Dewan Muslimat PAS Selangor Beli Bangunan Umno

25 10 2011

Shah Alam, 24 Okt    : Buat pertama kalinya dalam sejarah di negeri Selangor, Dewan Muslimat PAS Negeri (DMPN) Selangor telah berjaya membeli sebuah bangunan yang terletak di Seksyen 10 Shah Alam yang bernilai RM590,000 setelah berjaya dalam proses lelongan oleh pihak bank.

Apa yang menjadi sejarah ialah, bangunan tersebut adalah milik bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Klang dan pernah dijadikan sebagai Bilik Gerakan Bn semasa dalam pilihanraya Umum ke-11 tahun 2004 yang lalu. Difahamkan juga bangunan tersebut pernah digunakan sebagai Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Kota Anggerik daripada Umno.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, telah merasmikan bangunan tersebut dalam program makan malam sempena perasmian bangunan berkenaan yang turut bertujuan untuk mengutip dana bagi melangsaikan bayaran hutang kepada beberapa individu yang telah bermurah hati untuk meminjamkan wang simpanan mereka semata-mata untuk merealisasikan hasrat bagi memiliki bangunan tersebut.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di dalam ucapannya berkata, peranan Muslimat dalam gerak kerja parti memang tidak boleh dinafikan lagi. Muslimat adalah tenaga penting setiap kali berlakunya pilihanraya.

Bahkan katanya, dalam sejarah Islam, Sumayyah adalah merupakan seorang wanita Islam yang mula-mula dipilih oleh Allah untuk gugur syahid semata-semata mempertahankan aqiadahnya sebagai seorang Islam.

Sementara itu, Ketua DMPN Selangor, Hajjah Wan Hasrina Wan Hassan, berkata, selepas PRU-2008 yang lalu DMPN Selangor memang telah merancang untuk membeli dan memiliki bangunannya sendiri. Justeru itu DMPN Selangor telah mula mengorak langkah mengutip dana daripada setiap kawasan bagi merealisasikan hasrat dan cita-cita tersebut.

Alhamdulillah, katanya, hasrat tersebut telah tercapai dalam jangka masa yang singkat hasil daripada kerja keras pihak Jawatankuasa Pengurusan bangunan dan para dermawan yang telah sudi menghulurkan sumbangan untuk membeli bangunan ini.

Hadir sama dalam perasmian bangunan tersebut ialah, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Dr Hajjah Siti Mariah Mahmud, yang juga Timbalan Ketua DMP Pusat dan Ahli Parlimen Kota Raja, Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dr Abd Rani Osman, Bendahari PAS Selanghor, Haji Izham Hashim dan bekas-bekas Ketua DMPN Selangor seperti Ustazah Hajjah Raden Siti Bahjah Raden Hadi Munir dan lain-lain.

Ini adalah kali kedua bangunan milik Umno telah dibeli oleh PAS, sebelum ini bangunan Pejabat Badan Perhubungan Umno Kelantan telah dibeli oleh Dewan Pemuda PAS Negeri (DPPN) Kelantan pada tahun lepas. Dengan ini, secara tidak langsung ia telah merealisasikan motor PAS iaitu “PAS ganti Umno” apabila satu persatu bangunan milik mereka kini menjadi milik PAS.


Tindakan

Information

Tinggalkan komen