Dr Abd Rani Osman Dilantik Sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor Yang Baru

13 06 2011

Kuala Lumpur, 12 Jun    :    Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Kapar, Dr Haji Abd Rani Othman, yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Meru telah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor bagi sesi 2011 / 2013 menggantikan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Dato’ Dr Haji Hasan Mohamed Ali.

Perlantikan tersebut telah diumumkan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, selepas Mesyuarat Pertama Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat.

Dalam mesyuarat tersebut juga, Dato’ Haji Mustafa Ali, dilantik semula sebagai Setiausaha Agung PAS dan dibantu oleh tiga orang Penolong Setiausaha iaitu, Dato’ Haji Taqiuddin Hasan, Dr Syed Azman Syed Ahmad dan Ahmad Sabki Yusof. Dato’ Haji Abdul Halim Abdul Rahman pula dilantik sebagai Bendahari PAS Pusat, manakala Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat yang baru manakala Dr Hatta Ramli dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat.

Selain itu, Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang turut mengumumkan perlantikan Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Dato’ Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin, Ustaz Idris Ahmad, Asmuni Awi, Anuar Tahir, Zulkefly Mohamad Omar dan Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus sebagai AJK PAS Pusat.

Sementara itu, selain negeri Selangor, turut mendapat Pesuruhjaya yang baru iailah Terengganu, Haji Mohd Abdul Wahid Endut, Melaka, Adly Zahari, Negeri Sembilan, Haji Mohd Taufek Abdul Ghani dan Sabah, Aminuddin Halim.

Manakala Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (Kelantan), Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man (Pahang), Dato’ Dr Mahfodz Mohamad (Johor), Dato’ Seri Azizan Abdul Razak (Kedah), Ustaz Hashim Jasin (Perlis), Ustaz Salleh Man (Pulau Pinang) dan Adam Ahid (Serawak) kekal sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri.


Tindakan

Information

Tinggalkan komen