PAS diminta tarik sokongan Melayu – Haji Mohamad Sabu

8 05 2010

Sungai Terap, 8 Mei : Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, meminta PAS menumpukan perhatian kepada sokongan pengundi-pengundi Melayu terhadap PAS  bagi menghadapi Pilihanraya Umum akan datang. Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor baru-baru ini haruslah diambil berat oleh jentera PAS supaya pola pengundi melayu akan berubah seterusnya memberi kejayaan kepada PAS dalam Pilihanraya akan datang.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Tanjong Karang Kali ke-47 yang diadakan di Dewan Sungai Terap, Pasir Penambang, Tanjong Karang. Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Bekas Yang Dipertua (YDP) PAS Tanjong Karang, Ustaz Haji Musa Mohamad, Bekas ketua Urusan Ulama’ PAS Tanjong Karang, Ustaz Khairullah Junid.

YDP PAS Kuala Selangor, Haji Abd Rashid Muhd Kassim, merangkap Pemerhati Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor (BPPNS), Setiausaha PKR Cabang Tanjong Karang, Haji Yahya Mat Shaari, merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR Pusat, Pengerusi DAP Cawangan Tanjong Karang, Low Tan turut hadir pada majlis perasmian.

Sokongan dan kepercayaan pengundi Cina dan India terhadap PAS pada masa ini sangat tinggi terutamanya kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abd Aziz Nik Mat. Ini menunjukkan PAS semakin mendapat sokongan daripada kaum lain.

Beliau juga meminta ahli-ahli PAS mengumpulkan dana bagi menghadapi Pilihan Raya akan datang untuk mengekalkan Kerajaan Negeri Selangor dan seterusnya melangkah ke Putrajaya untuk menumbangkan Umno dan Bn.

 





Ahli PAS diseru memperkukuhkan kedudukan parti

8 05 2010

Sungai Terap, 8 Mei :  Yang Dipertua PAS (YDP) Tanjong Karang, Drs Mohd Rashdi Deraman berkata, Sepanjang dua tahun mentadbir negeri Selangor ini, saya rasa eloklah untuk kita sama-sama bermuhasabah pada hari ini untuk melihat sejauh mana peranan yang kita telah lakukan dalam memenuhi tuntutan parti dan kerajaan.

Ujarnya, apabila kita memperoleh kejayaan dalam pilihan raya, sebahagian besar tenaga dan  jentera   kita telah bertukar menjadi jentera kerajaan. Kita   akui bahawa, ahli-ahli PAS dengan sendirinya menjadi mata, telinga,  mulut dan tangan kerajaan. Kita sedar bahawa mesej dan dasar kerajaan tidak akan dapat disampaikan kepada rakyat tanpa bantuan kita semua.

Tetapi, katanya,  janganlah kita mengabaikan gerak kerja parti semata-mata kerana   memberi   tumpuan  kepada   pentadbiran   kerajaan. Peningkatan tugas ini terpaksa kita  hadapi  kerana  kita adalah parti pemerintah. Tetapi antara urusan kerajaan dan urusan parti mestilah bergerak serentak supaya kekuatan kedua-duanya dapat kita bina.

Tidak ada makna kita memiliki jentera kerajaan yang kuat, tetapi jentera parti yang lemah. Parti mestilah memiliki organisasi yang kukuh kerana mereka adalah penggerak jentera kerajaan dan menjadi nadi dalam menghadapi musuh semasa pilihan raya.

Saya ingin mempertegaskan bahawa walaupun kita sudah mempunyai jentera kerajaan di semua peringkat di negeri yang kita memerintah, tetapi tidak bermakna kita boleh mengabaikan gerak kerja parti. Mesyuarat-mesyuarat parti di semua peringkat mestilah diteruskan, bahkan lebih kerap daripada biasa.   Dalam masa yang sama kita mesti pastikan organisasi parti terus bergerak dengan cekap dan berkesan.





Mesyuarat Agung Tahunan PAS Tanjong Karang Kali Ke-47

8 05 2010

Sungai Terap, 8 Mei : Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Tanjong Karang Kali Ke-47 telah dirasmikan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu di Dewan Sungai Terap, Batu 2 Pasir Penambang, Tanjong Karang.

Majlis Perasmikan Mesyuarat Agung Tahunan dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran diikuti dengan nyanyian Lagu Tema PAS oleh seluruh pimpinan dan perwakilan PAS Cawangan-cawangan. Seterusnya ialah ucapan, Setiausaha PAS Tanjong Karang, Nor Az Azlan Ahmad, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Panitia Mesyuarat Agung PAS Tanjong Karang. Ucapan aluan pula oleh Yang Dipertua PAS (YDP) PAS Tanjong Karang, Drs Mohd Rashdi Deraman.

Walaubagaimanapun ucapan perasmian dilakukan lewat disebabkan Haji Mohamad Sabu, tidak dapat hadir pada waktu pagi kerana beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan.

Dalam Mesyuarat Agung Tersebut, PAS Tanjong Karang turut menganugerahkan kepada 10 orang aktivis veteran PAS Tanjong Karang dengan anugerah “Tokoh Jasamu Dikenang 2010” kepada Bekas Setiausaha PAS Tanjong Karang, Haji Mohd Saad Ibrahim, Bekas Ketua Urusan Ulama’ PAS Tanjong Karang, Ustaz Khairullah Junid, AJK PAS Cawangan Kampong Dato’ Manan, Haji Sukim Arshad, Bekas Ketua Penaja PAS Cawangan Batu 9 Kampong Tengah, Haji Ithnain Salleh.

Turut dianugerahkan ialah, AJK PAS Cawangan Sungai Terap, Haji Apandi Misani, Pengerusi Tetap PAS Tanjong Karang, Haji Kamaruddin Morni, Bekas AJK PAS Cawangan Permatang, Wan Chik.

Manakala Muslimat PAS Tanjong Karang yang dinobatkan sebagai Tokoh Jasamu Dikenang 2010 ialah Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Muslimat PAS (DMP) Tanjong Karang, Halimatus Sakdiah Sulaiman, AJK DMP Tanjong Karang, Hajjah Salimah Sokami dan Bekas Ketua Jawatankuasa Muslimat PAS Cawangan (JMC) Sungai Terap, Ustazah Hajjah Musripah Kasan Ali.

Turut hadir dalam majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Tanjong Karang ialah YDP PAS Kuala Selangor, Haji Abd Rashid Muhd Kassim yang juga Pemerhati Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor (BPPNS), Setiausaha Cabang PKR Tanjong Karang, Haji Yahya Mat Shaari, yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Pusat dan Wakil DAP, Low Tan.