Tanjong Karang, 1 Jan : Kenduri kesyukuran Ketua Penerangan PAS Kawasan Tanjong Karang, Ustaz Haji Mat Hasbollah Sudin, 41, dan pasangannya, Ustazah Hajjah Jamiyah Yussuf, 43, yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS (
DMP) Kawasan Tanjong Karang, berlangsung dalam keadaan sederhana tetapi meriah di kediaman ibu pengantin perempuan, di Tali Ayer 3 Tanah Lesen Sungai Burong.
Ustaz Mat Hasbollah, yang juga bekas Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan dari tahun 2003 – 2011 telah dinikahkan dalam majlis yang sederhana di rumah tersebut pada 22 Disember 2011 yang lalu.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran pimpinan DMP Negeri Selangor antaranya ialah Timbalan Ketua DMP Negeri, Noraini Hussein, yang juga Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Ahli Jawatankuasa (AJK) DMP Negeri, Norlaili Aslah serta pimpinan dan bekas pimpinan PAS Kawasan Tanjong Karang.

Ini adalah perkahwinan kedua bagi mereka, Ustaz Mat Hasbollah, telah mendirikan rumahtangga dengan isteri pertamanya, Ustazah Norhafizah Mohd Taha dan telah dikurniakan seramai empat orang cahayamata.
Manakala Ustazah Jamiyah pernah mendirikan rumahtangga dengan aktivis PAS, Allahyarham Ustaz Haji Pasiran Ahmad, tetapi telah meninggal dunia pada tahun 2007 setelah terjatuh dirumahnya semasa hendak membaiki bumbung rumah yang bocor di Sungai Kajang.
Bagi pihak PAS Kawasan Tanjong Karang, Ustaz Mohamad Judi Sarjo, selaku Yang Dipertua (YDP), mengucapkan selamat pengantin baru kepada mereka, semoga berkekalan sehingga akhirat serta terus istiqamah dalam perjuangan.