Sukarelawan Malaysia Selamat Dari Bedilan Zionis Israel, Kapal Ditawan

31 05 2010

Kuala Lumpur, 31 Mei : Sukarelawan Yayasan Amal Malaysia (YAM), Haji Jamuliddin Elias,  baru sahaja menghantar maklumat melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang memaklumkan beliau dan beberapa sukarelawan Malaysia yang berada di dalam kapal Marvi Marmara dalam misi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza yang telah diserang kapal perang Israel, berada dalam keadaan yang selamat.

Namun beliau memaklumkan, seramai 12 orang telah syahid akibat daripada bedilan regim zionis tersebut, manakala seramai 30 orang lebih cedera parah. Manakala kapal yang mereka naiki telah ditawan oleh tentera zionis Israel.

Jamuliddin yang juga Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Klang (MPK) juga meminta seluruh Umat Islam menunaikan Solat Hajat supaya Allah menyelamatkan seluruh umat Islam yang berada di Gaza.

Selain Yayasan Amal Malaysia (YAM) yang berada dalam kapal tersebut, sukarelawan lain yang turut berada di dalam kapal tersebut ialah Yayasan Amal, HALUAN Palestin, Muslim Care dan Pemuda Masjid. Manakala 2 lagi adalah wartawan.





PAS kutuk Israel dan Minta Umat Islam Solat Hajat

31 05 2010

Kuala Lumpur, 31 Mei    : Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, berkata, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengutuk serangan helikopter tentera Israel yang menyebab 16 orang anggota konvoi Gaza-Freedom Flotilla yang menaiki kapal Mavi Marmara  meninggal dunia dan hampir 30 orang cedera. Rakyat Malaysia antara yang dilaporkan terkorban dalam serangan Barbarian ini.

“Konvoi bantuan untuk rakyat Gaza yang mengandungi 7 buah kapal ini telah memulakan perjalanan dari Laut Mediterranean tetapi mula dikepung oleh tentera Israel dan setakat ini hanya Kapal Mavi Marmara sahaja yang melaporkan diserang. Kapal-kapal ini turut membawa ahli-ahli parlimen dari Malaysia, Eropah dan beberapa negara lain dan mereka kini berdepan dengan serang-serang yang lebih berat dari regim Israel”

PAS juga meminta supaya rakyat dinegara ini melakukan solat hajat dan Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan anggota konvoi ini dan rakyat Palestine. Semua masjid dan surau diminta mengadakan majlis solat hajat besar-besaran minggu ini dan satu demontrasi besar bersama NGO dan penyokong soladariti Palestine akan diadakan pada 4 Jun 2010 (Jumaat) dihadapan keduataan Amerika selepas solat Jumaat, katanya lagi

Sementara itu Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, berkata, PAS mendesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Negara-negara Persidangan Islam (OIC) segera bertindak terhadap serangan tentera Israel ke atas Konvoi Bantuan Antarabangsa Gaza, pagi ini.

Sehingga kini, dilaporkan 16 aktivis kemanusiaan yang berada di atas kapal berkenaan meninggal dunia yang turut disertai wakil Malaysia.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, PAS kesal dan mengutuk serangan ke atas aktivis kemanusiaan ini sambil menyifatkan ianya sebagai satu lagi kekejaman Israel.

“Kita mahu Malaysia selaku negara anggota OIC segera mencadangkan sidang tergempar bagi menyatakan pendirian dalam isu ini”, katanya lagi





Wakil Yayasan Amal antara yang berada di dalam kapal yang diserang Israel

31 05 2010

Gaza, 31 Mei    : Wakil Yayasan Amal, Jamuliddin Elias, adalah antara rakyat Malaysia yang berada di dalam kapal Marvi Marmara dalam misi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza diserang kapal perang Israel.

Setakat ini seramai 16 orang telah syahid. Seramai 8 rakyat Malaysia yang menyertai misi tersebut ialah 6 sukarelawan daripada Yayasan Amal, HALUAN Palestin, Muslim Care dan Pemuda Masjid. Manakala 2 lagi adalah wartawan.

Menurut sumber yang diterima, kapal-kapal telah diarahkan berlabuh di pelabuhan Haifa untuk dipenjarakan. Semua Umat Islam diminta menunaikan solat hajat supaya Allah mengahncurkan regim Israel.

Sementara itu menurut sumber dari The Star, rakyat Malaysia itu adalah krew televisyen dari Astro yang menaiki kapal dari Turki.

Manakala menurut AFP yang memetik laporan televisyen yang dimiliki Hamas, anggota komando Israel menyerbu sekurang-kurangnya sebuah kapal yang didakwa dipenuhi aktivis pro-Palestin yang berjuang untuk Gaza.

Televisyen Al-Aqsa Gaza, menunjukkan imej video komando Israel yang berpakaian serba hitam turun daripada helikopter dan bertempur dengan kumpulan aktivis, di mana beberapa yang cedera kelihatan terbaring di atas dek kapal itu.

Rangkaian televisyen berkenaan berkata, dua aktivis terbunuh manakala 50 yang lain cedera.

Tentera Israel enggan mengulas laporan itu dan penganjur konvoi bantuan berkata, mereka terputus hubungan dengan bot berkenaan.

Kapal itu membawa lebih 700 penumpang, iaitu peringkat terakhir misi berprofil tinggi bagi menghantar lebih 10,000 tan bekalan bangunan dan yang lain ke Gaza, di mana keadaan di situ lumpuh akibat sekatan Israel sejak 2007.





PAS berjaya dekati pengundi cina dan India selepas bersama Pakatan Rakyat

31 05 2010

Sepang, 30 Mei        : Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana kekal memelihara PAS bersama-sama dengan Pakatan Rakyat (PR) untuk menggantikan Umno dan Barisan Nasinonal (Bn) pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

“Mahu tak mahu, Allah dah siapkan kita bersama DAP dan PKR untuk kita (PAS) sebut tentang Islam untuk ganti Umno. Alhamdulillah, sekarang ini PAS sudah bersama Pakatan (Rakyat) dan tolak (usaha) perpaduan (PAS) dengan Umno,” jelas beliau tengah hari tadi ketika merasmikan Masjlis Pecah Tanah Kompleks PAS di Paya Indah Wetland, di sini.

Disebabkan itu, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, PAS seharusnya terus mendekati masyarakat bukan Islam dari kalangan kaum Cina dan India untuk menghadapi Umno, selain memperkukuh hubungannya dengan masyarakat Islam berbangsa Melayu.

“Yang lawan kita ini bukannya orang Cina, orang India bukan Islam, yang lawan kita ini dalam pilihan raya nanti orang Melayu (Umno). Sebab ini, dalam pilihan raya nanti yang lawan PAS bukannya orang Cina, tetapi orang Islam sendiri (Umno),” tegasnya lagi.

Sebelum pada itu Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi mewakili kepemimpinan PAS Pusat merakamkan penghargaan kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana sudi merasmikan masjlis pecah tanah tersebut.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut menyeru seluruh rakyat khususnya ahli-ahli PAS supaya berlumba-lumba berwakaf harta untuk membina kompleks PAS sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan Saidina Abu Bakar as-Siddiq dengan membeli sebidang tanah untuk didirikan Masjid Nabawi di Madinah.

Turut bercakap di pentas yang sama, Datuk Husam Musa selaku Pengarah Jawatankuasa Pembinaan Kompleks PAS.





Mursyidul Am PAS rasmikan projek pecah Tanah Kompleks PAS

31 05 2010

Sepang, 30 Mei    : PAS sekali lagi mengorak langkah kehadapan apabila terbinanya Kompleks PAS Pusat yang terletak di Sungai Merab Dalam, Dengkel di Negeri Selangor. Kompleks PAS yang akan didirikan diatas tanah seluas 17 ekar itu bakal menjadi Pusat Latihan apabila siap kelak dan menelan belanja sebantak 27 Juta.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah merasmikan Tabung Pembinaan Kompleks PAS di sebuah hotel pada 18 Mei 2009 yang lalu. Manakala Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abd Aziz Nik Mat, telah melakukan upacara pecah tanah pada 20 Mei 2010.

Apabila siap, kompleks ini bakal mempunyai sebuah dewan persidanngan yang boleh memuatkan 8000 orang di samping pusat latihan modern serba lengkap di samping kawasan perniagaan dan perumahan.

Antara pimpinan PAS yang hadir semasa perasmian pecah tanah kompleks berkenaan ialah, Naib Presiden PAS, Sallahuddin Ayub, Ketua Dewan Muslimat PAS (DMP) Pusat, Ustazah Hajjah Nuridah Mohd Salleh, Setiausaha Agung, Dato’ Haji Mustapa Ali, Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Dato’ Abd Halim Abd Rahman, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Haji Husam Musa, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks PAS, Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali, yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dr Hajjah Siti Mariah Mahmud, Dr Dzulkifli Ahmad dan Ustaz Abd Ghani Abd Rahman.

Manakala pimpinan PAS Negeri Selangor pula ialah, Timbalan Pesuruhjaya, Dr Osman Sabran, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri, Khairuddin Othman, Ketua DMP Negeri, Hajjah Wan Hasrina Wan Hassan ahli-ahli Badan Perhubungan PAS Negeri dan Ahli-ahli Jawatankuasa Harian PAS Kawasan-kawasan seluruh Negeri Selangor.





Aktivis PAS Tanjong Karang meninggal dunia

31 05 2010

Sungai Sireh, 30 Mei    : Aktivis PAS Tanjong Karang, Haji Abd Hamid Othman, 68, yang mengidap penyakit TB otak sejak beberapa bulan yang lalu telah meninggal dunia jam 1.00 pagi, dirumahnya, yang terletak di Lorong 6 Sungai Sireh, Tanjong Karang

Allahyarham dilahirkan pada tanggal 14 Mac 1942 di Bagan Serai, Perak dan merupakan anak tunggal. Allahyarham telah meninggalkan seorang balu, Hajjah Arbainah Binti Haji Basri, yang juga merupakan aktivis Muslimat PAS Cawangan. 7 orang cahayamata berusia 13 tahun hingga 38 tahun.

Mula menyertai PAS pada tahun 1970 di Cawangan Parit 2 Sungai Sireh. Pada tahun 1987, Haji Hamid telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Cawangan Parit 1 Sungai Sireh. Manakala pada tahun 2005 telah diamanahkan sebagai Ketua PAS Cawangan Lorong 2 Parit 1 sehingga tahun 2009.

Sepanjang terlibat dengan PAS, Allahyarham adalah merupakan seorang aktivis PAS yang “low profile” serta istiqamah didalam perjuangan Islam. Ini terbukti apabila selama lebih 15 tahun rumahnya dijadikan sebagai tempat pengajian anjuran cawangannya. Selain itu rumahnya juga dijadiakan sebagai tempat untuk melaksanakan beberapa program parti di Sungai Sireh.

Dan jasa besar yang beliau tinggalkan dan akan dikenang sepanjang masa ialah Allahyarham adalah merupakan salah seorang pengasas Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Al-Arif Sungai Sireh dan telah banyak membantu PASTI berkenaan sehingga keakhir hayatnya.

Selain itu, Allahyarham juga  merupakan pengasas kepada Masjid At-Tuqo Sungai Sireh, diawal penubuhannya. Allahyarham ketika itu telah memohon sumbangan orang ramai bagi membina masjid tersebut setiap minggu di masjid-masjid seluruh Selangor dan Perak.

Jenazah Allahyarham telah disembahyanglan dirumahnya dan diimamkan sendiri oleh anaknya, Shahrizal. Jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lorong 7 Sungai Sireh.

Kini ini Allahyarham telah pergi mengadap penciptanya, dengan meninggalkan seribu satu perjuangan yang patut dijadikan sebagai panduan generasi muda untuk masa hadapan. Sesungguhnya pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada PAS Kawasan Tanjong Karang khususnya di Sungai Sireh.

Antara pimpinan PAS yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada beliau ialah Bendahari PAS Tanjong Karang, Haji Abu Hasan Amat, Bendahari Dewan Pemuda PAS (DPP) Tanjong Karang, Muhamad Abd Majid selain ahli-ahli PAS kawasan Tanjong Karang. Al-Fatihah.