17 08 2012





Sekolah Agama Rakyat (SAR) Musnah Akibat Kebakaran

17 08 2012

Parit 3 Ban 4 ½, 17 Ogo    : Dipercayai akibat litar pintas, dengan sekelip mata bangunan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Khalifah Abd Khalip musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 10.15 pagi.

Dalam masa 10 minit sahaja bangunan sekolah berkenaan telah musnah dijilat api, sebelum bomba tiba kira-kira jam 10.30 pagi untuk memadamkan kebakara. Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada litar pintas berhampiran meter utama bangunan sekolah berkenaan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, manakala kerugian dianggarkan sebanyak RM150,000.00

SAR Khalifah Abd Khalip ditubuhkan kira-kira 10 tahun yang lalu oleh pesara guru, Haji Harith Fadzilah Bin Khalip. Bangunan sekolah berkenaan yang turut menempatkan asrama lelaki dan perempuan turut dilengkapi dengan kemudahan surau untuk pelajar dan orang ramai menunaikan solat.

SAR berkenaan didirikan di atas tanah tapak beliau yang telah diwakafkan untuk bangunan sekolah berkenaan. Sekolah berkenaan pernah mendapat gran daripada Kerajaan Negeri Selangor melalui Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Dr Hajjah Halimah Ali, beberapa tahun yang lalu.

Dengan peruntukan tersebut, pihak pengurusan sekolah telah membuat penambahbaikan untuk keselesaan pelajar di sekolah berkenaan. Manakala pada akhir tahun lalu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Seri Abd Khalid Ibrahim, turut berkesempatan melawat sekolah berkenaan sempena dengan lawatan sehari ke Daerah Kuala Selangor.

Hadir membuat lawatan ke sekolah berkenaan ialah Pegawai Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sungai Burong, Ustaz Mohamad Judi Sarjo , Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Kawasan, Abd Malek Abdul Majid, Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berhampiran, Mad Janal Nawawi, Musa Hussein, Md Yatim Mohd Said dan Saifuddin Ismail.