Pakatan Rakyat berjaya rampas kerusi Parlimen Sibu

16 05 2010

Sibu, 16 Mei : Pakatan Rakyat (PR) telah berjaya merampas kerusi Parlimen Sibu melalui calonnya daripada DAP, Wong Ho Leng, dengan majoriti 398 undi daripada calon Barisan Nasional (Bn).

Calon DAP, Wong Ho Leng, memperolehi, 18, 845 undi berbanding calon Bn, Robert Lau Hui Yew, yang meraih sebanyak, 18,447. Manakala calon bebas, Narawi Haron hanya mampu meraih 232 undi.

Keputusan tersebut telah diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya Wong See Meng, pada jam 10.57 malam tadi di Dewan Suarah di sini.

Seramai 32,742 atau 59.86 peratus daripada 54,695 pemilih berdaftar keluar mengundi hari ini.  Bilangan itu lebih rendah berbanding 36,379 atau 67.77 peratus daripada 53,679 pemilih berdaftar yang keluar mengundi pada pilihan raya umum lalu.

Kejayaan PR memenangi kerusi Parlimen Sibu juga menunjukkan rakyat Sarawak juga sudah semakin bosan dengan corak pentadbiran Bn khususnya di Sarawak yang diketuai oleh Ketua Menterinya, Tan Sri Abu Taib Mahmud. Kemenangan ini juga menebus maruah PR yang telah tewas di dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor kira-kira tiga minggu yang lalu.

Ini juga menunjukkan rakyat masih tidak menerima kepimpinan Bn yang diterajui oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak, walaupun seperti kebiasaanya, mereka telah menggunakan segala jentera kerajaan yang ada bagi membantu memenangkan calon mereka di Sibu.