Cuti bersalin 90 hari untuk kakitangan Awam : Kerajaan Umno/ Bn tiru langkah Kerajaan Negeri Kelantan

23 05 2010

Tanjong Karang, 23 Mei  :  Langkah kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Negeri Kelantan yang ditadbir oleh PAS untuk memberikan cuti bersalin selama 90 hari kepada Kakitangan Awam di negeri tersebut, sebagaimana diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri Kelantan, Hajjah Wan Ubaidah Wan Omar mendapat pujian daripada pelbagai pihak.

Sekaligus langkah tersebut sekali lagi bakal memberi tamparan hebat kepada Kerajaan Pusat yang ditadbir oleh Umno/ Bn. Sekali lagi, polisi daripada Kerajaan PAS Kelantan tersebut bakal diikuti oleh Kerajaan Pusat yang diterajui oleh Umno.

Didalam akhbar Mingguan Malaysia keluaran 23 Mei 2010, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri  Shahrizat Abd Jalil, berkata, kementerian tersebut sedang mengkaji untuk memberikan cuti bersalin selama 90 hari kepada kakitangan awam.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memerlukan tempoh selama dua bulan lagi untuk menyiapkan kajian terkini berhubung permohonan cuti bersalin 90 hari sebelum dibincang peringkat kabinet”, kata Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno Malaysia.

Berbanding di negeri Kelantan, perlaksanaan peraturan tersebut akan dilaksanakan mulai tahun hadapan (2011).

“Kertas cadangan itu telah diperincikan di peringkat jawatankuasa portfolio saya dan akan diangkat ke mesyuarat Exco minggu depan sebelum diluluskan,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, selepas mesyuarat Mingguan Exco, di Kota Darulnaim.

Beliau yang juga Bendahari Dewan Muslimat PAS (DMP) Pusat berkata, “Kita memikirkan usaha melanjutkan tempoh cuti bersalin itu perlu bagi menjaga kebajikan dan kepentingan golongan kakitangan yang berkhidmat dengan kerajaan negeri supaya dengan itu mereka dapat menjaga penyusuan anak dan keluarga dalam tempoh pantang itu,”

Langkah yang diambil kerajaan itu selaras dengan jawatankuasa yang dipengerusikannya untuk memartabatkan golongan wanita sebagai salah satu sayap penting dalam pembangunan Negara.

Sebelum ini, beberapa langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri Kelantan di bawah pentadbiran PAS turut diikuti diperingkat Pusat antaranya ialah, hari bekerja 5 hari seminggu, rumah kos rendah mempunyai sekurang-kurangnya 3 bilik dan sebagainya.


Tindakan

Information

Tinggalkan komen