Nisa’ dan DPP Tanjong Karang raikan guru PASTI

28 05 2010

Jeram, 28 Mei : Bagi menghargai jasa dan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi yang telah dicurahkan oleh guru-guru PASTI  terhadap pelajar-pelajar yang akan menjadi pemimpin pada masa hadapan, Nisa’ Tanjong Karang dan Dewan Pemuda PAS (DPP) Tanjong Karang telah meraikan  mereka dalam satu majlis sempena dengan Hari Guru yang diadakan di Medan Ikan Bakar, Jeram Selangor.

Majlis yang berlangsung selama 3 jam tersebut bermula jam 3.00 petang sehingga jam 5.30 petang. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi PASTI Tanjong Karang, Jassul Akhbar Jubri, Naib Ketua DPP Kawasan, Abd Malek Abdul Majid dan Pengerusi Majlis Guru PASTI (MGP) Tanjong Karang, Ruhayana Chamsari. Timbalan Yang Dipertua (YDP) PAS Tanjong Karang, Ustaz Mohd Judi Sarjo, yang juga Ahli Majlis, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) pula telah merasmkikan program tersebut.

Majlis yang julung-julung kalinya diadakan bagi meraikan guru-guru PASTI tersebut telah mendapat sambutan yang menggalakkan dikalangan pimpinan PAS Tanjong Karang dan AJK DPP dan DMP Tanjong Karang.

Dalam majlis tersebut guru-guru PASTI telah diberikan cenderamata yang disumbangkan oleh Nisa’ Tanjong Karang dan PASTI Tanjong Karang. Diakhir program, tetamu dan guru-guru PASTI disajikan dengan jamuan ikan bakar sambil mendengar “celoteh” yang sampaikan oleh Ketua Nisa’ Tanjong Karang, Norsidah Samat, yang juga AJK PAS Tanjong Karang dan Pengarah Pilihanraya DPP Tanjong Karang, Muhd Jafaruddin Sheikh Daud. Turut diadakan ialah cabutan bertuah, sebanyak 20 cenderamata berbentuk hamper telah disediakan oleh pihak penganjur.

Antara pimpinan PAS yang turut hadir ialah Naib YDP PAS Tanjong Karang, Haji Misran Serman, yang juga Ahli Majlis MDKS, Ketua DMP Tanjong Karang, Ustazah Hajjah Jamiyah Yussuf, Penolong Setiausaha 1 PAS Tanjong Karang, Mohd Faizal Mohd Barja, yang juga Setiausaha DPP Tanjong Karang, Penolong Setiausaha 3 PAS Tanjong Karang, Norhidayah Parmin, yang juga Setiausaha DMP Tanjong Karang, Bendahari PAS Tanjong Karang, Haji Abu Hasan Amat dan AJK-AJK PAS Tanjong Karang, Ab Rahman Bujang, Sheikh Daud Md Maidin, Haji Mohd Saad Bakar dan Ustazah Hajjah Asmah Ahmad.

AJK-AJK DMP Tanjong Karang dan Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK) PAS Tanjong Karang turut hadir meraikan guru-guru PASTI Tanjong Karang.





DPP Tanjong Karang anjur Himpunan Aman membantah kelulusan Lesen Judi Bola

28 05 2010

Tanjong Karang, 28 Mei : Bagi melahirkan perasaan tidak puas hati umat Islam terhadap langkah Kerajaan Barisan Nasional (Bn) yang telah meluluskan Lesen Judi Bola sempena Kejohanan bola sepak piala dunia 2010 di Parlimen, Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjong Karang hari ini telah mengadakan Himpunan Aman Membantah langkah Kerajaan Bn tersebut, selepas Solat Jumaat di Masjid Ar-Raudhah Tanjong Karang.

Judi adalah haram disisi Islam, walaupun ianya di halalkan oleh Kerajaan Bn, oleh itu setiap Umat Islam mestilah bersama-sama membantah langkah kerajaan Bn yang telah mehalalkan perjudian bola sepak, kata Timbalan Ketua DPP Tanjong Karang, Ustaz Mohd Adzim Basri Al-Hafiz, yang juga Imam 2 Masjid Ar-Raudhah Tanjong Karang.

Beliau juga menyeru supaya Umat Islam sedar dan insaf dengan pelbagai gejala sosial yang sedang melanda Umat Islam pada masa kini. Oleh itu, jangan lagi  ditambah masalah sosial yang boleh membawa keruntuhan akhlak kepada Umat Islam pada masa kini dengan meluluskan Lesen Judi Bola, katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua PAS (YDP) Tanjong Karang, Ustaz Mohd Judi Sarjo, berkata, Di malaysia sekarang telah banyak masalah sosial yang berlaku seperti pembuangan bayi, penderaan dan sebagainya yang amat membimbangkan Umat Islam. Jika masalah ini terus berlarutan ia akan mengundang kemurkaan Allah dan apa yang dibimbangi ialah azab dan bala akan diturunkan oleh Allah s.w.t.

Oleh yang demikian langkah Kerajaan Bn menghalalkan pemberian lesen judi bola sempena kejohanan bola sepak piala dunia dibimbangi akan menambahkan lagi kemurkaan Allah s.w.t. Umat Islam mesti bersatu dan mengenepikan fahaman politik untuk sama-sama mempertahankan hukum-hukum Islam. Bukan hanya mempertahankan kalimah Allah tetapi hukum Allah yang jelas telah haram cuba dihalalkan oleh kerajaan Bn, ujarnya lagi yang juga Ahli Majlis, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

Himpunan Aman yang julung-julung kalinya diadakan tersebut telah mendapat sambutan di kalangan Umat Islam sebaik sahaja selesai solat jumaat. DPP Tanjong Karang turut mengedarkan risalah Anti Judi bagi menyedarkan Umat Islam tentang perkara tersebut. Pengarah Pilihanraya DPP Tanjong Karang, Muhd Jafaruddin Sheikh Daud, telah bertindak sebagai Pengerusi Majlis dalam program tersebut.

Antara Pimpinan PAS yang turut hadir ialah, Ahli Jawatankuasa (AJK) DPP Negeri Selangor, Mohd Faizal Mohd Barja, yang juga Setiausaha DPP Tanjong Karang, Penolong Setiausaha 2 PAS Tanjong Karang, Othman Ngah, Bendahari PAS Tanjong Karang, Haji Abu Hasan Amat, Ahli-ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan, Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK) PAS Tanjong Karang.





Pelbagai Pihak Terus Menolak Amalan Judi

28 05 2010

Pulau Pinang, 28 Mei : Pelbagai pihak terus menolak kelulusan judi untuk dihalalkan secara berlesen sebagaimana yang telah dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional (Bn). Di Pulau Pinang, Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil keputusan menolak permohonan Ascot Sport Sdn Bhd bagi lesen premis perjudian setelah menimbangkan keburukan dan akibat daripada kegiatan itu terhadap masyarakat.

keputusan itu dibuat selepas mengadakan mesyuarat dengan semua Exco kerajaan negeri dan mengikut Seksyen 101(v) Akta Kerajaan Tempatan yang meliputi isu berhubung kesihatan, keselamatan dan keselesaan, katanya yang juga Setiausaha Agung DAP.

“Sudah cukup premis perjudian yang ada di negeri ini mereka mahu mengadakan hampir 12 kali cabutan dalam seminggu ini akan akibatkan kemusnahan kekeluargaan dan memberi impak negatif kepada golongan remaja ” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Lim berkata Majlis Perbandaran Pulau Pinang MPPP dan Majlis Perbandaran Seberang Jaya MPSP telah diarah membekukan lesen premis pertaruhan yang menawarkan judi sukan “Keputusan ini juga untuk mempromosikan kehidupan masyarakat yang lebih sihat ” katanya.

Di negeri Selangor, Kerajaan Negeri Selangor telah membuat keputusan tidak membenarkan premis-premis miliknya terus digunakan untuk aktiviti perjudian setelah lesen premis berkenaan tamat, mesyuarat Exco telah membuat keputusan tersebut, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr Hasan Mohd Ali

“Premis milik kerajaan negeri di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak akan dikembangkan untuk aktiviti perjudian apabila lesennya tamat. (Mesyuarat) EXCO buat keputusan tidak (akan) membenarkan premis-premis kita yang tamat lesen kembangkan aktiviti judi” katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Hajjah Halimah Ali, berkata, Adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri Selangor menjadikan Selangor negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan, antara teras utama ialah memacu pembangunan modal insan.

Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berusaha untuk melahirkan modal insan yang berkualiti sebagai penjana pembangunan lestari dan rabbani. Dalam masa yang sama, pelbagai program mitigasi ‘insan liabiliti’ yakni kategori insan yang terjebak dalam aktiviti penagihan dadah, mencuri, merompak, menyamun, merasuah, merogol, merosak harta benda, gian arak dan lain-lain, termasuk judi, disusun untuk meminimakan kerugian kepada masyarakat, katanya yang juha Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Muslimat PAS (DMP) Pusat juga berkata, Sekiranya kerajaan Malaysia mengambil keputusan mengiktiraf perjudian dengan memberi lesen kepada syarikat gergasi judi maka ini akan memberi petunjuk yang teramat negatif dan membimbangkan khususnya generasi muda.

Kerajaan Malaysia yang memperakui perkara mungkar ini akan menjadi ibarat pepatah ‘guru kencing berdiri anak murid kencing berlari’. Maka, saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Sosial Kerajaan Selangor dengan ini meminta kerajaan Malaysia menarik balik kelulusan lesen judi Piala Bola kepada Syarikat Berjaya serta merta, katanya lagi yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Selat Klang