb April 2010 yang lalu.

Keberanian, ketabahan dan kerajinan beliau sebagai pimpinan PAS khususnya dikalangan Muslimat sewajarnya menjadi contoh kepada setiap pimpinan dan ahli PAS di Tanjong Karang.

Oleh : Mohamad Faizal Mohamed Barja

*Update 6/8/2015 – Penulis adalah Setiausaha PAS Kawasan Tanjong Karang Merangkap Pengurus Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sungai Burong yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjong Karang

 





Kaitkan Presiden PAS dengan Pengganas : Akibat nasihat daripada APCO

24 06 2010

Kuala Lumpur, 24 Jun    : Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Haji Idris Ahmad, berkata, PAS) mahu pihak Kerajaan BN dan Polis Diraja Malaysia memberikan penjelasan terhadap laporan Malaysiakini yang mengatakan Presiden PAS didakwa sebagai pengganas dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung Jamah Islamiah (JI) di Bukit Aman Isnin lalu.

Menurutnya, PAS memandang serius dakwaan ini. PAS mencurigai kredibiliti Zamihan yang mendakwa penglibatan Presiden PAS dalam gerakan wahabi yang turut dikaitkan dengan Jamaah Islamiah yang dirangkumkan bagi membentuk persepsi bahawa beliau adalah Pengganas.

PAS, Katanya lagi,  melihat bahawa fitnah ini sengaja dicipta bagi memberikan imej buruk kepada beliau dan PAS. Perkara ini bukan kali pertama. Tahun lepas Mossad memfitnah presiden PAS sebagai pengganas selepas Menteri Pertahanan Israel membuat rundingan sulit dengan Zahid Hamidi.

Manakala pada tahun 2007 Presiden PAS memenangi samannya ke atas akhbar ternama Britain, Daily Mirror.. Akhbar ini telah bersetuju meminta maaf kepada Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi di Royal Court of Justice, ekoran penyiaran gambar dan berita berunsur fitnah yang mengaitkan beliau dengan pergerakan al-Qaeda. Gambar Presiden PAS muncul di akhbar tersebut dengan tajuk “AL-QAEDA – Abdul Hadi” dan dinyatakan bahawa beliau adalah pemimpin nombor tiga al-Qaeda dan sedang ditahan di Guantanamo Bay.

PAS tidak dapat menerima fitnah ketiga yang sengaja dicipta ini selepas kegagalan dua siri fitnah yang cuba mengugat PAS sebelum ini. PAS yakin sedikit sebanyak pengaruh nasihat APCO membawa kecenderungan kerajaan bagi mencipta krisis pengganas untuk dikaitkan dengan Presiden PAS dan parti ini.

 





Tuduh Presiden PAS Terlibat Dengan Wahabi Dan JI Tidak Wajar

24 06 2010

Kuala Lumpur, 24 Jun    : Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin, berkata, Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sama sekali tidak wajar dikaitkan dengan keganasan. Beliau ialah bekas Menteri Besar (MB) Terengganu. Mengetuai sebuah parti politik tanahair sejak sekian lama. Ini melambangkan penghormatan beliau dan partinya terhadap amalan demokrasi dan hak kebebasan rakyat.

Tuduhan terhadap beliau telah menghina sebuah parti politik yang selama ini melalui lunas-lunas sistem demokrasi negara ini. Sekali lagi, Zamihan dan polis perlu bertanggungjawab terhadap fitnah ini, katanya lagi.

Demikian Dato Seri Shahidan Kassim,  Bekas MB Perlis dan kini Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Naib Presiden PERKIM, Malaysia dan akvitis berbagai kebajikan rakyat. Layakkah orang seperti ini dituduh mempunyai kaitan dengan pengganas? Soalnya lagi.

Nampaknya UMNO dan BN sanggup membunuh rakan sendiri dalam memperjudikan kepentingan politik tertentu, ujarnya yang juga Ahli Majlis Agama Negeri Perlis

Beliau yang juga Pensyarah Pengajian Islam Universiti Sains Malaysia (USM), juga menyentuh mengenai Jamaah Islah Malaysia (JIM) yang turut dilibatkan dengan perkara yang sama. Katanya, adapun JIM kami tidak mempunyai maklumat yang banyak mengenai mereka. Namun, kami percaya mereka bukan pengganas dan tidak layak dikaitkan dengan tuduhan jijik itu. Sebagai NGO, mereka mempunyai sumbangan kepada negara yang patut dihargai.

Beliau juga meminta supaya pihak polis memberikan penjelasan kepada rakyat terhadap fitnah rambang ini. Siapakah Zamihan sehingga dia digunakan oleh pihak polis untuk membuat agenda jahat ini? Soalnya lagi

Polis sepatutnya menyiasat beliau ini dan hubungannya dengan mentor yang selalu dirujuk kepadanya iaitu Hasan al-Saqqaf. Hasan al-Saqqaf yang terkenal suka menyesat dan mengkafirkan sesiapa yang berbeza pandangan dengannya itu, kini terbabit dengan isu keselamatan negara Jordan.

Jika pihak polis tidak menafikan dakwaan Zamihan ini, bererti pihak polis yang dikuasai oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri seakan sengaja menabur fitnah yang tidak berasas, katanya lagi.





Tuduhan Terlibat Dengan Wahabi Dan JI : Kerajaan Pusat Memperjudikan Isu Keselamatan Negara

24 06 2010

Kuala Lumpur, 24 Jun    : Bekas Mufti Negeri Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin, yang dikaitkan dengan ajaran Wahabi dan Jamaah Islamiah (JI) oleh Kerajaan Barisan Nasional (Bn) telah membuat penafian bersama dengan Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Dr Juanda Jaya di dalam laman webnya http://drmaza.com/home/.

Menurutnya, Apa yang didakwa oleh banyak pihak, terutama parti pembangkang bahawa isu keselamatan negara yang membabit ancaman pengganas yang digembar-gemburkan oleh pihak kerajaan adalah permainan politik, nampaknya mempunyai asas yang kukuh. Kerajaan Pusat kelihatan memperjudikan isu keselamatan negara yang diada-adakan untuk kepentingan tertentu.

Buktinya, laporan Malaysiakini pada 22hb Jun 2010, yang menyatakan bahawa dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung JI (Jamaah Islamiah) di Bukit Aman pada 21 Jun, yang dihadiri oleh Menteri, Timbalan Menteri dan TNC-TNC seluruh negara, penceramah yang diundang oleh pihak polis Zamihan Mat Zain dari ILIM telah mendakwa dengan satu dakwaan yang sangat jahat iaitu YB Presidan PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, YB Dato Seri Shahidan Kassim, kami berdua dan ramai lagi tokoh masyarakat dikaitkan dengan wahabi dan pengganas JI. Demikian dikaitkan pertubuhan JIM dengan rangkaian pemikiran radikal di Timur Tengah.

Dakwaan ini, katanya,  sangat jahat. Jelas sengaja diada-adakan. Rakyat Malaysia mengenali pemikiran kami yang sentiasa menyeru kepada Islam yang progresif, keharmonian kaum dan agama, menentang sikap fanatik dan apa sahaja bentuk kekerasan pandangan. Isu-isu kami bawa selama ini sentiasa mendapat perhatian semua agama dan kaum kerana mempamerkan Islam yang “tolerance” dan berpaksikan kesesuaian hidup masyarakat yang serba rencam. Hal ini boleh dirujuk dalam berbagai tulisan dan kenyataan kami. Justeru, Zamihan dan polis wajib bertanggungjawab atas fitnah ini.

Dengan ini, kami menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini dan mengingatkan rakyat bahawa mana-mana pemerintahan atau parti politik yang sanggup memperjudikan isu keselamatan negara untuk kepentingan tertentu adalah sebuah pemerintahan yang tidak bertanggungjawab.

Pemerintahan yang menggunapakai kaedah tipu muslihat, berbohong, menggadaikan maruah orang lain untuk kepentingan sempit, mencemarkan hak rakyat dan memanipulasikan isu keselamatan negara adalah amat merbahaya bagi sesebuah negara yang harmoni.





Tuan Guru Abd Hadi: Wahabi Tiada Kaitan Dengan Pengganas

24 06 2010

Kuala Lumpur, 23 Jun    : Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, mendakwa cubaan mengaitkan fahaman wahabi dengan Jemaah Islamiah (JI) atau kumpulan pengganas adalah agenda Barat dan mereka yang mahu memburukkan Islam.

Dipetik Harakah Daily, Tuan Guru Abdul Hadi berkata, musuh Islam sememangnya menggunakan isu perbezaan mazhab untuk memecahkan umat Islam.

“Wahabi tidak ada kena-mengena dengan pengganas pun… itu satu agenda Barat dan musuh Islam,” kata beliau hari ini.

Pagi tadi bekas dua pemimpin agama termasuk Bekas     Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa pendedahan wujudnya peranan JI sambil dikaitkan dengan tokoh-tokoh tokoh politik kemungkinan besar merupakan “mainan politik kotor kerajaan” untuk mengalih isu semasa.

“Dengan ini, apa yang disebut oleh beberapa tokoh masyarakat seperti SM Idris dan pihak Pakatan Rakyat bahawa isu ini tiada asasnya kelihatan benar.

“Bahkan ia bermungkinan besar mainan politik kotor kerajaan yang memerintah untuk mengalihkan isu-isu tertentu,” kata dua pemimpin berkenaan dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Selain Asri, seorang lagi pemimpin agama yang mengeluarkan pendirian itu ialah Sahibus Samahah Dr Juanda Jaya iaitu Mufti  Perlis yang juga anggota Majlis Fatwa Kebangsaan.

Asri dan Juanda menambah, buktinya laporan media yang menyatakan bahawa dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung JI di Bukit Aman  Isnin lalu telah didakwa bahawa nama kedua-dua mereka bersama Presidan PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Shahidan Kassim serta ramai lagi tokoh masyarakat dikaitkan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Ceramah pada majlis taklimat itu diberikan oleh Penolong pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Institut latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin.

“Dakwaan ini sangat jahat. Jelas sengaja diada-adakan,” kata mereka.

Abdul Hadi mengakui “saya memang belajar di universiti Wahabi, dapat biasiswa Wahabi.”

“Tetapi saya ada pandangan saya sendiri,” jelas Tuan Guru Abdul Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang, Terengganu.

Dalam pada itu, Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Ustaz Datuk Haji Abdul Halim Abdul Rahman tidak menolak kemungkinan isu JI ini timbul ada kaitan dengan pilihan raya.

Menurutnya, Umno BN cuba mengaitkan Islam dengan terorisme bagi menakutkan orang bukan Islam dengan PAS yang dilihat semakin mendapat sokongan golongan itu.

“Dalam konteks kita, isu JI ini dibangkitkan supaya orang bukan Islam takut kepada PAS. Mereka cuba melabelkan PAS sebagai ekstremis, ini agenda BN,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Kelantan.





Khas : Belasungkawa Ustaz Haji Hassan Shukri, A.M.N

23 06 2010

Oleh : Mohamad Faizal Mohamed Barja

Pada 14hb Jun 2010 (Isnin) bersamaan dengan 1 Rejab 1431H yang lalu PAS telah kehilangan sebutir permata yang boleh dianggap sebagai kamus bergerak  PAS iaitu, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Haji Hassan Shukri, 71.

Allahyarham meninggal dunia dan menemui penciptanya ketika PAS berada di puncak kejayaan bersama-sama dengan Pakatan Rakyat (PR). Allahyarham telah menghabiskan seluruh usianya dengan perjuangan semenjak diusia belasan tahun.

Latarbelakang

Ustaz Haji Hassan Shukri dilahirkan pada, 11hb Oktober 1938 di Kampong Sepintas Sabak Bernam, Selangor

Allahyarham  mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sabak Bernam sehingga tamat darjah enam. Kemudian allahyarham telah melanjutkan pelajaran ke Maahad Yahyawiyah, Padang Renggas, Perak pada tahun 1956 sehingga tahun 1960 dan telah memperolehi Rabi’ Thanawi.

Manakala pada tahun 1968, beliau telah mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Baghdad, Iraq dalam bidang Perundangan Islam dan Kesusasteraan Arab, bersama-sama 10 orang rakannya antaranya ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Ustaz Hashim Jasin, Bekas Mufti Pulau Pinang, Dato’ Sheikh Azmi Ahmad dan Ustaz Jaliluddin Abd Wahid. Setelah bertungkus lumus selama empat tahun Allahyarham berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalan bidang berkenaan dan kembali ke Tanah Air.

Rumahtangga

Ustaz Hassan Shukri, telah mendirikan rumahtangga dengan seorang guru, Ustazah Hamidah Talib dan telah dikurniakan seramai 6 orang cahaya mata. Lima perempuan dan seorang lelaki.

Mula menyertai PAS

Ustaz Hassan mula menyertaannya PAS secara tidak rasmi sewaktu berusia 14 tahun pada 1951 dan pernah dilantik memegang jawatan sebagai Setiausaha Ranting PAS Padang Renggas Perak.

Allahyarham pernah dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Negeri Perak pada tahun 1962 sehingga tahun 1964. Manakala pada tahun 1968-1970 diamanahkan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) DPP Pusat sebelum dipilih sebagai Naib Ketua DPP Pusat pada tahun 1970-1971.

Kemudian Allahyarham telah dilantik sebagai Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) pada tahun 1970-1971 apabila ketua Ustaz Jaiz Anwar (Allahyarham) meletak jawatan kerana melanjutkan pelajaran ke luar Negara. Manakala pada tahun 1971 – 1973 beliau telah diamanahkan sebagai Ketua DPP Pusat.

Beliau kemudiannya telah dilantik sebagai Setiausaha Agung PAS dan telah berkhidmat kepada tiga orang Presiden PAS iaitu Dato’ Mohd Asri Haji Muda (Allahyarham Tan Sri), Tuan Guru Haji Yusof  Rawa (Allahyarham) dan Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor (Allahyarham).

Sebelum dipilih sebagai Naib Presiden PAS pada tahun 1987 sehingga tahun 2003. Manakala pada tahun 2003 sehingga tahun 2005 beliau telah diamanahkan sebagai Timbalan Presiden PAS.

Diperingkat Negeri pula, Allahyarham pernah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1979 sehingga tahun 1982 dan pada tahun 1994 sehingga tahun 2003.

Selain itu, Allahyarham juga pernah memegang pelbagai jawatan dalam PAS antaranya ialah Ahli Jawatankuasa Kerja(AJK) PAS Pusat (tahun 2003 sehingga tahun 2005), Naib Ketua Dewan Ulama’ PAS (DUP) Pusat, Naib Ketua DUP Negeri Selangor dan Ahli Majlis Syura Ulama’ PAS Pusat dari tahun 1980 sehingga Allahyarham meninggal dunia.

Bertanding Dalam Pilihanraya

Beliau pernah diamanahkan oleh parti bertanding dalam Pilihanraya Umum (PRU) antaranya di Parlimen Sabak Bernam dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Besar pada tahun 1969. Manakala pada tahun 1986 beliau telah diamanahkan sebagai calon PAS di Parlimen Batu.

Semasa dipilih sebagai calon PAS, beliau pernah menentang nama-nama besar Umno seperti Dato’ Taiban Hassan dan Tan Sri Mustafa Jabbar.

Dilantik Sebagai Ahli Dewan Negara @Senator

Selepas PAS memperolehi kemenangan di Negeri Terengganu pada tahun 1999 beliau telah dilantik oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, sebagai Ahli Dewan Negara @ Senator bersama-sama dengan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri (DMP) Terengganu, Hajah Safinah Jusoh dan telah berkhidmat selama 2 penggal dari tahun 2000 sehingga tahun 2006.

Sepanjang berkhidmat sebagai Senator, beliau antara Ahli Dewan yang aktif dalam menyuarakan pandangan dan pendapat serta mengambil bahagaian dalam perbahasan, walaupun suara PAS sangat kecil berbanding daripada pihak kerajaan. Selain daripada Senator yang dilantik oleh kerajaan Negeri Terengganu PAS mempunyai dua orang lagi wakil daripada Kerajaan Negeri Kelantan iaitu, Ustazah Hajah Jamilah Ibrahim dan Ustazah Hajah Siti Zailah Mohd Yussuf.

Berkhidmat Dalam Kerajaan

Semasa PAS bergabung didalam Barisan Nasional (Bn), Allahyarham pernah dilantik sebagai Yang Dipertua (YDP) Yayasan Dakwah Islamiyyah Malaysia (YADIM) dan Ahli Lembaga Majlis Agama Islam Wilayah Persekituan (MAWIP).

Jasa dan Kegigihan

Diantara jasa Ustaz Hassan Shukri yang besar di dalam PAS ialah pembinaan Markaz Tarbiyyah PAS Pusat yang terletak bersebelahan dengan rumahnya. Bermula dengan modal RM20,000, beliau membeli sebidang tanah di situ, sebagai tapak awal untuk membina markas.

Kemudian beliau berbincang pula dengan Yang Dipertua PAS, Allahyarham Yusuf Rawa, Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin dan Naib Presiden PAS ketika itu, Ustaz Nakhaei Ahmad (sekarang Dato’) untuk mereka sama-sama membeli tanah dengan harga sekitar RM26,000 bagi meluaskan kawasan markas sekitar tahun 1982. Selain menerima sumbangan wang, markas itu turut didirikan secara bergotong royong pada peringkat awalnya.

Kemudian dengan kebijaksanaan Hassan, beliau mengarahkan setiap satu cawangan PAS menyiapkan satu tiang bangunan tanpa menggunakan jengkaut untuk menggali lubang tapak asas.

Allahyarham juga dikenali sebagai Buku Perlembagaan bergerak PAS, kerana Allahyarham bukan sahaja terlibat dalam merangka Perlembagaan PAS tetapi boleh menghafal setiap Fasal yang terdapat di dalam Buku Perlembagaan PAS. Maka tidak hairanlah jika sekiranya berlaku apa-apa masalah beliau telah dijadikan sebagai Pakar rujuk untuk menghuraikan segala permasalahan tersebut.

Satu kegigihan Allahyarham yang boleh dijadikan sebagai contoh kepada pimpinan PAS dipelbagai peringkat ialah dari segi masa. Allahyarham sangat menepati masa apabila menghadiri pelbagai program yang melibatkannya walaupun ketika itu, Allahyarham hanya dijemput sebagai tetamu.

Semasa hayatnya, Allahyarham juga seringkali dilihat sering menggalas mesin pemotong rumput untuk menebas rumput yang tumbuh dihadapan rumahnya dan disekitar Markaz PAS Taman Melewar.

Jasa dan pengorbanannya kepada PAS memang tiada siapa yang boleh menyangkal, lantaran itu sebuah jalan di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat menuju kerumahnya dinamakan dengan namanya iaitu Lorong Haji Hassan.

Pemimpin Yang Ikhlas Dan Komited

Allahyarham adalah merupakan seorang pemimpin yang benar-benar ikhlas mengabdikan diri dalam perjuangan. Walaupun dalam keadaan susah dan senang jiwanya tetap bersama-sama dengan PAS.

Allahyarham pernah menceritakan pengalamannya sewaktu hendak menghadiri ceramah, ketika itu, Allahyarham dan rakannya tidak mempunyai wang untuk menghadiri ceramah tersebut tambahan pula minyak keretanya sudah habis. Tetapi dengan tawakal beliau dan rakannya terus pergi menghadiri undangan ceramah tersebut. Berkat doa dan bantuan Allah, beliau sampai ditempat ceramah dengan selamat.

Walaupun belia tidak lagi memegang jawatan utama dan parti, beliau terus menghadiri program-program dan majlis-majlis yang memerlukan kehadiran, seolah-olah beliau masih belum bersara lagi daripada politik.

Baginya jawatan bukan landasan untuk bergerak sebaliknya kalau seseorang itu tinggi iltizam kepada perjuangan ia boleh bergerak atas apa juga kedudukannya. Wibawa dan komitmen beliau bukan kerana jawatan. Dalam hal ini baginya jawatan adalah amanah langsung dari parti dan Allah.

Dakwah dan Pendidikan

Allahyarham bukan sahaja terlibat secara aktif dengan PAS, tetapi dalam dunia pendidikan dan dakwah. Allahyarham pernah menubuhkan sebuah Sekolah yang dinamakan sebagai Sekolah Agama Darul Tarbiah sebuah sekolah KAFA yang terletak berhampiran dengan rumahnya.

Allahyarham juga aktif menyampaikan kuliah-kuliah di sekitar masjid dan surau disekitar Taman Melewar dan mempunyai kuliah tetap di Markaz Tarbiah PAS Pusat setiap minggu.

Anugerah

Bagi menghargai jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan kepada ahli dan masyarakat Allahyarham pernah dianugerahkan pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N) oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

Selain itu, Allahyarham juga pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1430h peringkat Negeri Selangor pada tahun 2009 oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Diperingkat parti pula, Dewan Pemuda PAS (DPP) Negeri Selangor telah menganugerahkan kepada beliau sebagai “Tokoh Haji Yusof Rawa” semasa Muktamar DPPN Selangor pada 1 Mei 2010 yang lalu.

Beberapa hari sebelum Allahyarham meninggal dunia DPP Pusat pulah telah menganugerahkan beliau sebagai “Tokoh Pemuda” semasa perasmian Serentak Muktamar Dewan Ulama’ PAS (DUP), DPP dan Dewan Muslimat PAS (DMP) Pusat di Pusat Tarbiyyah Islamiyyah Kelantan (PUTIK) dan telah disampaikan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Allahyarham telah menghembuskan nafasnya yang terakhir selepas pulang daripada menghadiri Muktamar PAS kali ke-56 yang diadakan di Pusat Tarbiyyah Islamiah Kelantan (PUTIK) pada 14hb Jun 2010 yang lalu di Hospital Selayang. Semoga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya dan ditempatkan dikalangan para syuhada. Al-Fatihah.

_________________________________________________________________________
Penulis adalah Ahli Majlis, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) merangkap Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor dan Penolong Setiausaha 1 PAS Kawasan Tanjong Karang.





Jenazah Bekas Timbalan Presiden PAS Selamat dikebumikan

15 06 2010

Kuala Lumpur, 15 Jun    : Jenazah Bekas Timbalan Presiden PAS, Allahyarham Ustaz Haji Hassan Shukri, 71, yang meninggal dunia di Hospital Selayang semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selaseh 2 Gombak, Selangor.

Sebelum itu, dianggarkan ribuan sanak saudara, sahabat handai, pimpinan dan bekas-bekas pimpinan PAS serta ahli dan penyokong PAS telah menziarahi  jenazah Allahyarham sejak berita kematian tersebar luas petang semalam sehingga pagi ini.

Pada pagi ini, ribuan Umat Islam telah menyembahyangkan jenazah Allahyarham yang diimamkan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Antara pimpinan PAS yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abd Aziz Nik Mat, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Naib-Naib Presiden PAS, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Dato’ Mahfuz Omar, Ketua Dewan Muslimat PAS (DMP) Pusat, Ustazah Hajjah Nuridah Mohd Salleh, Ketua Penerangan PAS, Ustaz Haji Idris Ahmad dan Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Ustaz Dato’ Abd Halim Abd Rahman.

Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Ustaz Dato’ Abu Bakar Chik, Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali, yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Haji Husam Musa, Dato’ Kamaruddin Jaafar, Ustaz Haji Hashim Jasin, Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Dato’ Dr Mahfuz Mohamad  dan ramai lagi.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Mejar Jeneral (B) Dato’ Jamil Khir Baharum, Bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiyah (YADIM), Dato’ Nakhaie Ahmad, yang  juga Bekas Naib Presiden PAS.

Manakala bekas pimpinan PAS yang turut kelihatan ialah Bekas Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang, Bekas Setiausaha Agung PAS, Ustaz Abd Halim Arshad, Bekas Ketua DMP Pusat, Ustazah Hajjah Jamilah Ibrahim, yang juga Bekas Ahli Dewan Negara dan ramai lagi.





Pemergian Ustaz Hassan Shukri Satu Kehilangan Besar

14 06 2010

Kuala Lumpur, 14 Jun    : Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin menyifatkan parti kehilangan tokoh yang merupakan kamus dan rujukan parti berikutan kematian Ustaz Hassan Shukri

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Bachok berkata, baru dua hari lepas, allahyarham menerangkan struktur Perlembagaan PAS kepada tetamu luar PAS di JKR 10, Kota Bharu.

Sementara itu Ketua Umum Parti KeADILan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim pula berkata, “Saya kenal Ustaz Hassan sejak awal perjuangan di Malaysia. Kita hilang satu sumber rujukan yang besar,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang juga menyifatkan allahyarham adalah tokoh perjuangan Islam yang asal dan kekal hingga kini.

Bagi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Seri Khalid Ibrahim pula, Selangor kehilangan seorang tokoh yang berjuang untuk rakyat.

“Saya pernah berbincang dengan beliau bagaimana nak bantu rakyat yang tiada rumah dengan menggunakan wang zakat di atas tanah kerajaan,” ujarnya lagi

Katanya, Selangor telah memilih beliau sebagai Tokoh Maal Hijrah sebelum ini.

Turut menziarah ialah Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang,  Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, Bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramli, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Datuk Kamaruddin Jaffar, Mohd Hanipa Maiden dan Pimpinan PAS dipelbagai peringkat seluruh Negara khususnya Selangor turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad serta Datuk Nakhaie Ahmad anatara yang turut hadir.





Bekas Timbalan Presiden PAS kembali kerahmatullah

14 06 2010

Kuala Lumpur, 14 Jun    : Bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Haji Hassan Shukri, 71, meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira jam 2.00 petang tadi.

Beliau yang dimasukkan ke hospital Selayang pagi ini baru sahaja pulang dari Kota Bharu jam 10.30 malam tadi selepas menyertai Muktamar PAS ke 56 yang berlangsung di Pusat Tarbiyyah Islamiyyah Kelantan (PUTIK).

Ustaz Hassan telah berada di Kota Bharu sejak Rabu 9 Jun lagi kerana menyertai mesyuarat Majlis Syura Ulama pada petang hari tersebut. Pada malamnya beliau menyertai majlis perasmian dewan-dewan oleh Mursyidul Am di Putik dan pada hari Khamis beliau menyertai Muktamar Dewan Ulama di Markas Dewan Ulama (Madu) di Machang.

Turut serta bersama beliau malam tadi adalah Bekas Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Haji Subky Latif dan Haji Abdul Rahman. Menurut Puan Naznah Taha, isteri Haji Subky, Ustaz Hassan telah membawa kereta yang dinaiki mereka bertiga dari Kuala Krai namun berhenti di Kuala Lipis kerana mengadu sakit dada.

Apabila mereka tiba di rumah jam 10.30 malam tadi, Ustaz Hassan terus mengadu sakit dada tetapi hanya mengesyaki akibat dari pajeri nenas yang beliau makan malam tadi.

Selepas tidak berhenti sakit, kira-kira jam 9.00 pagi tadi, Ustaz Hassan dihantar anak beliau ke Hospital Selayang. Selepas itu dibawa ke Unit Rawatan Jantung (CCU) dan meninggal dunia kira-kira jam 2.00 petang. Jenazah allahyarham dibawa keluar dari hospital kira-kira jam 3.40 petang.

Sebelum diamanahkan sebagai  Timbalan Presiden PAS dari tahun 2003 – 2005, Ustaz Hassan pernah menjadi Naib Presiden dan juga Setiausaha Agung PAS. Selain itu, Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Pusat tahun dan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor.

Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) oleh Kerajaan PAS Terengganu selepas Pilihan raya Umum kesepuluh tahun 1999 yang lalu.

Beliau dianggap arkitek kepada Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar dan rumah beliau juga adalah bersebelahan dengan markas yang menjadi pejabat PAS sejak sekian lama sebelum berpindah ke Jalan Raja Laut.

Semasa menggulung perbahasan ucapan dasar, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusof menyebut Ustaz Hassan adalah orang penting di belakang draf perlembagaan untuk memboleh tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Ini kerana, Ustaz Hassan adalah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal pindaan perlembagaan untuk membolehkan DHPP ditubuhkan. Jenazah Ustaz Hassan akan disembahyangkan jam 9.00 pagi esok (selasa) di Surau Taman Melewar. Al-Fatihah





Setiap Ahli PAS Diseru Untuk Memantapkan Akidah Perjuangan Dan Tarbiyah

11 06 2010

Pengkalan Chepa, 11 Jun    : Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, menyeru agar semua ahli parti disemua peringkat, untuk memantapkan akidah perjuangan dan tarbiyah mereka, mengilmukan diri, memahami fiqh siyasah, ikhlas, istiqamah dan sabar, memurnikan tindakan dan sakhsiah, menerusi pelbagai program yang akan diatur oleh Lajnah yang berkenaan dalam parti.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, Terengganu juga menyeru untuk setiap anggota parti, untukmenunjukkan teladan dan bertindak dengan penuh keadilan Islam, bergerak ke dalam masyarakat diserata ceruk lorong dan penempatan, bagi membawa syiar Islam yang syumul untuk menyelamatkan ummah dari kegelapan. Bawa dan pimpinlah mereka, didiklah dengan penuh hikmah, sehingga terbuktilah keadilan Islam yang menyeluruh itu kepada mad’u PAS.

Kepada semua peringkat ahli parti untuk menggerakkan cawangan, kawasan, dan negeri dengan berbagai pengisian serta aktivitinya, supaya akhirnya kehadiran PAS dalam masyarakat akan dapat dirasai peranannya. Penubuhan cawangan-cawangan baru, bersama kepimpinannya yang memiliki iltizam yang tinggi, haruslah menjadi keutamaan setiap kawasan PAS dalam negara kita ini.

Beliau berkata demikian sewaktu sewaktu menyampaikan Ucapan Dasar Presiden PAS dalam Muktamar Tahunan PAS kali ke-56 yang berlangsung di Pusat Tarbiyyah Islamiyah Kelantan (PUTIK)