Pertahankan kemenangan yang telah dicapai – Hajjah Wan Hasrina

2 05 2010

Salak Tinggi, 2 Mei : Ketua Dewan Muslimat PAS (DMP) Negeri Selangor, Hajjah Wan Hasrina Wan Hassan, berkata, Amanah yang diberikan oleh rakyat kepada Pakatan Rakyat (PR) perlu dimanfaatkan sebaiknya agar slogan Negeri Bekebajikan yang menjadi janji kita dahulu dapat dilaksanakan mengikut kemampuan dan dijayakan agar kita menjadi contoh yang dibanggakan.

Cubalah sedaya upaya menggembleng tenaga untuk membuka pintu bagi masyarakat yang mahu berhijrah kembali ke landasan perjuangan Islam yang sebenar dari fahaman sesat sekian lama berdarah daging di dalam tubuh masyarakat kita, katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucaptema Ketua DMP Negeri Selangor, sempena dengan Muktamar Tahunan DMP Negeri Selangor Kali ke-23 yang telah diadakan di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang dan telah dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, Haji Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Turut hadir dalam Majlis Perasmian tersebut ialah, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Ir Iskandar Abd Samad, yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Selangor, Yang Dipertua (YDP) PAS Sepang, Haji Makki, Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Negeri Selangor, Ustaz Hasbullah Ridhwan, Naib Ketua, Sany Hamzan dan Setiausaha DPP Negeri Selangor, Khairul Fahmi Mat Som.

Seterusnya beliau berkata, berkorban untuk mencapai kemenangan merupakan usaha yang sukar, mengisi kemenangan itu memerlukan perancangan rapi kerana ia lebih sukar namun mempertahankan kemenangan adalah jauh lebih sukar kerana kita seringkali dihimpit dengan fitnah dan kutukan pihak lawan yang sentiasa mencari dan mengorek kelemahan kita.

Namun, dalam menghadapi cabaran ini, kita mesti sentiasa istiqamah dalam menghadapi cabaran ini, kita sentiasa istiqamah di atas landasan perjuangan dan menolak secara total sebarang bentuk penyelewengan yang zahir mahupun yang tersembunyi, ujarnya lagi.

Beliau yang juga Ahli Majlis, Mahlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyeru supaya jentera muslimat menguatkan sendi-sendi dalaman bagi menghadapi cabaran dalam landasan perjuangan, terutamanya sendi hati agar jiwa kita terus hidup, lembut, bersih dan cekal.





Jasa pimpinan Muslimat PAS Tanjong Karang dihargai

2 05 2010

Salak Tinggi, 2 Mei : Jasa dan pengorbanan yang dibuat oleh jentera Muslimat PAS memang sangat besar dan penting terutamanya sebagai sayap kiri dalam organisasi parti serta ketika menghadapi Pilihanraya samaada umum ataupun kecil.

Sempena dengan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri (DMPN) Selangor kali ke-23 yang diadakan di Dewan Salak Tinggi, Sepang, yang dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, Haji Salahuddin Ayub, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan.

Bekas Pemangku Ketua Dewan Muslimat PAS (DMP) Kawasan Tanjong Karang, Ustazah Hajjah Siti Sabariah Hashim, yang juga Timbalan Ketua DMP Tanjong Karang dan Bekas Setiausaha DMPN Selangor, Halimatus Sakdiah Sulaiman, yang juga Timbalan Pengerusi Tetap DMP Tanjong Karang telah diberikan anugerah Jasamu Dikenang DMP Negeri Selangor.

Selain Tanjong Karang, beberapa Muslimat PAS Kawasan-kawasan di selangor turut diberikan anugerah yang sama.

Hadir sama di majlis perasmian ialah Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Negeri Selangor, Ustaz Hasbullah Ridhwan, Naib Ketua DPP Negeri Selangor, Sany Hamzan, Setiausaha DPP Negeri Selangor, Khairul Fahmi Mat Som, Setiausaha Dewan Ulama’ PAS Negeri Selangor, Ustaz Nor Najhan Salleh.