Tanjong Malim, 1 Jan : Timbalan Presiden GAMIS, Safwan Anang Talib, yang juga menantu Timbalan Pengarah IV Jabatan
Pilihanraya PAS Negeri (JPrN) Selangor, Ustazah Siti Mariam Abd Rashid telah dilaporkan cedera parah selepas dibelasah oleh anggota FRU semasa Himpunan mahasiswa protes Akta Universiti dan Kolej Universiti, di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.
Dalam kejadian tersebut, Safwan, yang juga Pengerusi BEBAS, telah dilapurkan patah tulang rusuk, rahang gigi akibat dipijak oleh anggota FRU dan kini sedang dirawat di Hospital Slim River. Manakala seorang lagi rakannya, Amar Rasyidi dari Universiti Malaya dilaporkan menerima beberapa jahitan dihidungnya yang koyak akibat dipukul.
Sementara itu, seramai 17 orang lagi mahasiswa termasuk, Legasi
Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli, dua bekas Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Shazni Munir dan Hilman Idham serta Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Khalid Ismath telah ditangkap dalam insiden malam tadi dan telah dibawa ke balai polis Tanjong Malim.
Ustazah Mariam, yang juga Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), telah menghantar sistem pesan ringkas (sms) kepada rakan-rakannya memaklumkan kejadian tersebut pada jam 3.35 pagi, memaklumkan keadaan menantunya itu dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri. Beliau juga memohon kepada orang ramai supaya melakukan sembahyang hajat.