Langkah Menghalalkan judi Mengundang Kemurkaan Allah

27 05 2010

Kuala Lumpur, 27 Mei    : Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, berkata, Judi adalah jelas hukumnya disisi Islam. Allah SWT telah mengharamkan judi melalui firman-Nya di dalam Surah Al Maidah, Ayat 90;  Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan Syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.”

Begitu juga surah Al-Baqarah, ayat 219 yang bermaksudnya : “Mereka bertanya kepadamu tentang arak dan judi. Katakanlah: “”Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat kecil bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya”

Langkah kerajaan Malaysia yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Senator Dato’ Dr. Awang Adek yang memberi lesen perjudian bolasepak kepada Kumpulan Berjaya baru-baru ini adalah satu langkah yang tidak sesuai sama sekali dengan kehendak iman dan akal kita, katanya yang juga Ahli Parlimen Bachok, Kelantan.

Menurutnya lagi, Saya percaya kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak ingin melihat kemakmuran kehidupan rakyat dan ingin melihat keberkatan di dalam pentadbirannya. Saya berharap dan berdoa kepada Allah SWT supaya beliau sedar bahawa dengan langkah kerajaan menghalalkan perjudian bolasepak tersebut, tidak akan bertambah kemakmuran dan keberkatan sebaliknya kemurkaan Allah dan dosa yang bakal diperolehi.

Bagi negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat, saya percaya tidak akan ada lesen premis perjudian baru yang akan diluluskan. Malahan kita akan berusaha sekiranya dibenarkan oleh undang-undang untuk menyekat perlaksanaan aktiviti perjudian bolasepak ini di negeri-negeri yang diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat, katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Majlis Syura Ulama’ PAS Pusat juga berkata, kita akan meneruskan agenda penerangan terhadap masyarakat mengenai kemudaratan dan keharaman aktiviti perjudian.  Kita juga akan terus menerus menyuarakan bantahan terhadap langkah terbaru kerajaan tersebut dan akan terus mendesak supaya ianya dibatalkan serta merta demi maslahat rakyat dan negara.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Pusat, Ustaz Nasharuddin Hasan Tantawi, menggesa agar Badan Bukan Kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dan Pergerakan PEMUDA UMNO agar menyatakan pendirian mereka apabila Kerajaan Malaysia baru-baru ini meng’halal’kan judi dengan mengeluarkan lesen untuk berjudi sempena Bola Sepak Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung di Afrika Selatan pada bulan depan.

Ini kerana, katanya,  jika dilihat kepada tindak tanduk mereka sebelum ini berkaitan kes-kes yang melibatkan agama dan akidah, mereka begitu kedepan yang mana kononnya mereka pejuang agama yang sejati. Ketika kempen Pilihan Raya Kecil P094 (PRK P094), PEMUDA UMNO begitu konsisten dalam memperkatakan tentang arak,judi dan akhlak dengan menyerang peribadi calon yang mewakili Pakatan Rakyat (PR) iaitu Dato’ Zaid Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Begitu juga di dalam kes yang melibatkan penggunaan kalimah ‘ALLAH’ oleh orang bukan Islam, Presiden PERKASA, Dato’ Ibrahim Ali yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas dengan lantang menyatakan pendirian yang hanya orang Islam sahaja yang boleh menggunakan kalimah tersebut sehingga sanggup menulis surat kepada Pope di Vatican City, ujarnya lagi.

Beliau juga menyatakan bahawa PAS dan PKR tidak tegas di dalam hal ini hanya kerana hendak menjaga ‘sahabat’ di dalam PR. Pemuda UMNO juga tidak kurang hebatnya dengan melancarkan demonstrasi jalanan di beberapa tempat. Jadi persoalannya, mengapa dalam isu judi ini, mereka hanya berdiam diri? Apakah judi itu bukan satu dosa? Bukankah judi itu haram disisi agama? Atau benarkah judi sebenarnya merupakan sumber pendapatan bagi mereka?

Oleh itu DPPP mencabar PERKASA dan Pemuda UMNO agar menyatakan pendirian mereka berkaitan lesen judi ini. Jika tidak, inilah wajah sebenar mereka yang hanya menggunakan agama hanya untuk kepentingan politik dan meraih undi bagi meneruskan perjuangan poliotik sempit mereka. Dan bolehlah dikatakan laungan mereka sebelum ini untuk mempertahankan agama di dalam negara ini hanyalah retorik semata-mata

Bagi Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS (DMP) Pusat, Ustazah Hajjah Siti Zailah Mohd Yussof, pula, kerajaan perlu mendengar nasihat bekas Perdana Menteri supaya mendengar suara rakyat pelbagai lapisan masyarakat sebelum melaksanakannya.

“Bantahan terhadap lesen judi ini bukan retorik semata-mata sebagaimana yang didakwa pihak tertentu sebaliknya ia mengenai soal agama dan tanggungjawab umat Islam. Pemimpin Malaysia yang pernah mendakwa negara ini sebagai sebuah negara Islam seharusnya sejak awal lagi tidak bercadang mengadakan lesen judi, apa lagi untuk meluluskannya,”ujarnya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang

Tegas Zailah lagi, judi bola sepak bukan sahaja dibantah oleh umat Islam, sebaliknya bukan Islam juga. Sehubungan dengan itu semua rakyat negara ini yang perihatin supaya turut turun membantah lesen judi yang diadakan di tempat berhampiran.